Pecah amanah LIGS: SAPP Saran segerakan tindakan
TENOM,
Oktober 11, 2010: Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Jimmy Jawatah (gambar),
menegaskan bahawa dakwaan para peneroka Lembaga Industi Getah Sabah (LIGS)
Lagud Sebrang kononnya wujud perlakuan curang atau 'pecah amanah' keatas
harta hak milik LIGS yang didalangi mantan pengurusnya dan segelintir
kakitangan lain harus dijalankan penyiasatan menyeluruh dan seret
petualang itu ke muka pengadilan.
Katanya, perlakuan mereka yang terbabit adalah serius jika dakwaan itu
terbukti benar kerana melibatkan kepentingan awam yang mengamanahkan
mereka untuk mengurus dengan baik tetapi sebaliknya mereka bertindak
ibaratkan "Harapkan pagar, tetapi pagar pula yang makan tanaman".
"Kita memandang serius dakwaan itu dan meminta pihak tertentu khususnya
SPRM agar jangan memilih bulu dalam menjalankan siasatan tersebut. Kita
percaya kejadian ini mempunyai rangkaian dengan lain lain jabatan termasuk
'ikan besar'," kata beliau dalam satu kenyataan disini pada Isnin.
Jimmy yang juga Pengerusi CLC SAPP Tenom seterusnya menegaskan bahawa
kerajaan telah ketirisan hasil yang boleh dianggarkan jutaan ringgit
apabila ladang getah yang sudah mengeluarkan hasil bertahun tahun lalu
seluas 550 ekar tidak sesen pun masuk ke tabung kerajaan menerusi LIGS.
"Jadi,..mengapakah pihak pengurusan LIGS tidak bertindak segera terhadap
masalah ini... jika menurut kenyataan itu masalah tersebut telah berlaku
bertahun tahun yang lalu tetapi LIGS memilih jalan mendiamkan diri...mengapa?
Atau mungkinkah ada disebaliknya?." kata Jimmy.
Tegasnya lagi, anehnya selepas kegiatan pihak terbabit itu bocor dan
sampai ke pengetahuan pihak pengurusan LIGS pusat, pihak terbabit hanya
dikenakan tindakan ringan iaitu menukarkan mantan pegawai stesen itu ke
daerah lain tanpa melakukan apa apa tindakan susulan selepas itu.
Kenyataan Jimmy itu timbul ketika mengulas ekoran pendedahan laporan
akhbar menyebut bahawa peneroka mahu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa
Haji Aman campur tangan untuk menyelesaikan apa yang mereka dakwa wujud 'pecah
amanah' yang melibatkan seorang bekas pegawai serta beberapa kakitangan
skim itu dalam pengurusan harta dan hasil LIGS Lagud Sebrang.
Bekas Pengerusi JKKK yang juga seorang peneroka Uran Ontoros yang mendapat
sokongan seramai 1,018 tanda tangan peneroka disitu ketika mendedahkan
salah laku itu, meminta kerajaan mengambil tindakan tegas menangani
masalah tersebut termasuk menyeretkan mereka yang terbabit ke muka
pengadilan.
Sementara itu dalam perkara yang tidak berkaitan, Jimmy turut menyelar
kerajaan agar mengkaji semula sistem penswastaan yang melibatkan
kepentingan awam terutamanya penswastaan untuk penyelenggaraan jalanraya
yang telah mendapat tomahan daripada segenap lapisan masyarakat penduduk
diceruk ceruk perkampongan berhubung ketidak keberkesanannya.
"Adalah lebih baik agar dikaji semula prestasi mereka dengan sekurang
kurangnya mendapat 'feed back' daripada para JKKK atau pemimpin kawasan
terlebih dahulu sebelum meneruskan perkhidmatan mereka. Jikalau tidak
penduduk kampong yang akan menjadi mangsa keadaan kerana senantiasa
tertekan dengan kelibat mereka yang tidak melakukan kerja kerja yang
berkualiti ketika menjalankan penyelenggaraan jalanraya….kebanyakkan kerja
kerja yang dilakukan 'cincai' sahaja," tegas Jimmy.
Tegasnya, beliau mendakwa telah menerima banyak 'sms' sebelum ini
berhubung masalah ketidak sempurnaan tugas yang dijalankan oleh pihak
swasta yang dipertanggung jawabkan menyelenggarakan jalanraya diperingkat
kampong malah ada jambatan yang terpaksa menunggu bertahun tahun untuk
dibaikpulih.
Oleh: Mail Mathew |