BN Tidak Prihatin Masalah Rakyat
SANDAKAN,
Okt 5, 2010: Para pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak prihatin terhadap
masalah rakyat malah menjauhkan diri.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata,
para pemimpin BN di Sandakan senyap saja apabila ada belia dari daerah ini
berhadapan dengan masalah.
"Tiga belia dari Sandakan dimana seorang mati dibunuh di Semenanjung,
seorang menunggu hukuman gantung kerana kes dadah di Singapura dan seorang
lagi ditahan dipenjara di negara China kerana disyaki mengedar dadah.
"Sehingga ke hari ini tidak ada satu pun pemimpin BN datang memberi
bantuan kepada keluarga mangsa bunuh itu seperti menghulurkan bantuan
kewangan bagi menguruskan mayat.
"Ahli keluarga belia yang menghadapi hukuman gantung itu sepatutnya diberi
bantuan supaya mereka dapat menemui pemuda itu.
"Begitu juga dengan beliawanis yang ditangkap di China itu yang kini
merengkok di penjara tanpa mendapat sebarang bantuan samada dari segi
perundangan agar dapat pembelaan dan ditemui ahli keluarga.
"Beliawanis itu ditangkap kerana menjadi keldai sindiket pengedaran dadah
setelah terperangkap oleh tipu helah seorang pemuda Afrika,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan gabungan
cawangan-cawangan SAPP bagi Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Tanjung
Papat, Elopura, Karamunting dan Sekong di sini.
Turut hadir, Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk
Eric Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Likas Datuk Liew Teck Chan, bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor
Mansoor, Setiausaha Agung merangkap Pengerusi Zon Sandakan Datuk Richard
Yong dan Naib Presiden merangkap Timbalan Speaker Datuk Frankie Chong.
Tidak ketinggalan, Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Dr.
Chua Soon Bui, Naib Presiden Amde Sidik, Ketua Penerangan Chong Pit Fah,
Ketua Pemuda Edward Dagul dan Ahli Majlis Tertinggi, Dullie Marie, Kenneth
Koh dan Yong Chong Kim.
Hadir sama, Naib Presiden merangkap Pengerusi CLC Tanjung Papat Poon Kee
Yang dan Pengerusi Penganjur Hj. AM Jaafar Hj. AM Juana.
Teck Lee berkata, kejadian seperti itu adalah berpunca daripada kemiskinan
yang menimpa Sabah sehingga menyebabkan ramai belia dan beliawanis
berhijrah ke luar negeri mencari kerja.
Katanya, ramai daripada mereka itu merempat dan ada yang terlibat dengan
jenayah.
"Sabah jatuh miskin kerana Barisan Nasional yang dikuasai Kuala Lumpur.
Keadaan ini boleh diperbetulkan apabila SAPP mengambil alih teraju
Kerajaan Negeri Sabah pada pilihanraya akan datang dan seterusnya
mengembalikan kuasa otonomi.
Richard Yong, Poon Kee Yang, Hj. AM Jaafar dan Hj. Abdu Rasyid Mutalip
wakil dari Sekong turut menyampaikan ucapan di majlis itu. |