SAPP akan batalkan
loji janakuasa arangbatu
LAHAD
DATU, Okt 5, 2010: Parti Maju Sabah (SAPP) akan membatalkan cadangan
membina loji janakuasa arang batu di Kampung Sinakut dekat sini sebaik
saja membentuk Kerajaan Negeri Sabah yang baru selepas memenangi
pilihanraya umum kali ke-13 akan datang.
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, projek loji
janakuasa arang batu itu pasti akan dibatalkan apabila SAPP mengambil alih
pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah nanti.
"Loji janakuasa arang batu itu hanya membawa kesan negatif kepada alam
sekitar serta menjejaskan kesihatan para penduduk," katanya.
Beliau
berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan gabungan cawangan-cawangan SAPP
bagi Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Lahad Datu dan Tungku di sini.
Turut hadir, Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk
Eric Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Likas Datuk Liew Teck Chan, bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor
Mansoor, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong dan Naib Presiden merangkap
Timbalan Speaker Datuk Frankie Chong.
Tidak ketinggalan, Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Dr.
Chua Soon Bui, Naib Presiden Amde Sidik, Ketua Penerangan Chong Pit Fah,
Ketua Pemuda Edward Dagul dan Ahli Majlis Tertinggi, Dullie Marie, Kenneth
Koh dan Yong Chong Kim.
H adir
sama, Pengerusi CLC Lahad Datu merangkap Pengerusi Zon Silam Wong Yu Chin,
Pengerusi CLC Tungku Suaib Mutalib dan Pengerusi Penganjur Mapa Sari Tara.
Teck Lee berkata, sedikit masa dulu Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman
telah mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Sabah menolak cadangan projek
loji janakuasa arang batu itu dengan alasan alam sekitar dan kesihatan
rakyat akan terjejas.
Katanya, bagaimanapun, Kerajaan kemudiannya menyokong pembinaan loji itu
apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menumumkan bahawa
projek itu akan diteruskan.
Beliau berkata, cadangan membina loji itu berpindah-pindah dari Silam
dekat sini ke Seguntor di Sandakan dan kemudiannya Kampung Sinakut.
Katanya, cadangan membina loji itu mendapat lampu merah apabila Jabatan
Alam Sekitar menolak laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang
dikemukakan pihak perunding projek itu baru-baru ini.
Menyentuh masalah pengangguran dikalangan belia khususnya di Lahad Datu,
Teck Lee berkata, peluang kerja bagi golongan muda terlalu sedikit kerana
keadaan ekonomi Sabah tidak stabil.
Katanya, peluang itu semakin berkurangan apabila pekerjaan seperti
juruteknik komputer dirampas para belia dari Semenanjung.
Katanya, lebih kurang 500 juruteknik komputer dari Semenanjung sudah
memulakan tugas di sekolah-sekolah seluruh Sabah baru-baru ini.
Beliau berkata, pekerjaan seperti juruteknik komputer boleh dilakukan para
belia di negeri ini kerana ramai daripada mereka mendapat latihan dalam
bidang itu, tetapi perkembangan terbaru yang tidak baik itu menunjukkan
Kuala Lumpur kini ingin merampas peluang pekerjaan di Sabah.
Teck Lee berkata, masalah pengangguran itu menyebabkan ramai belia di
negeri ini termasuk di Lahad Datu terjebak dalam kancah masalah sosial
seperti menjadi Mat Rempit.
Sementara itu, Yu Chin dan Mapa Sari dalam ucapan mereka berkata ramai
penduduk di Kampung Singgamata, Kampung Panji, Kampung Puyut dan Kampung
Burung kehilangan tempat berteduh apabila rumah mereka dirobohkan Kerajaan
Barisan Nasional Sabah.
Mereka berkata, para penduduk itu sepatutnya diberi tapak baru untuk
membina rumah terlebih dulu sebelum kediaman mereka dirobohkan untuk
memberi laluan kepada projek pembangunan.
Menurut mereka, para pemimpin mahu pun wakil rakyat dari Barisan Nasional
tidak datang memberi sebarang bantuan sekaligus membelakangkan slogan
Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
|