Ucapan Ketua Wanita SAPP di Kongress 2010
November 6, 2010, Star City,
Kota Kinabalu:
Saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan selamat datang dan
selamat bersidang kepada semua perwakilan ke kongres SAPP 2010.
Kongres pada tahun ini bukan saja sangat penting kepada SAPP secara
keseluruhannya, malah ianya juga amat mencabar kewibawaan dan semangat
kita setelah menjadi pembangkang sejak SAPP keluar dari BN pada 17
September 2008 dan selepas Pilihanraya Kecil P.185 Batu Sapi pada 4
November, 2010.
Dalam keadaan yang sedang kita hadapi ini selepas dua tahun SAPP keluar
dari BN dan selepas pilihanraya kecil baru baru ini, ahli-ahli SAPP telah
diuji dengan cabaran yang begitu hebat. Sebagai salah satu sayap didalam
Parti SAPP, kaum wanita juga tidak terkeculi daripada menghadapi ujian dan
cabaran ini.
Sejurus saja diumumkan tarikh penamaan calun, dengan berbekalkan semangat
ketabahan dan kesabaran yang ada pada wanita, para wanita dari seluruh
Sabah telah datang ke Sandakan dan turut serta memainkan peranaan dan
mengemblingkan tenaga untuk turut berkempen dalam membantu calun SAPP,
Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Presiden SAPP.
Sidang hadirin yang dihormati,
Keputusan Pilihanraya Kecil P.185 Batu Sapi, sememangnya tidak
memeranjatkan kita, kerana kita tahu pemimpin-pemimpin BN, akan berbuat
apa saja, untuk mengalahkan pihak lawan mereka, dan kita sedar dan kita
tahu, bahawa semua jentera BN, akan tertumpu di Pilihanraya Kecil P.185
Batu Sapi. Walau pun kita menyedari semua ini, namun kita tidak akan
membiarkan BN, mengambil kawasaan P.185 Batu Sapi dengan mudah, dan
sewenang-wenangnya tanpa melawan, seperti kata pepatah, pantang undur
sebelum kalah, kalau kita tidak pecahkan ruyong manakan dapat akan sagunya,
begitu juga kalau SAPP tidak bertanding mana kita tahu kelemahan kita,
kekurangan kita, dan juga akan kekuatan dan taktik kotor BN.
Kekalahan SAPP di Pilihanraya Kecil di P.185 Batu Sapi, bukan lah penamat
dan bukan penentu, dan saya percaya, ini tidak akan melunturkan semangat
ahli-ahli SAPP, namun apa yang berlaku ini, akan membuat kita lebih peka
dan berhati-hati, dalam menyusun strategi-strategi baru, yang lebih mantap
dan berkesan, untuk menghadapi BN di pilihan raya umum ke -13. Ini, adalah
permulaan.
Para perwakilan wanita yang saya muliakan,
Sememangnya kekalahan SAPP membuat kita sedih dan terharu, namun kalah
menang bukan persoalannya. Selaku Ketua Pergerakan Wanita SAPP, apa yang
amat membanggakan saya, semasa pilihanraya kecil Batu Sapi, adalah
keikhlasan, semangat kerjasama dan rasa tanggungjawab, serta peranan yang
dimainkan oleh para wanita. Penglibatan serta kualiti didalam jentera
wanita, yang dimainkan semasa pilihanraya kecil Batu Sapi amat
memberangsangkan, kerana ianya menunjukkan kecekalan dan kesungguhan.
Keputusan SAPP untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil P.185 Batu Sapi,
membuktikan bahawa SAPP tidak gentar dan tidak takut untuk menghadapi dan
menentang mana-mana calun BN, demi menuntut hak asasi rakyat Sabah, dan
SAPP tidak akan membiarkan BN menang tanpa bertanding. Dan yang lebih
mengembirakan, kemunculan Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee sebagai calun
SAPP, adalah satu rahmat kepada rakyat di Sandakan, seperti durian runtuh,
kerana dengan sekelip mata sahaja rakyat Sandakan telah menikmati
berbagai-bagai kemudahan dan imbuhan dari pemimpin-pemimpin BN.
Sidang perwakilan yang dihormati,
Tidak ada siapa yang boleh menafikan bahawa wanita adalah salah satu sayap
yang penting kepada SAPP, kerana hampir separuh daripada jumlah pengundi
di negeri Sabah pada masa ini terdiri dari kaum wanita, maka dengan adanya
struktur organisasi yang baru dengan kemunculan beberapa muka-muka baru
selepas pemilihan parti kali ini, saya yakin kita dapat memperkukuhkan
serta memperkuatkan lagi Pergerakan Wanita bukan saja di peringkat pusat
tetapi juga di semua kawasan CLC di seluruh Sabah. Peluang dan kepercayaan
pucuk pimpinan kepada wanita tidak seharusnya dipersia-siakan, jadikan lah
ianya sebagai dorongan untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan
bagi memperkasakan kepimpinan Pergerakan Wanita.
Adalah menjadi harapan kita, satu hari nanti Pergerakan Wanita, akan juga
menjadi penyumbang terbesar kepada kejayaaan SAPP, mengambil alih pucuk
pimpinan Kerajaan Negeri Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Oleh yang demikian, kita Pergerakan Wanita harus bekerja lebih keras,
tingkatkan usaha, bagi memastikan parti terus kukuh dengan memberikan
saranan yang membina, kepada kepimpinan parti. Kita mesti lebih berani,
menegur kepimpinan disetiap kawasan, jika mereka menyimpang, dari landasan
perjuangan. Kita tidak boleh menjadi ahli sebagai pak turut sahaja, kerana
kita mesti menjadi pengimbang dalam parti sekiranya kita mahu melihat SAPP
hidup dan terus kukuh, dan terus bertapak dibumi Sabah ini, maka kita
perlu membuat pembaharuan. Pembaharuan boleh berlaku, dengan kerjasama
pemimpin lama yang mempunyai pengalaman dan pemimpin muda boleh belajar
dari mereka bagi melatih diri, sebagai persiapan untuk menjadi pemimpin
pelapis dimasa hadapan bagi meneruskan perjuangan ini.
Selain itu , kita juga harus berusaha menarik lebih ramai wanita
profesional dan bukan profesional menyertai parti, tanpa mengira bangsa,
agama serta keturunan, kerana pergerakan politik bukan hanya untuk
bertanding di pilihanraya sahaja, tetapi ia adalah medan untuk
membangunkan semua bangsa, dan membina negara.
Wanita adalah sebagai force atau jentera yang kuat didalam mana-mana
institusi termasuk juga pergerakan politik. Wanita bukan hanya dibuat
sebagai peraih undi, semasa pilihanraya, tetapi wanita juga mempunyai
peranan yang besar dalam mencorakkan perjalanan parti dan negara. Wanita
adalah salah satu sayap parti, berikan lah mereka peluang, untuk
menyumbang pemikiran , merancang strategi, menggembling kekuatan serta
menegur apa juga kepincangan yang perlu dibaiki. Maka dalam situasi serba
mencabar ini, kesabaran, ketabahan, perpaduan, komitmen serta peranaan
Pergerakan Wanita sentiasa menjadi tunggak kekuatan parti.
Sidang hadiran yang saya hormati,
Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru kepada semua
perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan GKB yang hadir pada hari ini,
agar dapat memberi pandangan yang bernas dan membina bagi mengukuhkan
parti.
Dalam kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan penghargaan yang tidak
terhingga kepada pucuk pimpinan parti kerana telah memberikan saya
kepercayaan bagi menerajui Pergerakan Wanita sejak 2006, dan ini adalah
hari terakhir untuk memegang jawatan sebagai Ketua Pergerakan Wanita SAPP.
Jawatan yang saya sandang ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang
amat besar. Di sini saya juga mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli
EXCO Wanita dan ahli-ahli Pergerakan Wanita atas kerjasama yang di beri
kepada saya sepanjang tempoh penggal ini.
Tanpa sokongan padu dari setiap ahli Pergerakan Wanita, pasti kita tidak
mampu untuk melaksanakan agenda Parti. Seperti kata pepatah Melayu, kita
ibarat aur dengan tebing, sentiasa bantu membantu, yang berat sama dipikul,
yang ringan sama dijinjing, gunung sama didaki, lurah sama dituruni,
kuatkan semangat, kukuhkan perpaduan, tingkatkan usaha, mantapkan
kepimpinan dan ingatlah bahawa perjuangan kita belum selasai.
Sekian terima kasih. |