Kerajaan cuba tutup
malu laporan Bank Dunia
Kota
Kinabalu, Nov 16, 2010: Penafian Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan
Ketua Menteri bahawa Sabah adalah negeri termiskin di Malaysia merupakan
salah satu cara Kerajaan Negeri menutup malu terhadap laporan Bank Dunia.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee berkata bahawa
orang yang bertanggung jawab mengulas perkara penting seperti itu ialah
Ketua Menteri dan bukannya menugaskan seorang pegawai kerajaan membuat
satu kenyataan akhbar.
"Kerajaan Negeri sekarang hanya berusaha untuk mengelak mendapat malu (dengan
kenyataan dari Pengarah EPU Negeri Datuk Ismail Abdullah) bahawa kita
negeri termiskin dan perkara itu mungkin tidak dapat diatasi untuk
bertahun-tahun lamanya," katanya kepada wartawan di Ibupejabat SAPP di
Bornion di sini pada Isnin.
Teck Lee berkata, laporan Bank Dunia itu turut mengesahkan sebuah laporan
EPU di Jabatan Perdana Menteri pada 2007, yang menyatakan bahawa pada
angka 23 peratus, kadar kemiskinan di Sabah adalah yang tertinggi di
negara ini.
Katanya, nisbah rendah doktor-pesakit, bekalan elektrik tidak mencukupi,
jumlah tinggi kehadiran setimggan, kadar tinggi kegagalan pendidikan dan
lain-lain lagi di Sabah adalah penunjuk bahawa Sabah sememangnya negeri
termiskin.
"Apa yang Bank Dunia katakan ialah Sabah bukan saja miskin tetapi
memerlukan masa yang lama untuk menanganinya," katanya.
"Kerajaan tidak seharusnya menugaskan seorang pegawai untuk menyangkal
perkara itu. Penafian itu seharusnya datang dari Ketua Menteri sendiri,"
kata Teck Lee.
Pengarah EPU Sabah, Datuk Ismail Abdullah telah berkata bahawa berita
menyatakan Bank Dunia melalui laporan edisi ketiga Pemantauan Ekonomi
Malaysia (MEM) yang dilancarkan baru-baru ini telah mendapati Sabah
sebagai negeri termiskin di negara ini adalah tidak tepat.
Ismail berkata EPU Sabah kesal dengan media yang telah memutarbelitkan
fakta dan laporan yang dibuat pula "disalahtafsir keterlaluan".
Kenyataan itu dibuat selepas pelancaran kedua Laporan MEM Bank Dunia
bertemakan Pertumbuhan Inklusif di sini, ketika media diberi penjelasan
oleh Pengarah Sektor Pembangunan Manusia Bank Dunia (Asia Timur dan
Pasifik), Emmanuel Jimenez mengenai isu itu.
|