Perkemaskan TOR sebelum RCI dilaksanakan
TENOM,
Ogos 13, 2012: Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) meragui keberkesanan
pelaksanaan RCI kerana TOR (Terms of Reference) yang diumumkan Perdana
Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak beberapa hari lalu, tidak terdapat
langkah seperti mencari siapakah dalang yang bertanggungjawab termasuk
menghukum orang yang terlibat.
Naib Ketua Pergerakan itu Rudy Sulaiman Mairi (gambar) berkata, demikian
ketika mengulas isi kandungan 8 perkara TOR sebagai syarat dan terma
pelaksanaan RCI di Sabah yang disifatkannya sebagai sekadar "window
dressing" untuk mematahkan isu tersebut dari terus memuncak, katanya dalam
satu kenyataan disini pada Isnin.
Lapan perkara yang disenaraikan sebagai syarat dan terma yang terkandung
didalan TOR ianya sekadar memfokuskan kepada proses bancian dan siasatan
tetapi tidak menyatakan dengan jelas rupa bentuk tindakan mengikut
perundangan terutamanya tindakan terhadap dalangnya.
"Ini jenayah besar terutama melibatkan penipuan dan pemalsuan dokumen. (Tetapi)..
.tiada dalam terma untuk hukum pesalah dalam RCI.
"Kita tidak mempertikaikan kewibawaan para panel yang telah dilantik
kerana mereka (panel) bukan bertanggung jawab menggubal syarat dan terma
yang terkandung didalam TOR," tegas Rudy.
Beliau menambah bahawa tujuannya sekadar mahu pihak tertentu segera
memperbetulkan atau menambahbaik syarat dan terma didalam TOR supaya impak
RCI lebih berwibawa untuk menyelesaikan misi RCI secara berkesan.
"Walau bagaimana pun, kita ingin melihat BN mesti memberi jaminan bahawa
mereka tidak memilih bulu, dalam mencari siapa yang menerima rasuah dan
memalsukan dokumen, jika tidak seluruh RCI akan gagal," katanya lagi.
Tegasnya, tidak ada erti RCI itu diadakan jika segala penemuan terhadap
tuduhan rakyat sebelum ini telah terbukti tetapi para ahli panel tidak
dapat bertindak lanjut mengikut perundangan disebabkan tiada peruntukkan
yang disebutkan didalam TOR yang mengekang mereka (para ahli panel)
berbuat demikian.
"Projek IC" dikatakan bermula pada 1980an ketika dizaman era Mahathir
berkuasa dengan kad pengenalan Malaysia diberi kepada warga asing di Sabah
untuk mengekalkan BN dalam pemerintahan.
Baru baru ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat,
penubuhan Suruhanjaya DiRaja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang asing
diberikan kerakyatan atau lebih dikenali sebagai 'Projek IC' di Sabah,
tidak perlu.
Beliau berkata, mereka berhak minta kerakyatan setelah mereka berada
dinegara ini terlalu lama malah mereka boleh berkomunikasi dan menulis
dalam Bahasa Malaysia dengan baik dimana kenyataannya itu telah
menyemarakkan api kemarahan dikalangan rakyat Sabah.
Oleh: Ambrose M Matthew
|