DAP akan terima 'telur busuk' di Pedalaman
TERKILAN dengan gelagat pemimpin DAP Sabah yang sanggup menjadi 'Boneka'
kepada BN ketika PRK Batu Sapi seperti yang dilaporkan portal terkemuka
Sabahkini.net dan juga akhbar-akhbar tempatan; memperlihatkan kematangan
dan kebolehpercayaan pemimpin DAP, Dr Hiew Keng Chew, Dr Bosi dan Jimmy
Wong yang begitu rendah sekali dalam sejarah politik Sabah sejak merdeka
47 tahun lalu.
Saya (mewakili rakan seperjuangan pembangkang di pedalaman) terpanggil
untuk meluahkan rasa kesal dengan tindakan tidak beretika yang mereka
tunjukkan itu dan boleh disifatkan sebagai 'musuh dalam selimut',
semata-mata memuaskan hawa nafsu mereka yang didorong oleh perasaan balas
dendam.
Sesungguhnya SAPP bukan dalam gagasan pembangkang atau Pakatan Rakyat (PR)
tidak seharusnya dipandang serong, tetapi sebaliknya tidak salah jika
sekiranya ada jalan penyelesaian baru seperti 'Ikatan Persefahaman'
sebagai 'Rakan Sehaluan Untuk Satu Tujuan'; seharusnya telah dipupuk dan
disemai sebagai langkah permulaan melalui PRK ini, jika pemimpin DAP itu
tidak didorong oleh agenda politik lain.
Ekoran kelibat buruk tiga pemimpin DAP itu, menyebabkan timbul banyak
kekeliruan dan kecelaruan di kalangan penyokong dan pengundi bumiputra di
Parlimen Batu Sapi termasuklah ribuan pengundi atas pagar yang terus
sahaja melorongkan sokongan mereka kepada calon BN setelah mendapat
maklumat bahawa BN akan menang selesa atas bantuan DAP yang mengarahkan
pengundi Cina untuk mengundi BN.
Akibatnya, sebilangan besar kalangan pengundi atas pagar yang meliputi
pelbagai kaum tidak mengundi calon PKR Haji Ansari Abdullah gara-gara
khuatir mereka akan menjadi mangsa tekanan BN selepas PRK itu.
Walaupun pada ketika itu, maklumat yang diperolehi (wujud kerjasama BN dan
DAP) hanya samar-samar kerana ia tersebar dari mulut ke mulut, namun
pendedahan media berhubung perkara itu cukup menyakitkan hati dan kesal di
atas tindakan DAP itu.
Kepercayaan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman terhadap DAP
terutamanya politik Hiew dan Bosi sudah menjadi pudar, malah tidak yakin
terhadap ketelusan dan keikhlasan dua pemimpin bersifat 'ular dua kepala'
ini.
Jika boleh, buat masa ini, tiga pemimpin DAP ini janganlah melawat kawasan
pedalaman kerana dikhuatiri mereka akan menerima lontaran 'telur busuk'
sebagai hadiah kepada peranan mereka bersekongkol dengan BN dan menikam
SAPP dari belakang.
Adalah diharapkan agar pucuk kepimpinan PR atau DAP menyiasat insiden itu
dengan lebih terperinci dan jika mereka ini didapati bersalah atau ada
bukti melakukan perkara terkutuk itu, lebih baik kedua-duanya disingkir
menjadi ahli PR untuk sesuatu tempoh; kerana selagi Hiew atau Bosi berada
dalam pembangkang, tentunya peluang untuk pembangkang menumpaskan BN pada
PRU13 amat tipis dan sebagai angan-angan kosong sahaja.
Sekian, Salam Damai.
MICHAEL J (November 28, 2010)
|