Ahli Inanam perlu
terus kerja keras
KOTA KINABALU, Okt 8, 2010: Para pemimpin dan ahli Parti Maju Sabah (SAPP) di Inanam
diingatkan agar tidak leka dengan kedudukan semasa kerana mempunyai kerusi
Parlimen Sepanggar.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata,
mereka perlu sentiasa menjalankan tugas dengan penuh hemah supaya parti
itu dapat mengekalkan kerusi Parlimen itu.
"Bukan setakat mengekalkan kerusi Parlimen Sepanggar saja, kita juga mahu
memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri bagi Inanam dan Karambunai pada
pilihanraya kali ke-13 akan datang.
"Oleh itu, para pemimpin dan ahli parti di Inanam khasnya perlu terus
melipatgandakan usaha agar hasrat untuk memenangi kedua-dua kerusi DUN
yang berada dalam Parlimen Sepanggar itu dapat dicapai," katanya.
Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan gabungan
cawangan-cawangan parti dalam Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC)
Inanam dekat sini.
Turut hadir, Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk
Eric Majimbun yang juga pengerusi CLC Inanam, Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Likas Datuk Liew Teck Chan, bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor
Mansoor, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong dan Naib Presiden merangkap
Timbalan Speaker Datuk Frankie Chong.
Tidak ketinggalan, Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Dr.
Chua Soon Bui, Naib Presiden Amde Sidik, Naib Presiden selaku Naib Pengerusi
CLC Inanam Don Chin, Ketua Penerangan Chong Pit Fah, Ketua Pemuda Edward
Dagul dan Ahli Majlis Tertinggi, Dullie Marie, Kenneth Koh dan Yong Chong
Kim.
Teck Lee berkata, para ahli dan pemimpin parti di Inanam perlu ingat
bahawa kelekaan boleh membawa padah kerana Barisan Nasional (BN) yang
memerintah pada masa ini bukan saja kuat tetapi mempunyai jentera
pilihanraya yang serba lengkap.
Katanya, kekuatan BN dalam semua segi itu boleh diatasi jika para ahli dan
pemimpin SAPP di seluruh Sabah terus gandakan usaha dari semasa ke semasa.
|