Isu Tanah agenda utama SAPP
|
 |
Kota
Marudu, Oct 4, 2010: Parti Maju Sabah (SAPP) akan melaksanakan reformasi tanah apabila
mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah selepas memenangi
pilihanraya umum kali ke-13 akan datang.
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, melalui reformasi
itu, tanah pertanian hanya diberikan kepada penduduk tempatan saja dan
tidak akan dipajakkan lagi kepada syarikat swasta terutamanya dari
Semenanjung.
Katanya, pajakan tanah sesebuah syarikat swasta itu tidak akan disambung
apabila tamat manakala tanah itu akan diberi kepada rakyat. |
|
Apakah masa depan untuk
generasi muda tanpa tanah pertanian yang dipajakkan? |
Beliau berkata, tanah berstatus Tanah Anak Negeri (Native Title) juga akan
diberi kepada penduduk Bumiputera kerana mereka mempunyai hak dari segi
adat (Native Customary Rights).
Katanya, SAPP menjadikan isu tanah sebagai salah satu agenda utama kerana
banyak tanah milik rakyat telah jatuh ke tangan syarikat dari Semenanjung.
Katanya, perkara sedemikian berlaku kerana ada sebilangan pemimpin yang
tidak jujur.
Beliau menambah bahawa banyak tanah pertanian di seluruh Sabah sudah
dipajakkan kepada syarikat dari Semenanjung.
"Satu jawatankuasa reformasi tanah yang diketuai Timbalan Presiden SAPP
merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun akan bertindak
dengan segera sebaik saja SAPP mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri
Sabah.
"Isu tanah kini menjadi salah satu agenda utama SAPP kerana sejak
kebelakangan itu banyak tanah rakyat telah jatuh ke tangan syarikat swasta
dari Semenanjung.
"SAPP akan memperbetulkan perkara ini apabila membentuk kerajaan baru
nanti," kata Teck Lee.
Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri berucap merasmikan Mesyuarat Agung
Tahunan gabungan cawangan-cawangan Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC)
Kota Marudu, Pitas dan Banggi, di sini.
Turut hadir, Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk
Eric Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Likas Datuk Liew Teck Chan, bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor
Mansoor dan Naib Presiden merangkap Timbalan Speaker Datuk Frankie Chong.
Tidak ketinggalan, Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Dr.
Chua Soon Bui, Ketua Penerangan Chong Pit Fah, Ketua Pemuda Edward Dagul
dan Pengerusi CLC Banggi Jaely Medong, dan Pengerusi CLC Kanibongan Dason
Suran alias Gaban.
Hadir sama, Naib Presiden Amde Sidik dan tiga Ahli Majlis Tertinggi,
Dullie Marie, Kenneth Koh, Yong Chong Kim, Pengerusi CLC Tandek Tan Chun
San.
Eric juga merupakan Pengerusi parti bagi Zon Utara.
Sementara itu, Dason dalam ucapannya mengatakan bahawa program e-kasih
tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat tetapi hanya menguntungkan
para kontraktor.
"Sebagai contoh, projek pemeliharaan ayam. Reban dibina manakala ayam dan
baja dibekalkan tetapi tidak berhasil.
"Kontraktor yang dapat untung kerana mendapat projek membina reban dan
membekalkan ayam serta baja manakala peserta mengalami kerugian," katanya.
Pada majlis sama, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Johanis
Piut, menyertai SAPP.
SAPP juga menerima permohonan keahlian dan seterusnya pembukaan enam
cawangan baru di Matunggong melalui Richard Jiun Masigi.
komen |