47 tahun melalu jalan berlumpur?
Nabawan, November 19, 2010: BELUM pun sampai 100 hari rakyat Sabah
menyambut Hari Malaysia ke 47, penduduk Kg Bonor, di Nabawan mula merungut
kerana masih bergelumang dengan lumpur setiap kali musim hujan kerana
jalan kerbau menuju ke rumah mereka tidak boleh dilalui hatta oleh
kenderaan pacuan empat roda.
Jurucakap penduduk Kg Bonor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK), Ampalit Angimun, 51, ketika memberitahu
Sabahkini.net bahawa mereka sudah bosan dengan janji-janji kerajaan dan
wakil rakyat sejak tahun 47 tahun lalu kerana kampung mereka wujud sejak
zaman British lagi.
Tegasnya lagi, beliau sudah berulang kali mengemukakan rayuan tersebut
kepada Pejabat Daerah termasuk juga wakil rakyat; namun jawapannya agak
sama meminta mereka (penduduk) bersabar kerana kononnya masalah mereka
kini sedang dalam perhatian kerajaan.
"Sampai bila kami boleh bersabar sedangkan jalanraya ini sejauh hampir 20
kilometer kami gunakan setiap hari untuk membawa keluar hasil pertanian
kami ke pusat bandar untuk dipasarkan. Kalau janji dua atau tiga bulan
mungkin juga kami boleh bersabar, tetapi kalau sudah menjangkau 47 tahun,
macam mana?" tegas Ampalit yang mengakui jalan kayu balak di masa British
diselenggara dengan baik.
Kata Ampalit, beginilah nasib yang menimpa mereka kerana ketika musim
kemarau, terpaksa bergelut dengan debu dan musim hujan terpaksa bermandi
lumpur pula; seolah-olah mereka belum mengecap erti kemerdekaan yang
diperkatakan penduduk Bandar.
Dalam pada itu, seorang penduduk kampung, Palimon Kamunsing, 50, turut
menjelaskan bahawa selain mereka, warga pendidik dan kanak-kanak di
Sekolah Kebangsaan (SK) Bonor turut mengalami masalah yang sama.
"Selain SK Bonor, terdapat beberapa buah sekolah lagi mengalami masalah
yang sama seperti SK Pengaraan, SK. Pohon Batu, SK. Binanun, SK.
Nangkawangan dan SK. Mamagun. Tapi macam ini jugalah. Malas sudah kami
bising kerana puas merayupun kami pula kena kutuk," ujar Palimon yang
menggesa agar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turun padang
memantau keperluan mereka.
Tegas Palimon lagi, keadaan jalan ‘kerbau’ seperti itu menyukarkan pihak
guru membawa keperluan mereka termasuk peralatan mengajar ke sekolah
kerana pengangkutan awam enggan melalui jalan tersebut kerana khuatir
kenderaan mereka akan rosak atau terkubur.
Akibat keadaan jalanraya yang tidak mengizinkan, kata Palimon, banyak
jabatan kerajaan terpaksa membatalkan banyak program pembangunan mereka
seperti Perkhidmatan Jabatan Kesihatan Bergerak yang sebelum ini
mengunjungi kampung itu mengikut jadual, namun kini tergendala berikutan
masalah perhubungan.
"Saya amat sedih kerana apabila ada penduduk yang sakit tenat dan
memerlukan rawatan di Hospital Keningau tidak dapat dibawa keluar dengan
cepat kerana masalah itu. Malangnya ramai yang meninggal dunia tanpa
sempat mendapatkan rawatan. Apa daya kami?," ujar Palimon lagi yang
mengakui Kg. Pengaraan, Kg. Pohon Batu A, Kg. Pohon Batu B, Kg. Sumbiling,
Kg. Binanun, Kg. Nangkawangan, Kg. Lumiri Tengah, Kg. Mamagun dan Kg.
Likowon turut mengalami masalah yang serupa.
Oleh: MAIL MATHEW |