Dasar BN susahkan
rakyat
KUNDASANG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sering membuat pelbagai dasar
yang membebankan rakyat seperti mengharamkan perladangan dilereng bukit.
Presiden Parti Maju Sabah
(SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, pengharaman seperti itu
menyebabkan ramai penduduk terutamanya di Kundasang tidak dapat lagi
mengusahakan ladang tanaman.
"Dasar BN yang memutuskan
perladangan dilereng bukit diharamkan sebenarnya tidak tepat. Sepatutnya,
lereng bukit dengan kecuraman tertentu boleh dibangunkan sebagai ladang
tanaman jika segala aspek keselamatan dipatuhi.
"Sebenarnya jenis tanaman yang
sesuai dengan kecuraman tertentu tidak mengundang bahaya. Pihak jabatan
tertentu sepatutnya turun ke padang membuat kerja sekaligus membantu
peladang agar mereka dapat mengusahakan ladang sayur dilereng bukit.
"Sayur-sayuran tanah tinggi
hanya terdapat di Kundasang oleh itu perladangan sayur di lereng bukit
sepatutnya tidak diharamkan sama sekali.
"Janganlah hanya kerana ada
kejadian tanah runtuh maka semua kawasan lereng bukit tidak boleh
dibangunkan dengan tanaman jenis sayur-sayuran tanah tinggi," katanya.
Turut hadir, Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk
Eric Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Likas Datuk Liew Teck Chan, bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor
Mansoor, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong dan Naib Presiden merangkap
Timbalan Speaker Datuk Frankie Chong.
Tidak ketinggalan, Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Dr.
Chua Soon Bui, Ketua Penerangan Chong Pit Fah, Ketua Pemuda Edward Dagul
dan Pengerusi Penganjur Japiril Suhaimin. Hadir sama, empat Ahli Majlis Tertinggi, Dullie Marie, Kenneth Koh, Yong
Chong Kim dan Agnes Moifun.
Teck Lee berkata, ramai penduduk Kundasang sudah kehilangan punca ekonomi
apabila Kerajaan BN membuat dasar bahawa lereng bukit tidak boleh
dibangunkan sedikit masa lalu. Katanya, dasar Kerajaan BN yang mengharamkan penggunaan bot pam juga
membebankan para nelayan miskin.
Katanya, para nelayan itu sudah tentu tidak dapat membeli enjin bot
sangkut yang mahal berbanding bot pam.
Beliau berkata, Kerajaan BN tidak pula mengharamkan kereta Proton dan
Kancil walaupun kedua-dua jenis kenderaan itu sering digunakan pengusaha
teksi sapu.
Sementara itu, Japiril dalam ucapannya berkata, BN telah berjanji pada
pilihanraya kali ke-12 lalu bahawa Pegawai Daerah Ranau yang berasal dari
Kundasang, Siriman Basir akan dihantar balik ke Kundasang.
Katanya, janji itu tidak ditepati apabila Siriman telah ditukarkan ke
Tenom. Japiril juga mengatakan bahawa masalah PATI yang mendapat MyKad di Ranau
dan Kundasang tidak ditangani Kerajaan BN malah semakin bertambah. Pada majlis sama, lebih 100 ahli dari empat cawangan baru telah memohon
menyertai SAPP. Cawangan baru itu ialah Kampung Tibabar yang diketuai Ubag alias Jaminin
Malinjau, Kampung Keiyip yang diketuai Kayangau Limpagat, Kampung Kantas
yang diketuai Malau Mangasi dan Kampung Nawanon yang diketuai Saidin Ladi.
Pengerusi Tetap UMNO cawangan Kampung Kundasang, Jamain Kinding juga telah
menyerahkan borang permohonan untuk menjadi ahli SAPP. |