KDN digesa bertindak
tegas
Februari
24, 2011: NAIB
PRESIDEN Parti Maju Sabah (SAPP) Jimmy Jawatah meminta pihak Kuala
Lumpur khususnya Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishamuddin agar
segera menyelesaikan isu tertunggak projek pemberian kad pengenalan
kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana selagi ia tidak
diselesaikan secara mutlak ia merupakan "ibu segala masalah jenayah"
diSabah malah akan menjadi lebih parah jika keadaan sedemikian
berterusan.
Lagi pun tegas Jimmy, masalah tersebut sudah mejangkau lebih 20 tahun
berterusan begitu sahaja, namun pihak terbabit seperti KDN sekadar
mampu ‘menyibuk' terutama sekali bila Pilihanraya umum semakin hampir
tetapi hasilnya kosong kerana tidak ada keseriusan tindakan dilakukan.
Apa yang jelas aksi pihak terbabit boleh diibaratkan sebagai "lip
service" semata mata.
"Segala galanya ibarat bola penyelesaian kepada masalah Sabah ada
ditangan Hisyamuddin dimana Hisyam boleh melakukannya dengan bila bila
masa sahaja jika beliau benar benar ikhlas dan telus untuk membantu
menyelesaikan masalah yang menghantui rakyat Sabah lebih 20 tahun lalu.
Apa lagi bukti lain yang perlu diminta Hisyam, sedang Ahli Parlimen
Malaysia (Tuaran) DSP Wilfred Mojilip Bumburing telah serahkan senaskah
buku dokumen berhubung projek pemberian kad pengenalan dan kerakyatan
kepada PATI sebagai bukti dakwaan itu," tegas Jimmy.
Tegas Jimmy lagi, cadangan DSP Wilfred Bumburing menggesa pihak
kerajaan pusat khususnya KDN supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan
DiRaja untuk menyelesaikan masalah imigran diSabah merupakan suatu
langkah terbaik yang sepatutnya pihak Dato' Hisyamuddin menyambut baik
cadangan tersebut dan bukan menolaknya sebaliknya beliau mengambilkira
pelbagai aspek khususnya dari segi kedaulatan dan keselamatan rakyat
Sabah.
Beliau mengambil contoh apa yang berlaku baru baru ini dimana seorang
peniaga warga Filipina Datu Akjan yang mempunyai dua kerakyatan
menabalkan dirinya menjadi pewaris Kesultanan Sulu tetapi dalam masa
yang sama Datu Akjan memiliki kerakyatan dinegara ini dan mempunyai Kad
Pengenalan.
Tindakan Akjan itu seolah olah mempersendakan undang undang yang sedia
ada dinegara ini dengan begitu mudah baginya mendapatkan Kad Pengenalan
sedangkan Akjan mendakwa beliau adalah rakyat Filipina dan pewaris
kepada Sultan Sulu.
"Disebabkan kelemahan kerajaan pusat khususnya KDN menjadikan pemilikan
Kad Pengenalan dan kerakyatan Negara ini boleh diperolehi dengan jalan
mudah malah selepas Datu Akjan mengistiharkan dirinya sebagai Sultan
Sulu sudah tentu rakyat Filipina yang memiliki Kad Pengenalan yang
jumlahnya ratusan ribu akan mengikrarkan ketaatan diri mereka kepada
Akjan dan selepas itu apa akan terjadi kepada keselamatan diSabah,"
tegas Jimmy.
Mungkin juga masih belum terlambat tambah Jimmy, jika Dato' Hisyamuddin
mengubah haluan terhadap keputusannya sebelum ini dan membatalkan
sahaja pengeluaran Kad Pengenalan dan kerakyatan kepada PATI dengan
serta merta seterusnya membatalkan kelulusan pemilikan dokumen dokumen
itu dengan berkuatkuasa serta merta.
"Mungkin itulah satu satunya jalan penyelesaian masalah tersebut
sebelum ia menjadi parah. Hisyamuddin merupakan sandaran bagi
penyelesaian mutlak terhadap segala galanya. Jika Hisyamuddin masih
berkeras juga maka sudah tentu rakyat akan menyalahkan beliau sebagai
dalang penyeksaan kepada rakyat dibumi Sabah sepanjang hayat," jelas
Jimmy.
|