Projek salur air
bawah laut ke pulau sampai bila?
Tanjung
Aru, Januari 15, 2011: PULAU GAYA sebuah pulau yang indah terletak
berhadapan Bandaraya Kota Kinabalu, yang jaraknya lebih kurang 5 minit
menggunakan bot laju. Dihuni oleh lebih kurang 3000 orang rakyat
tempatan. Mempunyai sekolah menengah dan sekolah rendah Kerajaan, dan
industri pelancongan yang menjadikan Pulau Gaya sebagai sebuah pulau
tumpuan dan diminati oleh pelancong-pelancong asing dan tempatan.
Bukan saja itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sendiri telah
mengumumkan rancangan untuk melaksanakan projek resort di Pulau Gaya
dengan kos berjumlah RM 75 Juta. Pada kita ini adalah satu berita baik
untuk kita di Sabah.
Tetapi semua ini tidak ada maknanya jika masalah dan keperluan asas
yang dihadapi rakyat setempat tidak dapat diselesaikan walaupun kita
sudah mencapai kemerdekaan selama 47 tahun? Yang menjadi masalah besar
penduduk dan pengusaha-pengusaha di Pulau Gaya sekarang adalah BEKALAN
AIR BERSIH! Percaya atau tidak, hingga ke hari ini penduduk-penduduk
Pulau Gaya masih terpaksa membeli air bersih yang dibawa dengan bot
dari Bandaraya Kota Kinabalu dengan harga RM5.00 untuk 100 liter air.
Penduduk-penduduk Pulau Gaya apabila ditemui oleh Pengerusi SAPP
Gawangan Sembulan Tengah, Encik Kasim Busok, meluahkan rasa irihati dan
mengucapkan syabas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri SUKAU, Datuk Saddi
Haji Abdul Rahman (BN/UMNO), walaupun baru satu penggal menjadi Wakil
Rakyat, telah berjaya melaksanakan 'PROJEK SALUR AIR BAWAH TANAH KE
PULAU TG ARU SUKAU ' yang dijadualkan akan siap dalam pertengahan bulan
Jun ini dengan kos RM14.2 juta (rujuk Akbar Express 11hb Jan. 2011).
Rakyat di Pulau Tg Aru Sukau berasa bertuah mempunyai Wakil Rakyat yang
mengambil berat dan perihatin terhadap masalah mereka dan tidak lama
lagi mereka akan menikmati bekalan air bersih melalui sistem pemasangan
HDPE.
Menurut Pengerusi SAPP Cawangan Sembulan Tengah itu, Encik Kasim Busok,
rata-rata penduduk Pulau Gaya melahirkan perasaan terkilan dan kecewa
mengajukan persoalan yang “ kalau di Pulau Tg Aru Sukau projek salur
air bawah laut” boleh dilaksanakan oleh Wakil rakyat Sukau, kenapa ADUN
atau Ahli Parlimen N.17 Tg Aru / P 173 Putatan ( YB Datuk Edward Yong /
YB Datuk Marcus Mojigoh ) hanya berdiam diri dan membiarkan rakyat
menderita tanpa air bersih selama ini? Sedangkan kawasan Pulau Gaya
adalah lebih dekat dari Kota Kinabalu kalau dibandingkan Pulau Tg Aru
Sukau ke Bandar Sandakan.
Kejadian atau situasi mengecewakan ternyata Wakil-wakil Rakyat N.17 Tg
Aru YB Datuk Edward Yong dan MP P.173 YB Datuk Marcus Mojigoh langsung
tidak mengambil berat dan bertanggungjawab terhadap masalah dan
keperitan rakyat dikawasan mereka. Ramai penduduk-penduduk setempat
melahirkan rasa kesal dan kecewa mempunyai Wakil-wakil rakyat seperti
mereka yang tidak perihatin terhadap kesusahan mereka.
Gambar: Dibelakang Encik Kasim Busok dan Encik Bahari Aship ialah
sebuah bot yang telah dimuatkan tong-tong air sedia di hantar ke Pulau
Gaya untuk di jual.
|