Reformasi ikhlas
untuk Sabah dan Sarawak?

KOTA KINABALU, Disember 5, 2011: Perlembagaan PKR didapati mempunyai
peruntukan dimana semua pelantikan bagi jawatan di Sabah akan
diputuskan oleh pemimpin pusat di Kuala Lumpur.
Ini bermaksud, ahli parti tidak mempunyai kuasa demokratik untuk
memilih pemimpin mereka di negeri ini.
Jika PKR mengambil alih kuasa di Sabah dan Sarawak maka kuasa melantik
Ketua Menteri dan barisan Kabinet negeri berada di dalam tangan para
pemimpin di Kuala Lumpur.
Lebih memeranjatkan lagi apabila terdapat peruntukan bahawa pemimpin di
Kuala Lumpur berkuasa melantik ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa
Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).
Para pemimpin PKR Sabah yang sealiran dengan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan
telah menggesa agar peruntukan itu dimansuhkan tetapi ditolak oleh
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Oleh itu bagaimana, seseorang ahli politik yang berakal dan mempunyai
latarbelakang baik serta berpengetahuan tentang maksud keadilan dapat
menerima bahawa peruntukan sedemikian rupa terdapat dalam Perlembagaan
PKR.
Semua pihak sudah tentu akan hairan dengan dakwaan PKR kononnya mereka
memperjuangkan demokrasi, keadilan, ketelusan, kebebasan bersuara,
dasar liberal dan semua yang positif serta berorientasikan kemajuan.
Adalah jelas sekali bahawa PKR sebagai sebuah parti politik bertaraf
kebangsaan sebenarnya berhasrat ingin menguasai Sabah dan Sarawak dari
Kuala Lumpur.
Keadaan sedemikian pasti memberi gambaran bahawa Anwar Ibrahim
sebenarnya ingin menjadi seorang diktator.
Anwar memberi kebebasan kepada para ahli parti memilih beliau sebagai
ketua tetapi tidak membenarkan mereka mempraktikkan hak demokrasi
masing-masing.
Anwar seolah-olah ingin melaksanakan pemerintahan neo-kolonialistik
terhadap Sabah dan Sarawak.
Ketua Umum PKR itu akan melakukannya dengan mengukuhkan kuasa melalui
pemerintahan kuku besi keatas Sabah dan Sarawak.
Ketika berceramah, Anwar sering mendakwa bahawa Barisan Nasional
mempraktikkan Hukum Rimba, bagaimanapun dakwaan itu sudah pasti
membuatkan kita terfikir sejenak apakah jenis undang-undang yang akan
beliau rancangkan untuk negara jika berkuasa kelak.
Peruntukan sukar dipercayai yang terdapat dalam Perlembagaan PKR itu
tidak masuk akal dalam abad ke-21 ini kerana cuba mengheret kita ke
zaman pemerintahan Feudal yang memaksa semua pihak terikat dan patuh
secara membabi buta.
Rakyat Sabah dan Sarawak yang masih bermimpi bahawa PKR akan membawa
kebebasan, reformasi, demokrasi dan keadilan harus memikirkan
semasak-masaknya tentang Peruntukan yang tidak masuk akal itu.
Bolehkah rakyat Sabah dan Sarawak menerima layanan PKR dengan
Peruntukan yang sedemikian rupa?
Segala yang Anwar Ibrahim pelajari dari ahli pemikir seperti Socrates,
Sun Tzu dan Freud sebenarnya beliau telah tersasar daripada jalan
sebenar seterusnya menyebabkan para ahli parti di Sabah hilang
kepercayaan serta kesetiaan.
Hilang sudah harapan dan impian untuk melihat PKR membina masa depan
berlandaskan kebenaran yang kukuh kerana kepalsuan dan penipuan jelas
kelihatan.
Rakyat Sabah dan Sarawak berhak mendapat sesuatu yang lebih baik –
platform kita sendiri dan kita kemudi sendiri yang bebas dari sebarang
kerugian daripada campurtangan orang luar yang berniat jahat.
Mengibarkan bendera reformasi adalah satu pengembaraan manis, mencanang
keinginan untuk satu kerajaan baru.
Bagaimanapun, reformasi mati di dalam tangan pembawa obornya yang
menyesatkan.
Dalam pada itu, perjuangan untuk membentuk satu kerajaan baru
dihidupkan kembali melalui satu bendera lain di pulau Borneo.
Bendera itu kini bangga berkibar di Negeri di Bawah Bayu ini serta
mendapat sokongan di Sarawak, diperkuatkan dengan semangat juang lama
dan diperkukuhkan dengan wawasan untuk satu Malaysia baru. Oleh Raymond
Tombong
|