Jangan gadaikan maruah bangsa rakyat Sabah kepada orang luar
Tenom,
Disember 8, 2010: SEDAR atau tidak bahawa tanah tanah pertanian di
Sabah sudah lebih kurang 50 peratus jumlahnya sudah beralih tangan
kepada pihak lain dari Semenanjung melalui beberapa syarikat syarikat
gergasi luar seperti Yayasan Melaka yang mendapat kira kira lebih 25
ribu ekar daripada tanah Hutan Simpan di Sabah.
Sedangkan rakyat Sabah yang tinggal dikawasan Hutan Simpan khususnya
masyarakat Murut yang tinggal di Mukim Dalit dan masyarakat Rungus di
Kudat pernah suatu ketika dulu telah dihalau keluar dari kawasan
tersebut malah rumah rumah mereka turut dibakar tanpa peri kemanusiaan.
"Apakah tindakan kerajaan UMNO-BN ini adil untuk rakyat atau menyeksa
rakyat?" demikian dinyatakan mantan Menteri Kewangan Sabah Datuk Haji
Mohd Noor Mansor ketika berucap dimajlis Induksi ahli ahli baru SAPP
Kemabong di Hotel Perkasa dekat Tenom pada baru baru ini.
Beliau menyifatkan keadaan pemerintahan kerajaan Umno-BN diSabah agak
keterlaluan dari segi batas batas kemanusiaan dimana kalau pun mereka
menghulurkan bantuan tetapi hanya kepada pengikut pengikut mereka
sahaja yang terdiri daripada PATI yang telah dikitar semula menjadi
RAKYAT SABAH.
Selain masalah ekonomi yang semakin serius, masalah pengangguran di
kalangan para belia dan beliawanis di Sabah turut terabai dan semakin
menjadi jadi dimana terdapat laporan akhbar beberapa bulan lalu yang
mengatakan beribu belia Sabah terpaksa berada dalam keadaan hidup
melarat di Kuala Lumpur kerana ditindas majikan mereka.
"Bila kita tanya dan tegur pemimpin pemimpin BN Sabah terutamanya
Menteri terbabit, mereka cepat cepat menafikannya. Pada hal insiden itu
benar benar berlaku dan sepatutnya kerajaan negeri melalui Kementerian
terbabit pantas bertindak dan bukan membuang masa berdolak dalik,"
tegas Matnor.
Malahan ada diantara belia belia kita bekerja di Singapura dan
Semenanjung terlibat dengan masalah jenayah serius termasuk ada yang
menanti masa dan ketikanya ke tali gantung kerana terlibat dengan
jenayah dadah seperti yang berlaku di Singapura.
Sesungguhnya kejadian kejadian yang dilakukan mereka (belia) bukanlah
atas kehendak para pemimpin kerajaan Sabah namun ia berpunca atas
kelemahan mereka dari segi meyusunatur pentadbiran yang tidak
mengambilkira masalah penempatan belia belia menganggur termasuklah
lepasan graduan.
"Semua ini berlaku kerana kelalaian mereka yang langsung tidak menitik
beratkan soal belia yang menganggur dan begitu juga yang dihadapi para
graduan yang terus menganggur bertahun tahun sukar mendapat pekerjaan.
Keadaan hidup mereka semakin serius dan tertekan mengakibatkan mereka
tiada pilihan selain bertindak melakukan penghijrahan mencari pekerjaan
ke Semenanjung," tambah Datuk Matnor.
Matnor seterusnya menegaskan bahawa selagi sikap pemimpin pemimpin
UMNO-BN terus 'lupa diri' terhadap tanggung jawab mereka memajukan
negeri ini dan sebaliknya mereka meneruskan amalan 'Korupsi' yang
mementingkan diri mereka termasuk kroni-kroni yang senantiasa menjejaki
mereka ibarat 'lintah kelaparan untuk menghisap darah' alamatlah apa
yang dilaporkan media kononnya Bank Dunia dipetik sebagai berkata, "Sabah
diantara negeri yang termiskin diMalaysia" akan menjadi kebenaran.
Oleh itu tegas Matnor, tiada siapa yang mampu mengubah keadaan sebegini
rupa selain daripada rakyat Sabah itu sendiri yang harus berani bangun
untuk mengubahnya secara demokrasi menerusi pilihanraya umum akan
datang ini. Jika tidak, siapa lagi yang boleh berbuat sedemikian kerana
Sabah adalah hak milik kita dan adalah menjadi tanggung jawab kita
bersama untuk melakukan perubahan yang bakal kita lakukan pada PRU13
kelak.
"Saya tua tua bangka ini pun sanggup juga turun padang bersama anak
anak sekalian untuk mempastikan kita rakyat Sabah sama sama bangun
membina semangat baru untuk terus berjuang mendapatkan kembali hak dan
kuasa autonomi kita diSabah. Jika kita lambat bertindak selagi itu
masalah hak kita semakin terhakis. Ketika itu kita menangis hingga
menitis air mata darah sekalipun tidak berguna lagi," tegas Matnor
dengan nada serius.Oleh: AMBROSE MAIL MATHEW
|