Batu Sapi: Siapa tanggung risiko terbesar?
Oktober 26, 2010: ANALISIS BERITA Pertaruhannya jelas amat besar bagi
ketiga-tiga calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Batu
Sapi pada 4 November ini.
Ianya menjadi menarik kerana pilihan raya kecil ini dilihat sebagai
pertembungan sebenar pertama antara BN, parti pembangkang tempatan, Parti
Maju Sabah (SAPP) dan Pakatan rakyat.
Tetapi yang lebih penting ialah impak keputusannya nanti - bukan sahaja
terhadap kecenderungan pengundian di Sabah yang digelar Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai "deposit tetap" BN, tetapi juga bakal
menentukan masa depan calon-calon yang bertanding.
Mungkin risiko terbesar diambil oleh presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee
yang mengambil keputusan bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Batu
Sapi.
Ini adalah pertama kali pihaknya bertanding menentang BN, sejak ia
meninggalkan gabungan itu pada 2008 kerana tidak yakin dengan kepimpinan
perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sejak itu, Yong dan SAPP melonjakkan diri mereka sebagai pilihan terbaik
untuk masa depan Sabah, serta menghidupkan kempen 'Sabah untuk penduduk
Sabah' dan kempen 'Borneonisation' dalam usaha untuk meyakinkan pengundi
menyokong parti mengambil alih pentadbiran negeri itu.
Namun keputusan Yong untuk bertanding di kerusi tersebut mungkin akhirnya
menjadi pedang dua mata yang boleh melonjak atau menghancurkan masa depan
politik bekas ketua menteri Sabah itu.
Sebagai presiden parti, beliau ada kelebihan dari segi kedudukannya
sebagai calon, serta ditambah pula dengan pengalaman luasnya sebagai
pemimpin akar umbi.
Jika beliau menang, ia boleh dilihat sebagai tanda sokongan rakyat kepada
partinya untuk merampas Sabah daripada BN datang pilihan raya umum akan
datang.
Jika kalah. ia mungkin menandakan berakhirnya impian SAPP untuk menguasai
Sabah.
Joseph Sipalan |