Penduduk Tanjung Kapor setia kepada SAPP
KUDAT,
Oct 2, 2010: Penduduk Tanjung Kapor memberi sokongan luar dugaan kepada Parti
Maju Sabah (SAPP) berdasarkan jumlah kehadiran yang ramai pada majlis
perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kawasan Dewan Undangan Negeri itu.
Jumlah ahli termasuk penyokong parti di kawasan itu semakin bertambah
sejak SAPP ditubuhkan 16 tahun lalu.
"Saya sangat terharu dengan jumlah kehadiran yang ramai pada hari ini.
Walaupun pada hari ini kita adalah pembangkang tetapi jumlah kehadiran
sangat ramai.
"Kehadiran pada hari ini tidak termasuk mereka yang tidak dapat datang
kerana pelbagai sebab termasuk para penyokong yang terdiri daripada
anggota kerajaan yang risau akan dikenakan tindakan disiplin," katanya.
Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri berucap merasmikan Mesyuarat Agung
Tahunan Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Tanjung Kapor di sini.
Turut hadir, Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk
Eric Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Likas Datuk Liew Teck Chan, bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor
Mansoor, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong dan Naib Presiden merangkap
Timbalan Speaker Datuk Frankie Chong.
Tidak ketinggalan, Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Dr.
Chua Soon Bui, Ketua Wanita merangkap ADUN Luyang Melanie Chia, Ketua
Penerangan Chong Pit Fah, Ketua Pemuda Edward Dagul dan Pengerusi CLC
Tanjung Kapor Datuk Wong Yit Ming.
Teck Lee bersama rombongan pemimpin SAPP turut mengunjungi Kampung
Landung Ayang di Kanibongan, Kota Marudu dan Pitas.
Beliau juga berkata bahawa SAPP perlu menang kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Tanjung Kapor kerana semua parti yang memenangi kerusi itu
telah berjaya membentuk Kerajaan Negeri yang baru.
Katanya, parti Berjaya memenangi kerusi itu sekaligus menewaskan USNO
pada pilihanraya 1976 dan Parti Bersatu Sabah (PBS)turut menang kerusi
sama apabila menyingkir Berjaya pada 1985.
Sementara itu, Mohd Noor berkata, SAPP adalah sebuah parti berbilang
kaum tulin Sabah kerana mendapat sokongan padu segenap lapisan rakyat.
Katanya, kehadiran ramai ahli dan penyokong yang terdiri daripada
pelbagai kaum pada mesyuarat itu menandakan SAPP mendapat tempat
dikalangan rakyat. |