Pemilihan SAPP bebas
puak dan wang
PENAMPANG, Okt 8, 2010: Parti
Maju Sabah (SAPP) sentiasa mengamalkan prinsip kekeluargaan dalam setiap
pemilihan parti tanpa berpuak-puak atau politik wang.
Presiden SAPP Datuk Seri
Panglima Yong Teck Lee berkata, semangat kekeluargaan sesama calon yang
ingin bertanding apa jua jawatan dalam parti tertanam dengan sendiri
apabila mereka sama-sama berada dalam satu rombongan menghadiri Mesyuarat
Agung Tahunan setiap cawangan.
"Setiap calon akan diundang
menghadiri semua Mesyuarat Agung Tahunan itu bagi memperkenalkan diri
masing-masing.
"Mereka akan sama-sama berada disesuatu tempat ketika beramah mesra dengan
para ahli diperingkat cawangan bagi meraih undi dan ini sekaligus
merapatkan lagi hubungan sesama calon.
"Parti akan membiayai mesyuarat
agung itu dan ini bererti setiap calon tidak perlu mengeluarkan wang
belanja seperti mengadakan majlis jamuan makan atau seumpamanya.
"Oleh itu, politik wang dapat
dihindari. Hubungan erat sesama calon juga akan bertambah baik selepas
pemilihan selesai," katanya.
Beliau berucap merasmikan
Mesyuarat Agung Tahunan gabungan cawangan-cawangan parti dalam
Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC) Moyog di sini. Mesyuarat itu
melibatkan cawangan Kimoligan, Pogunon, Tindai, Kibabaig dan Nambazan.
Turut hadir, Timbalan Presiden
merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun yang juga Pengerusi
CLC Moyog, Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Likas Datuk Liew Teck Chan, bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor
Mansoor, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong dan Naib Presiden merangkap
Timbalan Speaker Datuk Frankie Chong.
Tidak ketinggalan, Naib
Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk Dr. Chua Soon Bui, Naib
Presiden Amde Sidik, Ketua Penerangan Chong Pit Fah, Ketua Pemuda Edward
Dagul dan Ahli Majlis Tertinggi, Dullie Marie, Kenneth Koh dan Yong Chong
Kim.
Hadir sama, Naib Pengerusi
Moyog, Aloysius Siap, Florian Chong dan Alex Masabal.
Teck Lee berkata, setiap cawangan akan menghantar dua wakil ke kongres
parti untuk memilih calon bagi jawatan yang ditandingi.
Katanya, wakil cawangan itu
tidak akan melalui proses tapisan diperingkat bahagian seperti yang
diamalkan UMNO.
Beliau berkata, kaedah seperti itu dapat mengelakkan politik wang.
Katanya, kejadian tidak
diingini seperti pergaduhan dan politik wang tidak pernah berlaku dalam
setiap pemilihan sejak SAPP ditubuhkan pada 1994.
Beliau berkata, pemilihan SAPP
sentiasa berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah kerana semangat
kekeluargaan sentiasa tersemat dikalangan para calon termasuk para
pemimpin dan ahli kerana parti itu mengamalkan budaya perpaduan, komitment,
khidmat, kredibiliti, disiplin, ketabahan dan maju.
Tujuh cawangan baru juga akan
dibuka di Moyog apabila penengerusi penaja ketujuh-tujuh cawangan itu
menyampaikan borang permohonan penubuhan cawangan dan keahlian kepada Teck
Lee di majlis itu.
|