Pelan Ekonomi SAPP untuk Sabah
MUKADIMAH
PARTI MAJU SABAH (SAPP) berpegang teguh kepada potensi manusia, maruah dan
hak-hak asasi rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama. SAPP mempertahankan
misinya untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah dan masyarakat yang
progresif, adil dan sejahtera untuk mempertingkatkan kedudukan Sabah dalam
Malaysia.
SAPP nekad untuk memulihkan dan memelihara perpaduan rakyat dan bersatu padu
demi melindungi kepentingan ekonomi masyarakat Sabah secara menyeluruh.
Kepincangan ekonomi rakyat Sabah telah menjadi semakin tenat akhir-akhir ini.
Kini Sabah telah menjadi salah sebuah Negeri termiskin di Malaysia dengan tahap
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ketiga tercorot di Malaysia berbanding
Sarawak yang merupakan sebuah Negeri tanpa UMNO yang memiliki KDNK kedua
tertinggi.
Tidak menghairankanlah bahawa keadaan ekonomi rakyat Sabah telah menjadi tidak
lagi penting. Sabah adalah negeri pengeluar kelapa sawit terbesar di Malaysia
tetapi rakyat Sabah pula hanyalah memiliki kurang daripada 15% dari
ladang-ladang yang sedia ada. Perkara yang sama juga berlaku dalam bidang
perdagangan borong dan runcit, otomobil, bengkel, pembuatan, perumahan, sektor
makanan; hatta sehingga kedai-kedai kopi sekalipun. Ternyata rakyat Sabah akan
mengalami kekecewaan dalam merebut peluang perniagaan dan pekerjaan yang akan
menghasilkan pendapatan lumayan. Berpuluh ribu penduduk Sabah telah berhijrah
untuk mencari sumber hidup di luar negeri.
Menyedari hakikat bahawa ramai rakyat Sabah menjadi "pelarian ekonomi" dalam
negeri sendiri, Kerajaan SAPP akan memperkenal dan melaksanakan satu perancangan
ekonomi yang akan memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh. Kerajaan SAPP
akan menumpukan perhatian khusus demi memastikan generasi terkini dan akan
datang menikmati peluang secara aktif dalam arus pembangunan ekonomi negeri dan
negara.
Peranan utama yang harus dimainkan oleh rakyat Sabah dalam pertumbuhan ekonomi
negeri tidak seharusnya meminggirkan penyertaan rakyat Malaysia yang lain dan
pelabur-pelabur asing.
Kerajaan SAPP akan melaksanakan dasar pemilikan ekonomi yang lebih besar oleh
rakyat Sabah dalam rangka kerja saling menguntungkan secara memperluas dan
mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembersihan sistem pentadbiran kerajaan.
Budaya rasuah perlu disingkir dan dihapuskan. Kerajaan SAPP yakin bahawa rakyat
Sabah, rakyat Malaysia yang lain dan pelabur-pelabur asing boleh mencari
pulangan yang menarik untuk terus melabur di Sabah.
Hala tuju ekonomi yang dipelopori oleh SAPP direka untuk menerajui transformasi
ekonomi negeri yang dinamik dan mampan serta memberi manfaat kepada keseluruhan
masyarakat. SAPP adalah kerajaan untuk rakyat Malaysia di Sabah dan komited
untuk sentiasa menyuarakan selantang-lantangnya kepada kerajaan persekutuan
mengenai kepentingan hak mutlak Sabah dalam sumber-sumber minyak dan gas di
kawasan pesisiran laut negeri ini. Sabah mesti diberi pampasan yang setimpal
bagi gas yang akan disalur menggunakan paip ke Bintulu untuk tujuan pemprosesan
Gas Asli Cecair (LNG) untuk tujuan eksport.
Kerajaan SAPP percaya bahawa kelebihan daya saing Sabah boleh dicapai melalui
ekonomi yang didorong oleh pasaran. SAPP akan berusaha ke arah memperkasakan
tahap ekonomi Sabah dengan melaksanakan perkara-perkara berikut:
A. SISTEM PENGHANTARAN
SAPP akan memastikan sistem pemberian kontrak kerajaan, untuk semua aktiviti
perniagaan berkaitan akan di laksanakan secara adil dan saksama. Setiap
kelulusan akan diberi dalam jangka masa tertentu secara automatik jika
syarat-syarat berkaitan dipenuhi.
B. SUMBER MANUSIA
Kerajaan SAPP akan melabur secara intensif dalam pembangunan modal insan. Sabah
memerlukan modal insan yang lebih berpengetahuan, kompeten dan yakin untuk
memacu pertumbuhan ekonomi negeri pada kadar yang mampan.
Kerajaan SAPP akan menawarkan lebih banyak biasiswa, pinjaman pelajaran dan
dermasiswa untuk menangani keperluan dan kehendak sumber manusia yang mahir dan
berkelayakan untuk pelbagai segmen industri kita.
C. PERSEKITARAN DINAMIK UNTUK PELABURAN
Kerajaan SAPP akan mengkaji semula dan memperkemaskan pelbagai dasar dan
undang-undang untuk mengurangkan halangan birokrasi ke arah mempercepatkan
proses permohonan pelaburan.
Cadangan memonopoli pasir dan besi buruk akan dihapuskan.
Kerajaan SAPP akan memulih dan mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai PUSAT
PELABURAN SEHENTI untuk memastikan proses yang cekap, lancar, telus dan mudah
difahami di samping kelulusan segera permohonan pelaburan oleh pelabur-pelabur
tempatan dan asing.
Kerajaan SAPP akan menubuhkan sebuah Panel Pemandu Khas Pelaburan yang
dianggotai oleh para menteri berkaitan,pegawai-pegawai kerajaan yang tertentu
dan wakil-wakil dari sektor swasta. Ianya akan melaksanakan dasar-dasar ekonomi
dan memantau kadar aliran masuk pelaburan dan projek-projek serta manfaat
pulangan yang boleh diraih oleh rakyat Sabah.
D. USAHAWAN TEMPATAN
Kerajaan SAPP akan menggubal program untuk mengenal pasti dan memupuk
usahawan-usahawan Sabah yang berpotensi dan dinamik. Rakyat Sabah dari semua
kaum akan dipersiapkan untuk menjadi ahli perniagaan terkemuka sama ada di
peringkat negeri dan kebangsaan.
Kerajaan SAPP akan menyediakan bantuan teknikal dan kewangan untuk membolehkan
usahawan tempatan merebut peluang-peluang baru ekonomi di dalam semua bidang
yang diceburi.
E. DASAR KABOTAJ
Isu ini adalah punca kenaikan harga barangan di Sabah berbanding dengan Malaysia
Barat. Dasar ini menyumbang kepada kos perkapalan yang tinggi yang kemudian
disalurkan kepada pengguna semasa. Peningkatan kos juga turut menyebabkan
kenaikan harga bahan-bahan mentah yang diimport untuk menampung pembangunan
hartanah, pembuatan dan lain-lain perusahaan perindustrian.
SAPP akan menjalankan kajian menyeluruh dan menentang apa juga unsur monopoli
yang akan mendatangkan kemudaratan terhadap kepentingan ekonomi Sabah. Kerajaan
Persekutuan hendaklah diyakinkan supaya menghapuskan Dasar Kabotaj yang hanya
merugikan negeri Sabah.
F. INDUSTRI MINYAK DAN GAS
Kerajaan SAPP akan memperkenalkan dasar-dasar ekonomi untuk memberikan
kepentingan yang setimpal untuk Sabah dalam sektor kritikal ini yang melimbatkan
soal royalti dan hak bersuara secara langsung dalam penggunaan sumber-sumber
yang berkaitan. Dasar-dasar ini juga akan dapat dilihat melalui penyertaan
secara langsung rakyat Sabah dalam usaha yang berasaskan minyak dan gas yang
akan membuka peluang perniagaan dan pekerjaan.
G. INDUSTRI MINYAK SAWIT
Kerajaan SAPP akan terus berusaha dalam pemprosesan hiliran minyak sawit untuk
menjana nilai tambah ekonomi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Kerajaan SAPP akan sentiasa memantau untuk memastikan industri ini mampu
bersaing dengan cekap dalam pasaran global. SAPP juga akan meneroka
peluang-peluang tambahan manakala rakyat Sabah akan diberi peluang dalam
mempertingkatkan penyertaan mereka sejajar dengan reformasi tanah SAPP yang
dibentangkan pada 8hb November 2011.
H. INDUSTRI PELANCONGAN
Ini adalah satu industri yang giat berkembang dan berkapasiti tinggi dalam
menjana pulangan yang lumayan untuk Sabah. Kerajaan SAPP akan bekerjasama rapat
dengan para pengusaha pelancongan untuk membangunkan sektor ini ke tahap yang
optima dengan menawarkan pakej kreatif, tarikan semulajadi yang sedia ada,
disertai dengan perkhidmatan berkualiti dan trend global yang setanding
berdasarkan cita rasa pengguna.
SAPP komited untuk menambahbaik infrastruktur asas dalam zon pelancongan dan
seterusnya memberi keutamaan kepada penyertaan rakyat Sabah dalam industri ini
secara menyeluruh.
Kerajaan SAPP akan mendesak kepada pihak-pihak berkuasa yang berkenaan tentang
Dasar Ruang Angkasa Terbuka.
I. INDUSTRI PEMBALAKAN
Kerajaan SAPP akan mereka bentuk dasar untuk memastikan kitaran pengeluaran pada
kadar yang mampan dan mengekalkan sumber balak sebagai antara penyumbang utama
kepada hasil negeri dalam jangka masa panjang. Kerajaan SAPP akan membuat
analisa kualitatif dan kuantitif ke atas eksport kayu secara langsung
dibandingkan dengan pemprosesan tempatan untuk mewujudkan nilai tambah dari segi
pendapatan yang diperolehi. Kerajaan SAPP akan mengawal kadar eksport balak ke
pasaran yang lebih kompetatif.
J. WILAYAH BIMP - EAGA
Kerajaan SAPP akan meneroka peluang-peluang yang ada dan mengambil kesempatan
sepenuhnya lokasi strategik Sabah dirantau ini, terutamanya peluang-peluang di
Kalimantan antaranya eksport arang batu secara besar-besaran, perladangan kelapa
sawit dan sektor pelancongan.
Kerajaan SAPP akan memperbaiki pelabuhan dan pusat-pusat perdagangan
barter(tukar barangan) di Tawau dan Sandakan untuk mengambil kesempatan daripada
potensi pertumbuhan ini. Pusat-pusat baru di Kudat, Semporna dan Lahad Datu akan
diambilkira secara serius.
K. TANAH SEBAGAI SUMBER EKONOMI
Kerajaan SAPP akan mengeksploitasi penggunaan tanah sebagai sumber utama untuk
menjana pendapatan dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Sabah.
Objektif ini boleh dicapai melalui strategi-strategi berikut:
-
Industri Padi
Kerajaan SAPP akan mengembalikan semula Lembaga Padi Sabah untuk memulakan
rancangan besar-besaran dalam meningkatkan infrastruktur saliran dan pengairan
tanpa memerlukan pembinaan empangan yang melibatkan kos yang mahal. Tertakluk
kepada kehendak persekitaran serta kepentingan penduduk tempatan, empangan mikro
dan mini dengan tujuan serampang tiga, iaitu sebagai sumber pengairan, tambatan
banjir dan penjanaan kuasa elektrik hidro.
Kerajaan SAPP akan mengkaji semula dan memastikan secara agresif matlamat untuk
menjadikan Sabah berdikari dalam pengeluaran beras.
Kerajaan SAPP akan mengkaji dan mengambil berat tentang sistem monopoli yang
diberikan kepada BERNAS dan melaksanakan pendekatan yang lebih terbuka ke
pasaran yang kompetatif.
-
Industri Akuakultur
Kerajaan SAPP akan mengeksploitasikan industri sepenuhnya termasuk penternakan
ikan, udang, tiram dan penanaman alga seperti perladangan rumpai laut.
-
Ternakan dan Industri Ayam
Kerajaan SAPP akan meningkatkan aktiviti penternakan terutamanya lembu, kerbau
dan ayam untuk memenuhi keperluan daging yang semakin meningkat dan secara
beransur-ansur mengurangkan import terutamanya dari Australia dan India.
-
Industri Pemprosesan Makanan
Kerajaan SAPP akan menggalakkan pembangunan Industri Pemprosesan Makanan dengan
memperuntukan kemudahan infrastuktur yang diperlukan.
Kerajaan SAPP akan menubuhkan pusat "kemudahan lepas tuai" di lokasi-lokasi
strategik di negeri ini untuk membantu petani-petani kecil dan sederhana. Ini
akan menggalakkan pekebun kecil untuk menceburi bidang penanaman kontan dan
pelbagai buah-buahan di tanah atau perkarangan rumah untuk meningkatkan
pendapatan mereka.
-
Pertanian Tenusu
Kerajaan SAPP akan memastikan pembangunan Pertanian Tenusu melalui pelaburan
usahasama dengan syarikat-syarikat yang boleh berkongsi kepakaran dan teknologi.
SAPP akan menggalakkan sektor swasta untuk mengambil bahagian sebagai rakan
kongsi usaha sama.
-
Industri Getah
Kerajaan SAPP akan mengalakkan pembangunan industri getah dan memastikan
kepentingan pekebun-pekebun kecil di utamakan.
Kerajaan SAPP akan menawarkan insentif yang diperlukan untuk menarik pelaburan
yang berpengetahuan teknikal kearah perkembangan pemprosesan industri getah.
L. SABAH ELEKTRICITY SDN BHD (SESB)
Kerajaan SAPP bercadang untuk mengembalikan SESB sebagai sebuah entiti milik
negeri yang menjurus ke arah penjanaan yang mencukupi dan pengagihan elektrik
yang cekap yang amat penting untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah. Jika
SESCO yang dimiliki oleh kerajaan negeri Sarawak boleh berjaya dan menguntungkan,
tiada sebab kenapa SESB tidak mampu wujud dan berjaya.
M. KILANG GULA DAN GARAM
Kerajaan SAPP akan memulihkan kilang gula dan garam yang dirancangkan di Kuala
Penyu dan Matunggung untuk menghasilkan perasa penting ini untuk keperluan dalam
negeri dan eksport.
N. DASAR PENGURUSAN KEWANGAN
Kerajaan SAPP akan mengambil langkah yang komprehensif untuk memastikan
pengurusan berhemah dan penggunaan dana negeri secara telus dan bertanggungjawab.
Pada masa yang sama, Kerajaan SAPP akan mencari jalan untuk menjana pendapatan
tambahan dari minyak dan gas dan dari tanah dengan mengambil kira bahawa tanah
adalah aset sumber yang paling utama dalam apa-apa jua usaha ekonomi.
O. BELANJAWAN NEGERI
Kerajaan SAPP menyedari sejak tahun 70-an, 70% daripada pendapatan negeri ini
datang daripada royalti balak sahaja. Walau bagaimanapun, dalam 30 tahun ke
belakangan ini ekonomi Sabah telah disusun semula dengan pelbagai-pelbagai
sumber hasil negeri sehingga kayu balak hanyalah dianggap sebagai salah satu
penyumbang utama.
Pada tahun 80-an, hasil tahunan negeri Sabah adalah mencecah RM1 bilion. Pada
tahun 90-an, pendapatan mencecah kepada RM2 bilion. Menjelang tahun 2000, hasil
negeri meningkat lagi kepada RM3 bilion. Pertambahan berganda dalam belanjawan
negeri ini digambarkan dalam bajet 2011 dan 2012 yang masing-masing berjumlah
RM3.6 dan RM4 bilion.
Kini sumber-sumber utama hasil adalah daripada cukai jualan minyak sawit
berjumlah RM1 bilion, royalti petroleum RM800 juta, hasil tanah RM150 juta,
perhutanan RM100 juta, jualan air RM120 juta, sewa dan pulangan ke atas
pelaburan RM800 juta, hasil ganti duti eksport dan eksais produk petroleum RM120
juta dan peruntukan pemberian persekutuan RM50 juta.
Sebagai perbandingan dengan belanjawan negeri Sarawak yang berjumlah RM5.7
bilion pada tahun fiskal 2011, Kerajaan SAPP yakin bahawa hasil negeri Sabah
boleh menjangkau RM5 bilion menjelang tahun 2015.
Anggaran ini akan dapat mengekalkan momentum pembangunan Sabah dan mampu pula
untuk simpanan masa depan. Hasil yang dijangka akan diperolehi melalui:
-
Pemantauan rapi royalti ke atas minyak dan gas, termasuk penemuan baru yang
signifikan di perairan cetek Sabah yang menghasilkan tambahan sebanyak 7 bilion
kaki padu standard sehari.
-
Mengkaji semula pembayaran (hasil) sebagai ganti duti eksport dan eksais produk
petroleum.
-
Melaksanakan hak negeri ke atas tanah dengan mengenakan cukai tanah ke atas
saluran paip gas Petronas dari Kimanis ke sempadan Sarawak dan lain-lain
aktiviti pemasangan Petronas di Sabah.
-
Mengembalikan semula sistem lelongan awam ke atas tanah perdana komersial di
kawasan bandar.
-
Membenarkan kilang minyak sawit untuk menukar status tanah-tanah pertanian
mereka ke status tanah-tanah perindustrian.
-
Menyemak semula royalti kayu balak selaras dengan harga pasaran.
(Rangka pendapatan RM5 bilion ini tidak mengambil kira kemungkinan kejayaan
tuntutan 20% royalti petroleum yang akan memberi Sabah pendapatan tambahan
tahunan sebanyak RM3 bilion berdasarkan anggaran 2011.)
Tambahan RM1 bilion dalam hasil tahunan menjelang tahun 2015 akan dilaburkan
semula seperti berikut:
-
RM 100 juta setahun dalam Tabung Warisan (seperti yang diwartakan dalam tahun
1997) untuk generasi akan datang.
-
RM 500 juta untuk Tabung Konsolidated Negeri bagi perbelanjaan pembangunan di
Sabah.
-
RM 100 juta untuk Majlis Minyak Sawit Sabah yang akan ditubuhkan untuk memupuk,
menggalak dan melindungi sektor minyak sawit Sabah.
-
RM 200 juta untuk Pengeluaran dan Keselamatan Makanan kearah matlamat berdikari
didalam pengeluaran beras menjelang 2018.
-
RM 100 juta untuk perancangan sumber manusia dan latihan, dalam usaha
mengurangkan pergantungan kepada buruh asing dan mempertingkatkan pendapatan dan
perolehan berdasarkan kepada produktiviti pekerja-pekerja tempatan.
P. PERTUMBUHAN EKONOMI -KELUARAN DALAM NEGERI KASAR DAN PENJANAAN KEKAYAAN
Adalah penting untuk ekonomi Sabah berkembang pada kadar yang mencukupi
sekurang-kurangnya 5% hingga 8%.
Kegiatan perkembangan ekonomi perlu dipertingkatkan bagi membolehkannya dikongsi
sama oleh semua bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan. Bagi tujuan ini,
liberalisasi perdagangan, sistem penyampaian dan kelulusan yang telus untuk
mewujudkan iklim pelaburan yang kondusif. SAPP merasakan bahawa kadar
pertumbuhan 3.5% Keluaran Dalam Negeri Kasar ( KDNK ) pada tahun-tahun semasa
dan terkini adalah tidak mencukupi berbanding pertumbuhan ekonomi Negara dalam
kadar 5.5%. Sabah pada masa lalu pernah mencapai pertumbuhan 7% hingga 9%.
Kerajaan SAPP akan memastikan pertumbuhan ekonomi Negeri mencapai 5% hingga 8%
setiap tahun dengan cara memberi kebebasan kepada sektor perniagaan dan
menggalakkan pelaburan sektor awam, memberi keselesaan dan kesenangan untuk
berurusniaga di Sabah dengan menyediakan keperluan infrastruktur untuk
pertumbuhan ekonomi yang mantap.
Dengan sokongan rakyat dan mandat yang kuat untuk SAPP, kerajaan baru Sabah akan
membawa harapan untuk semua rakyat Malaysia di Negeri Sabah yang tercinta.
SAPP - HARAPAN BARU UNTUK SABAH!
|