Projek Perparitan Sempelang Tidak Siap
Kota Kinabalu, Jan 12, 2010: SAPP Cawangan Grace Court mengambil berat
tentang aduan penduduk tempatan Grace Court, Grace Ville dan Sempelang,
di Sembulan, Kota Kinabalu berkenaan dengan projek perparitan yang
hingga ke hari ini tidak siap-siap.
Pengerusi SAPP Cawangan Grace Court, Bahari Aship yang ditemui penduduk
di sini memberitahu, bahawa keadaan projek yang dilaksanakan oleh
kontraktor yang dilantik amat mendukacitakan.
Rimbunan pokok pokok tua yang cantik melindungi kawasan tersebut telah
ditebang dan dilonggokkan di dalam parit yang baru siap separuh jalan
dan menjolok mata memandang. Situasi buruk ini sudah pun mengakibatkan
banjir kilat di musim tengkujuh ini, selain akan menjadi tempat
pembiakan nyamuk aedes.
Bahari menyatakan, penduduk yang tinggal berhampiran parit yang tidak
siap itu mengadu mengapa parit itu tidak disiapkan sepenuhnya setelah
dihentikan pada November 2010 dan sehingga hari ini sampah sarap yang
menimbuni parit itu pun tidak dibersihkan?
“Siapakah yang bertanggungjawab terhadap perkara buruk ini? Wakil
Rakyat Tanjung Aru atau pihak DBKK? Berapa banyak kos projek dibayar
kepada kontraktor untuk kerja-kerja yang tidak siap?." Demikian antara
pertanyaan yang dikemukakan oleh penduduk-penduduk di sekitar Grace
Court, Sembulan.
Bahari heran kenapa Wakil Rakyat N.17 Tanjung Aru, Datuk Edward Yong,
yang sudah tiga penggal mewakili kawasan tersebut tidak suka turun
padang untuk memantau masalah dan kesusahan rakyat dengan tidak
mengendahkan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat kepada
beliau.
|