SAPP akan batalkan
empangan Tambatuon
KOTA
BELUD: Parti Maju Sabah (SAPP) berjanji akan membatalkan projek pembinaan
empangan di Kampung Tambatuon dekat sini kerana bakal melenyapkan banyak
kampung di sekitar daerah ini.
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, cadangan membina
empangan itu akan dibatalkan sebaik saja SAPP mengambil alih teraju
pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah pada pilihanraya kali ke-13 akan datang.
"Projek itu akan mengakibatkan banyak kampung lenyap. Oleh itu sebaik saja
SAPP membentuk Kerajaan Negeri Sabah yang baru maka projek itu akan
dibatalkan," katanya. Beliau
berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan gabungan cawangan-cawangan SAPP
bagi Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Kadamaian dan Tempasuk.
Turut hadir, Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk
Eric Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Likas Datuk Liew Teck Chan, bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor
Mansoor, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong dan Naib Presiden merangkap
Timbalan Speaker Datuk Frankie Chong.
Tidak ketinggalan, Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Dr.
Chua Soon Bui, Naib Presiden Amde Sidik, Ketua Penerangan Chong Pit Fah
dan Ketua Pemuda Edward Dagul.
Hadir sama, tiga Ahli Majlis Tertinggi, Dullie Marie, Kenneth Koh, Yong
Chong Kim, Pengerusi CLC Kadamaian Agnes Moifun dan Pengerusi CLC Tempasuk
Madri Hj. Akong.
Menurut Teck
Lee, sikap para buruk pemimpin Kerajaan Persekutuan jelas kelihatan
apabila dengan bongkak mengatakan bahawa projek empangan itu diteruskan.
Katanya, salah seorang Menteri Persekutuan mengatakan demikian dihadapan
beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah di daerah ini pada 31 Julai
lalu. "Malangnya pemimpin BN
Sabah itu yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli
Parlimen yang hadir ketika itu hanya berdiam diri saja.
"Ini menunjukkan para pemimpin BN Sabah takut bersuara. Sudah jelas bahawa
para pemimpin BN Sabah risau kedudukan mereka akan terancam jika bersuara.
Ini menunjukkan Kuala Lumpur berkuasa terhadap Sabah jika Negeri in
berterusan diperintah oleh BN.
"Sudah sampai masanya kuasa otonomi dikembalikan kepada Sabah," katanya.
Teck Lee berkata, kuasa otonomi akan dikembalikan kepada Sabah jika SAPP
mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri.
Katanya, SAPP bertindak mengembangkan sayap ke Kadamaian dan Tempasuk
setelah keluar dari sangkar BN kerana sebelum ini tidak dibenarkan berbuat
demikian. Katanya, kerusi Dewan
Undangan Negeri Kadamaian dan Tempasuk boleh dirampas dari BN memandangkan
SAPP mendapat sokongan luar biasa sejak hadir di kedua-dua kerusi DUN ini.
Beliau berkata, para ahli dan pemimpin perlu tingkatkan lagi usaha dari
semasa ke semasa agar tujuan utama untuk memenangi DUN Kadamaian dan
Tempasuk menjadi kenyataan.
|