Bukan rakyat didahulukan tetapi pembangunan yang didahulukan
KOTA KINABALU,
Okt 12, 2010: Perniagaan terpaksa dihentikan apabila
menerima notis merobohkan gerai-gerai menjual ikan, sayuran dan makanan
dari DBKK di kawasan gudang Karamunsing ditepi Sungai Sembulan. Lebih
kurang 20 orang penduduk Sembulan yang terdiri dari kaum nelayan dan
peniaga kecil yang menyara hidup berniaga dikawasan tersebut selama lebih
kurang 30 tahun.
Pegawai-pegawai Penguatkuasa dari DBKK mengarahkan mereka keluar dengan
serta merta dan pada 12hb Oktober, 2010 kumpulan dari DBKK datang dan
merobohkan semua gerai-gerai mereka.
Setiausaha Agung SAPP, Datuk Richard Yong, membuat lawatan ke kawasan
tersebut pada malam 11hb Oktober, 2010 menemui sekumpulan peniaga-peniaga
yang mengambil kesempatan membuka dan mengambil perkakas dan bahan-bahan
bangunan yang berguna dibawah deraian hujan. Mereka melahirkan kepada
Datuk Richard rasa kesal dan kecewa atas tindakan DBKK tersebut, dan tidak
tahu kemana harus mereka tuju untuk mencari sesuap nasi selepas ini.
Seorang peniaga, Tuan Hj Osman menyatakan bahawa keluarganya hanya
bergantung atas peniagaan disini untuk membesarkan anak-anaknya, dan
sekarang ke mana kah harus beliau pergi. "kami membayar RM3.00 tiap-tiap
hari kepada DBKK dan inilah tempat kami selama ini." kata Tuan Hj Osman.
Seorang pemuda berumur 20-an menyatakan bahawa di sinilah beliau belajar
menjual ikan sejak beliau kanak-kanak dan kemana lagi beliau harus pergi?
Pihak kami tidak menerima sebarang subsidi untuk minyak diesel dan tidak
pun menerima RM200.00 elaun nelayan dari kerajaan. Tangkapan ikan kami
senang dibawa melalui Sungai Sembulan dan menyenangkan orang ramai untuk
membelinya.
Encik Wahab menyatakan bahawa rancangan DBKK adalah untuk skim
beautifikasi yang berharga RM 40 juta. "Bukan kami menentang soal
pembangunan, tetapi kerajaan harus perihatin terhadap kepentingan dan
masalah rakyat. Kami semua rakyat Malaysia, tetapi apa yang berlaku ini
bukan lah "rakyat didahulukan tetapi pembangunan yang didahulukan" kata
beliau dengan nada kecewa.
Datuk Richard juga Pengerusi SAPP CLC Tanjung Aru merakam kan bahawa
Kerajaan mampu membuat perancangan dan mengimplimentasikan projek berharga
berjuta-juta, tetapi tidak perihatin untuk mencari satu penempatan yang
sesuai sebagai alternative untuk kumpulan ini meneruskan perniagaan dan
sumber pencarian hidup mereka.
Datuk Richard juga menyatakan ramai penduduk disini merasa dukacita amat
sangat kerana mengetahui bila-bila masa sahaja rumah mereka akan
dirobohkan untuk memberi laluan kepada rancangan `beautifikasi` Kerajaan.
Beliau kagum bagaimana Kerajaan tergamak menghalau rakyat dari rumah
mereka tanpa memikirkan `program relokasi`?. Kemana mereka harus pergi?
Samalah dengan nasib nelayan-nelayan , kemana mereka harus pergi kalau
Kerajaan tidak memikirkan untuk memberi satu kawasan alternatif untuk
mereka tinggal dan meneruskan perniagaan. Kita rasa kerajaan tidak punya
masalah kalau mahu membantu rakyat, bukan melayan rakyat tanpa keadilan.
Cara ini bukanlah unsur `priorities` yang betul.
Puan Masnah Karim dengan linangan air mata menyatakan bahawa beliau tidak
akan berganjak dari gerai sayuran beliau, kerana beliau tahu tidak ada
lagi tempat untuk dituju. "Biarkanlah apa saja DBKK mau buat, kerana
mereka Kerajaan dan mereka mempunyai kuasa untuk berbuat apa saja mereka
suka…..". |