SAPP jamin selesai isu tanah jika diberi mandat
RANAU:
Parti Maju Sabah (SAPP) memberi jaminan untuk menyelesaikan isu pemilikan tanah
di negeri ini dalam tempoh dua tahun, sekiranya parti itu mendapat mandat
membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang.
Naib Presidennya, Japiril Suhaimin berkata, janji itu telah dibuktikan sendiri
oleh Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee semasa beliau memegang jawatan Ketua
Menteri yang mana dalam tempoh dua tahun pada 1996 hingga 1998, sejumlah 48 ribu
permohonan tanah telah diberikan geran Anak Negeri (NT).
"Masalah pemilikan tanah khususnya di kalangan pribumi di negeri ini sudah
terlalu lama dan seperti tidak akan menemui noktah penyelesaiannya yang akan
terus membebankan rakyat di negeri ini.
"Permohonan tanah rakyat perlu diselesaikan kerana hanya dengan cara itu yang
mampu membantu mereka untuk mendapatkan bantuan kerajaan, terutamanya mereka
yang berhasrat untuk menggunakan tanah tersebut untuk tujuan pertanian bagi
mengubah corak kehidupan dan meningkatkan ekonomi khususnya di luar bandar,"
tegas beliau.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa kerajaan untuk melakukan sesuatu dan
mempercepatkan proses pengeluaran geran bagi mereka yang layak.
Japiril berkata demikian bagi merujuk kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar,
Datuk Ewon Ebin berkaitan masalah utama pekebun kecil yang sukar untuk
mendapatkan bantuan kerajaan disebabkan masalah status hak milik tanah kerana
hanya pekebun kecil yang mempunyai geran tanah sahaja yang layak untuk menerima
bantuan daripada Lembaga Sawit Malaysia (MPOB).
Selaras dengan itu, SAPP menurutnya akan membuktikan bahawa Dasar Refomasi Tanah
yang telah dilancarkan oleh parti itu pada 08 November lalu di Kota Kinabalu
bukan hanya gimik politik semata-mata tetapi merupakan satu hasrat untuk
membantu dan mengubah nasib rakyat di negeri ini.
Oleh Suzana Justin
|