Banyak dibelanja tapi rakyat Sabah masih miskin
Kota Kinabalu,
November 12, 2010: Parti Maju Sabah (SAPP) pada Khamis mempersoalkan apa yang
terjadi kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk pembasmian
kemiskinan selama ini.
Adun Luyangnya Melanie Chia berkata, Laporan Bank Dunia menimbulkan
keraguan tentang keberkesanan program membasmi kemiskinan dan program
kerajaan untuk membantu penduduk miskin di Sabah.
"Berjuta-juta telah dibelanjakan selama ini, tetapi penduduk miskin yang
sepatutnya mendapat faedah daripada program-program itu masih lagi miskin,"
keluh beliau.
Katanya, sungguh mengejutkan apabila mendapat tahu daripada Monitor
Ekonomi Malaysia Bank Dunia 2010 itu bahawa Sabah mempunyai kira-kira 10
peratus daripada penduduk Malaysia tetapi lebih 40 peratus daripada
penduduk miskin di Malaysia tinggal di Sabah.
Laporan Bank Dunia yang dikeluarkan Rabu mengesahkan Sabah masih negeri
termiskin di negara ini dan kebanyakan penduduk Sabah masih bergelut untuk
memenuhi sara hidup mereka terutamanya di kawasan luar Bandar.
Pengarah Pembangunan Insan Bank Dunia (Asia Timur, Wilayah Pasifik),
Emmanuel Jimenez berkata, "daripada penduduk miskin di Malaysia,
sebahagian besar daripada mereka ada di sini di Sabah. Dan kebanyakan
mereka tinggal di kawasan luar bandar dan daripada kumpulan etnik seperti
Rungus, Suluk dan Orang Sungai".
Menurut Chia, di Dewan Undangan Negeri sebelum ini beliau ada bertanya
kerajaan apakah rancangan dan program untuk meningkatkan kadar pertumbuhan
Negeri untuk mencapai status berpendapatan tinggi.
"Pertanyaan saya tidak dijawab. Dengan pengeluaran laporan mutakhir oleh
Bank Dunia ini yang mendedahkan penduduk kita tidak bergerak maju, saya
harap Kerajaan boleh berhenti daripada memperbodohkan kita dan bersikap
jujur terhadap rakyat."
"Mengagihkan wang semasa pilihan raya dan pilihan raya kecil tidak boleh
menutup keadaan sebenar yang berlaku di bawah. Orang miskin terus miskin
dan ini tidak dapat membantu pembangunan dan kemajuan negeri kita."
Satu lagi faktor yang diajukan dalam laporan itu adalah rakyat diberi gaji
rendah bagi kerja yang mereka lakukan. Ia berkata, mereka yang berkerja
mungkin miskin bukan kerana mereka tidak berkerja tetapi kerana mereka
berkerja dengan gaji yang rendah.
Ketika pilihan raya kecil Batu Sapi baru-baru ini, Chia berkata, beliau
perhatikan penduduk di Batu Sapi kekal miskin kerana kebanyakan mereka
melakukan pekerjaan dengan gaji rendah.
Malah ada sesetengah belia yang menyatakan bahawa mereka memilih untuk
tidak berkerja disebabkan gaji rendah yang mereka terima, dakwa beliau.
"Laporan Bank Dunia itu mengesahkan pendirian SAPP bahawa masih banyak
kerja untuk Sabah yang belum dilaksanakan. Perangkaan itu mendedahkan
keadaan sebenar yang berlaku di bawah. Angka tidak bohong.
"Kita tidak boleh mendakwa yang kita maju dan telah mencapai kejayaan
apabila masih ramai penduduk miskin di Negeri ini dan apabila kita masih
tinggal jauh ke belakang daripada segi petunjuk social," katanya. |