Jangan harap kepada pemimpin Semenanjung
KOTA BELUD, Disember 29, 2010: Seorang peguam tempatan terkemuka
menggesa penduduk Sabah dan Sarawak agar tidak mengharapkan pemimpin
dari Semenanjung memperjuangkan hak mereka.
Penduduk Sabah dan Sarawak patut bersatu kembali di bawah payung parti
politik negeri masing-masing dan menyokong mana-mana kumpulan yang akan
memenuhi permintaan mereka," kata Peter Marajin yang bertanding atas
tiket bebas dalam pilihanraya umum 2008 dan memperoleh 1,700 undi.
"Kita di Sabah dan Sarawak tidak patut mengharapkan mereka untuk
menyokong permintaan dan kemahuan kita walaupun ia hak negeri kita.
"Mereka akan berjuang demi hak mereka. Kita tidak boleh mengharapkan
mereka dari Semenanjung untuk berjuang untuk kita di Sabah dan
Sarawak," katanya kepada sekumpulan pemimpin di Dewan Mayang Sari di
sini semalam.
Beliau berucap mengenai politik semasa dan senario politik masa depan
Malaysia dan memberi komen mengenai parti baru, Barisan Borneo Bersatu
(UBF).
Meskipun percubaan beliau untuk mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri
Kadamaian gagal, undi yang diperolehnya meyakinkan beliau bahawa
pengundi di negeri ini mahu menentukan sendiri masa depan negeri mereka.
Beliau berkata rekod masa lalu dan dewasa ini menunjukkan hampir
keseluruhan pemimpin dari Semenanjung tidak boleh diharap untuk
mendapatkan sokongan dalam isu hak Sabah dan Sarawak.
Kegagalan pemimpin pusat
Marajin 56, yang mempunyai firma guamannya sendiri di Kota Kinabalu
berkata hujahnya adalah berdasarkan kepada kegagalan pemimpin pusat
selama 47 tahun untuk menghormati dan memahami keperluan penduduk di
kedua-dua buah negeri ini.
Marajin berkata tidak ada kefahaman dan rasa hormat menyebabkan Sabah
menjadi negeri termiskin di Malaysia hari ini.
Walau bagaimanapun beliau percaya masih ada peluang untuk
memperbetulkan perkara ini kerana pilihanraya umum ke 13 akan datang
tidak lama lagi.
"Tedapat 222 kerusi parlimen di Malaysia: 57 di Sabah dan Sarawak,
termasuk satu di Labuan. Ini bermakna ada 165 kerusi untuk direbut oleh
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
"Jika Pakatan mengekalkan kuasa di 83 kerusi, parlimen akan tergantung
kerana BN hanya ada 82 kerusi. Sejumlah 57 kerusi dari Sabah dan
Sarawak akan menentukan siapa yang akan memerintah negara ini.
Parti sendiri diperingkat negeri
"Kini sudah tiba masanya untuk kita di Sabah dan Sarawak untuk
mempunyai parti sendiri di peringkat negeri, yang benar-benar berjuang
untuk mewakili kita di peringkat persekutuan.
Dengan permintaan kita yang sah, kita boleh mendapatkan perjanjian
bertulis dari parti bersekutu di Semenanjung (PR atau BN) untuk
memenuhi permintaan kita.
"Kita tidak boleh menggunakan perjanjian secara mulut sahaja," kata
beliau. Marajin, seorang bekas anggota PKR kini merupakan ahli majlis
tertinggi Parti Progresif Sabah (SAPP) berkata pengundi di Sabah dan
Sarawak mesti menyedari akan kuasa yang mereka miliki untuk membentuk
atau menghancurkan kerajaan.
Beliau menambah parti politik negeri di bawah BN atau PR sudahpun
menggadaikan hak negeri mereka.
"Jika kita terpedaya kepada janji dan kata-kata manis pemimpin
Semenanjung dalam pilihanraya umum ini, kesusahan kita akan berterusan…
kita akan kekal menjadi penduduk paling miskin di negara ini," kata
beliau. Oleh Luke Rintod
|