Penampang Mulakan Perubahan Politik Sabah
PENAMPANG, Okt 8, 2010:
Angin perubahan politik Sabah bermula di Penampang dan sejarah telah
membuktikannya apabila beberapa Kerajaan Negeri Sabah yang lepas telah
tumbang oleh keadaan itu.
Bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor Mansoor berkata, USNO dan
Berjaya tumbang kerana perjuangan para pemimpin dan ahli parti Berjaya dan
Parti Bersatu Sabah (PBS) bermula dari Penampang.
"Perjuangan parti Berjaya bermula di Penampang dan mereka telah
tewaskan USNO pada 1975. PBS juga memulakan perjuangan mereka di Penampang
dan berhasil mengalahkan Berjaya pada 1985.
"Oleh itu, semangat perjuangan seperti itu perlu disemaikan dikalangan
para pemimpin dan ahli Parti Maju Sabah (SAPP) agar dapat membentuk
Kerajaan Negeri Sabah yang baru selepas pilihanraya kali ke-13 akan datang.
"Saya lihat, semangat perjuangan seperti itu sudah ada. Apa yang
penting sekarang ialah teruskannya supaya pembentukan sebuah Kerajaan
Negeri Sabah yang mempunyai otonomi menjadi kenyataan," katanya.
Beliau berucap pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan gabungan
cawangan-cawangan parti dalam Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC) Moyog
di sini.
Mesyuarat itu melibatkan cawangan Kimoligan, Pogunon, Tindai, Kibabaig
dan Nambazan.
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee menyempurnakan
perasmian mesyuarat itu.
Turut hadir, Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk
Eric Majimbun yang juga Pengerusi CLC Moyog, Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Likas Datuk Liew Teck Chan, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong dan Naib
Presiden merangkap Timbalan Speaker Datuk Frankie Chong.
Tidak ketinggalan, Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk
Dr. Chua Soon Bui, Naib Presiden Amde Sidik, Ketua Penerangan Chong Pit
Fah, Ketua Pemuda Edward Dagul dan Ahli Majlis Tertinggi, Dullie Marie,
Kenneth Koh dan Yong Chong Kim.
Hadir sama, Naib Pengerusi Moyog, Aloysius Siap, Florian Chong dan Alex
Masabal. |