Kelahiran SAPP Kemabong pulihkan maruah dan menentang pelewengan BN
KEMABONG,
Januari 2, 2011: Pemimpin Parti Maju Sabah (SAPP) Saul Salleh menggesa
kerajaan BN agar melengkapkan sepenuhnya sesuatu pembangunan yang
diberikan kepada rakyat khususnya pembinaan rumah rakyat yang tergolong
didalam skim PPRT supaya ia disiapkan selengkap lengkapnya terutamanya
pendawaian elektrik sebelum diserahkan kepada para penerima.
Tegasnya, beliau kesal dan sedih melihat keadaan sebegini rupa kerana
rakyat seolah olah telah diperlekehkan haknya untuk memiliki pemberian
kerajaan walaupun ia suatu pemberian secara percuma.
"Walaupun pemberian itu secara percuma tetapi haruslah dalam keadaan
serba lengkap dan siap sepenuhnya kerana penerima itu adalah dikalangan
golongan yang tidak berupaya malahan dia mengharapkan balas ehsan
daripada bantuan kerajaan," kata beliau dalam satu kenyataan disini
pada Jumaat.
Saul yang juga mantan Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) dan bekas ahli
UMNO seterusnya berkata, beliau tidak sama sekali menggunakan
kepincangan kerajaan BN dalam membantu rakyat termiskin disitu sebagai
modal politiknya untuk meraih sokongan mereka namun perkara itu adalah
satu manifestasi wujud kelemahan pentadbiran kerajaan BN yang
ditunjangi UMNO khususnya di kawasan DUN Kemabong.
Dalam pada itu Saul menambah, terdapat beberapa tindakan dari segi
pengagehan pembangunan dilakukan secara pilih kasih sebagai contoh yang
ketara dimana jalanraya antara Sipitang ke Kemabong yang sepatutnya
pada perancangan awal jalanraya itu menembusi kawasan Kuala Tomani
supaya kawasan mukim Kuala Tomani mendapat impak daripada cadangan itu,
tetapi disaat saat akhir cadangan itu ditukar menembusi kawasan Kg
Bamban dan Paal Batu 10.
"Saya tidak faham langsung halatuju perjuangan BN dan UMNO diKemabong
sama ada untuk kroni kroninya kah atau untuk semua rakyat jelata disini.
Cukup dan cukuplah UMNO bertapak disini selama empat penggal kerana
kita juga ada maruah dan harga diri malah SAPP sebuah parti tempatan
mampu mentadbir negeri ini jika diberi mandat oleh rakyat pada PRU13
nanti," tegas Saul lagi.
"Misi dan visi kita setelah menyertai perjuangan SAPP adalah untuk
memulihkan maruah kita yang sudah tercalar dimata rakyat sebelum ini,
kerana pada tahun 1994 kita seakan akan dipaksa meninggalkan perjuangan
PBS dan menyertai UMNO. Bagaimana pun PBS dan UMNO sekarang ini sudah
bersekongkol dalam satu perjuangan BN, maka kami ambil keputusan untuk
terus berjuang dalam SAPP," tambahnya lagi.
Ketika ditanya apakah langkah beliau lakukan selepas menyertai SAPP
beberapa bulan lalu Saul berkata, beliau bersama beberapa rakan
seperjuangan yang lain daripada berbagai mukim telah menjelajah ke
pelusuk kampong menjelaskan misi dan visi perjuangan SAPP termasuk isu
20 Perkara, kuasa hak autonomi rakyat Sabah dan insiden kejatuhan
kerajaan PBS pada tahun 1994 yang banyak meninggalkan perasaan
kekecewaan yang menjatuhkan maruah serta insiden yang memalukan rakyat
Sabah hanya kerana melanjutkan 'survival' politik pihak tertentu.
Ketika mengulas lanjut berhubung isu hak kuasa autonomi Sabah Saul
berkata, beliau sudah menjelaskan definisi isu tersebut kepada seluruh
rakyat akar umbi menerusi beberapa jawatankuasa mukim yang telah
dilantiknya suapaya mereka faham dengan sejelas jelasnya maksud isu
tersebut supaya mereka tidak mudah dikelirukan lagi.
Tegasnya, isu hak kuasa autonomi meskipun tidak dinafikan ada
sebahagian perkara yang beransur ditunaikan tetapi masih banyak lagi
yang masih tertunggak khususnya kuasa Imigresen, JPN, Tanah, Kewangan,
Pendidikan, Sumber galian dan gas. Persoalannya sekarang tegas Saul
bahawa status Sabah, Sarawak dan Semenanjong adalah sama atau lebih
dikenali sebagai “equal partnership" dan mengapa hak kuasa autonomi
tiba tiba hilang begitu sahaja bagi Sabah dan Sarawak, sedangkan status
kuasa adalah sama sejak 47 tahun lalu. Oleh: AMBROSE MAIL MATHEW
|