Tham diberi 24 jam
lapor polis dan SPRM
Kota
Kinabalu, November 16, 2010: Bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Tham Nyip
Shen perlu membuat laporan polis dan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia (MACC)
untuk menyiasat dakwaan bahawa wang telah dibayar bagi mendapat kelulusan
lesen Unit Pengurusan Hutan (FMU).
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee berkata beliau
memberikan Tham tempoh 24 jam untuk membuat laporan kepada dua agensi itu.
"Jika dia gagal melakukannya maka saya akan membuat laporan bahawa Tham
telah melakukan satu kesalahan berdasarkan Undang-Undang Pencegahan Rasuah
kerana menyembunyikan maklumat," kata Teck Lee dalam satu sidang akhbar di
Ibupejabat SAPP di Bornion dekat sini, pada Isnin.
Teck Lee mengulas kenyataan Tham yang mendakwa bahawa "dia telah
diberitahu beberapa kali bahawa ada segelintir individu menerima sejumlah
besar wang selepas menjanjikan urusan FMU kepada beberapa orang di
Sandakan".
Teck Lee berkata, dakwaan Tham itu seolah-olah berlaku ketika beliau (Teck
Lee) memegang jawatan Ketua Menteri dari 1996 hingga 1998.
"Ia kelihatan seperti pembayaran itu sudah diberi kepada Tham (kerana)
pada awalnya dia telah mengatakan bahawa ada banyak wang untuk dikumpulkan
(dari FMU) jadi saya menganggap wang itu adalah untuk kelulusan konsesi
FMU itu.
"Sekarang saya diandaikan wang itu dibayar oleh mereka yang ingin
mendapatkan kelulusan untuk FMU," katanya, menambah bahawa banyak syarikat
menyedari bahawa untuk mendapatkan konsesi FMU mereka harus menandatangani
Sustainable Forest Management License Agreement (SFMLA) dengan
syarat-syarat ketat.
Beliau berkata SFMLA direka oleh Jabatan Perhutanan dan diperiksa oleh
Pejabat Peguam Besar untuk melindungi hutan Sabah dan ia bukan konsesi
pembalakan.
Yong mengimbas kembali kenyataan bekas Menteri Persekutuan Datuk Seri Dr
Lim Keng Yaik bahawa FMU tidak berdaya maju.
"Nampaknya Tham telah keliru dengan mengandaikan FMU adalah konsesi
pembalakan ...ini gila," kata Teck Lee.
Teck Lee berkata beliau memberikan Tham tempoh 24 jam untuk membuat
laporan kepada pihak berkuasa dan namakan orang-orang yang membuat bayaran
itu dan penerimanya serta jumlah wang yang terlibat.
"Sekali lagi, selama ini dia (Tham) tidak pernah menyatakan semua ini
kepada saya (ketika saya memegang jawatan Ketua Menteri) ... secara
logiknya Tham adalah orang yang mendapat bayaran itu dan dia cuba
mendapatkan FMU bagi KKIP Forest Sdn Bhd untuk memenuhi apa yang telah
gagal beliau capai," katanya, menambah terserah kepada Tham untuk
menyangkalnya.
Teck Lee berkata Tham telah menggambarkan FMU sebagai tidak baik serta
tidak mempunyai pengetahuan tentang hal itu ketika beliau menjadi Timbalan
Ketua Menteri tetapi dalam kenyataannya pada Isnin, Tham mengakui bahawa
dia memang telah memohon FMU untuk membantu sebuah persatuan yang
dianggotai lebih dari 50 pemilik kilang perabot kilang di dalam dan
sekitar kawasan KKIP.
Tham mengatakan bahawa para pemilik kilang itu bimbang tentang kekurangan
bekalan kayu dan cara mendapatkannya pada harga berpatutan untuk kilang
perabot mereka apabila hutan dikendalikan oleh syarikat swasta.
Teck Lee berkata mereka yang mengendalikan FMU itu pasti tahu pada ketika
itu bahawa di antara syarat-syarat SFMLA ialah tempoh kematangan lama
sehingga 50 tahun sebelum mereka boleh mendapat keuntungan.
Teck Lee berkata bahawa pada satu ketika KKIP dikendalikan Persatuan
Perabot Pantai Barat Sabah, yang tidak ada hubungan dengan KKIP Forest Sdn
Bhd, sebuah syarikat di bawah kawalan Tham.
Teck Lee berkata secara praktikal Tham telah mengaku bahawa dia adalah
pendusta.
"Dengan ini saya menganggap Datuk Tham Nyip Shen sebagai pendusta besar
... samanlah saya," kata Teck Lee menambah bahawa Tham telah berbohong
ketika beliau berkata dia membantah keras FMU itu.
"Kami ada empat pucuk surat yang ditandatangani oleh dia (Tham)sebagai
menyokong FMU melalui KKIP Forest Sdn Bhd termasuk sepucuk surat KKIP
memohon dana dan saya percaya ada banyak lagi," katanya.
Teck Lee berkata beliau membuat pendedahan itu kerana Tham telah memohon
FMU melalui KKIP Forest Sdn Bhd dan "jika dia benar-benar membantah FMU
itu maka dia tidak seharusnya membuat permohonan dana itu”.
Teck Lee mengatakan tindakan Tham adalah sama dengan cara ayahnya Datuk
Tham Kun Siong yang menjadi peneraju sebuah taman industri kayu di
Keningau dan pada masa sama juga memohon konsesi balak "untuk menyediakan
bekalan ke taman industri kayu itu".
"Kita semua tahu ayahnya adalah pemilik kilang perabot terbesar di
Keningau," kata Yong, menambah bahawa beliau telah melupakan perkara itu
sejak sekian lama.
"(Tapi) jika dia terus berbohong tentang saya maka saya akan terus
memberitahu perkara sebenar tentang dia," tambah Teck Lee. |