SAPP Akan Perbetul Masalah Kebanjiran Tenaga Kerja Dari Semenanjung
PAPAR: Parti Maju Sabah (SAPP) berjanji akan memperbetulkan masalah
kebanjiran tenaga kerja muda dari Semenanjung yang dilihat merampas
peluang kerja para belia di negeri ini.
Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, perkara itu
boleh diatasi melalui Borneonisasi yang terdapat dalam 20 Perkara dimana
penduduk tempatan harus diberi keutamaan mendapat pekerjaan di negeri.
"Borneonisasi yang terdapat dalam 20 Perkara itu jelas menyatakan bahawa
penduduk tempatan harus diberi keutamaan memegang jawatan di negeri ini.
"Kita akan melakukan apa yang sewajarnya untuk memperbetulkan
ketidakseimbangan dalam perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah," katanya.
Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan cawangan-cawangan
SAPP bagi Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Pantai Manis dan Kawang, di
sini.
Seramai 400 juruteknik dari Semenanjung dilaporkan sedang bekerja di
negeri ini bagi menyelenggara komputer sekolah-sekolah di seluruh Sabah.
Berita tentang kehadiran para juruteknik itu seperti yang dilaporkan
akhbar-akhbar tempatan adalah sangat mengejutkan kerana terdapat ramai
belia di negeri ini yang mempunyai kemahiran komputer tetapi masih
menganggur.
Teck Lee seterusnya menggesa para ahli parti memperhebatkan gerakan dan
memperkuatkan jentera pilihanraya di Papar dan Kinarut kerana SAPP
menerima banyak sambutan dan dilihat sebagai sebuah parti yang cukup
tersusun dan kukuh untuk memerintah Sabah.
Beliau berkeyakinan tinggi bahawa semangat orang-orang Sabah untuk
mengubah tampuk kerajaan sudah membara. Manakala pemimpin BN juga
bercakaran sesama sendiri hanya disebabkan perkara yang remeh-temeh
seperti isu nombor plat kenderaan.
"Mereka bertengakar dalam surat khabar seperti kanak-kanak kecil, ianya
perkara yang memalukan, sedangkan isu-isu besar masih tidak selesai. Ini
mendedahkan sikap buruk mereka"
Beliau juga menyarankan agar usaha menambah ahli di kawasan Pantai
Manis dan Kawang ditingkatkan untuk mengukuhkan lagi kedua-dua kawasan
tersebut. "penambahan kekuatan ini adalah usaha yang berterusan"
Sementara itu, turut berucap pada majlis itu ialah, Datuk Eric Majimbun
Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Hj Mohd Noor
Mansoor bekas Menteri Kewangan dan Encik Saidi Lampoh seorang aktivis
politik yang menyertai SAPP baru-baru ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Datuk Liew Teck Chan, Timbalan
Presiden merangkap wakil rakyat Likas, Datuk Frankie Chong Timbalan
Speaker yang juga Naib Presiden.
Ahli Parlimen Tawau dan Naib Presiden Datuk Dr. Chua Soon Bui, Don Chin
(Naib Presiden), Jimmy Jawatah, Naib Presiden, Poon Kee Yang (Naib
Presiden) Datuk Richard Yong (Setiausaha Agung), En. Chong Pit Fah, Ketua
penerangan serta ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lainnya juga hadir.
Beberapa calon yang menawarkan diri untuk pemilihan parti November ini
juga turut hadir.
Terdahulu Edward Dagul selaku Pengerusi CLC Pantai Manis dan Kawang di
dalam ucapannya menyeru agar ahli-ahli di kedua-dua kawasan terus tabah
menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang. Beliau berkata usaha gigih dan
ketabahan ahli-ahli ini merupakan kekuatan yang tidak terdapat di dalam
parti lain. Pemimpin BN pula hanya tahu mengejar projek dan sebaliknya
tidak mengendahkan keperluan rakyat. Adalah menjadi kebiasaan mereka untuk
turun padang hanya semasa pilihanraya.
Sementara itu Parti Maju Sabah (SAPP) pula tidak menunggu hanya
pilihanraya, tetapi terus bergerak kehadapan dan melawat kesemua kawasan.
Beliau berkata jadual ketat ini bukanlah perkara yang memenatkan tetapi
adalah atas dasar tanggungjawab kepada rakyat. "SAPP, akan meneruskan
khidmatnya kepada rakyat tanpa mengira musim". |