Banjir di Lumadan tak ada penghujung
BEAUFORT:
Parti Maju Sabah (SAPP) menggesa kerajaan bertindak segera membantu mengatasi
masalah air banjir di Kg. Lumadan Laut, Bukau dan Tamalang Along. Pengerusi CLC
Lumadan Jamain Sarudin berkata, masalah ini timbul berpunca dari sungai Api-api
di kawasan Hutan Paya Gambut yang tidak dibersihkan.
"Sungai Api-api penting untuk mengatasi masalah banjir ini, adakah kerajaan
memperjudikan nasib rakyat setempat hanya kerana mau kekalkan hutan paya gambut,
siapa lebih penting", tambah beliau lagi.
Sementara itu penduduk Kg. Lumadan Laut meminta kerajaan bertindak lebih serius
untuk menangani masalah banjir di kampung mereka. Menurut salah seorang warga
emas Kajat Bin Wahab, sudah lebih sapuluh tahun beliau menghadapi limpahan air
banjir.
"Ternakan mati, buah-buahan mati, hilang pendapatan, kerosakan harta benda, bila
lagi YB mau bantu," kata beliau.
Menurutnya,
kejadian banjir paling teruk berlaku dalam tempoh terdekat ialah pada 7 februari
lepas dan memaksa beliau meminta bantuan pasukan keselamatan untuk berpindah,
(Photo: sambil menunjukkan tanda paras air)
Wakil Rakyat Lumadan Kamarlin Ombi dan Sipitang Sapawi Ahmad telah melawat dan
berjanji mengatasi masalah itu, tetapi sehingga kini tidak kunjung tiba. Beliau
kesal kerana penduduk hanya dipergunakan sewaktu pilihanraya, tetapi selepas itu
yang timbul hanya janji kosong.
Kajat yang bergantung hidup pada pendapatan hasil buah-buahan merenung sepi
kebunnya yang digenangi air dan tertanya-tanya bilakah masalah itu boleh selesai.
"Dulu pakcik ada pendapatan dua hingga tiga ribu hasil buah-buahan, sekarang dua
puluh sen tiada, pakcik tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab mengundi,
tapi pakcik rasa rugi," tambah beliau lagi.
Salah seorang penduduk berjiran dengan Kajat, Lee Thau Hong pula membidas sikap
wakil rakyat Lumadan Kamarlin Ombi dan pegawainya yang hanya menabur janji kosong.
Katanya wakil rakyat hanya mengambil gambar dan menyiarkan di surat khabar
tetapi selepas itu tiada hasilnya.
"Ini banjir, bukan pesta air, YB pulang, kami orang kampung masih dalam keadaan
sama," kata Lee lagi.
Dengan nada kesal beliau berkata, setiap kali perjumpaan mereka menyuarakan
benda yang sama, tetapi tidak pernah diambil berat Kamarlin dan pegawainya.
Beliau menggesa Kamarlin bertindak dengan segera, bagi membersihkan parit besar
supaya air mengalir dengan mudah dan tidak menjadikan kampung Lumadan Laut
sebagai kolam ternakan biawak. Tanggungjawab Kamarlin ialah mewakili rakyat dan
membantu rakyat, dan bukan hanya tahu berjanji dan mengambil gambar kenangan.
|