KDN digesa bertindak
tegas selesaikan masalah projek KP
TENOM:
Feb 27, 2011: Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Jimmy Jawatah (gambar),
meminta pihak Kuala Lumpur khususnya Menteri Dalam Negeri Dato' Seri
Hishamuddin agar menyegerakan penyelesaian isu tertunggak projek
pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang
kini semakin hangat dan menjadi topik bualan masyarakat tempatan tanpa
mengira dimana sahaja mereka berada.
Tegasnya, selagi ia tidak diselesaikan secara mutlak selagi itu rakyat
tempatan semakin rancak mempertikaikan keputusan kerajaan yang melengah
lengahkan tindakan tersebut, sedangkan masalah tersebut dikategorikan
sebagai "ibu segala masalah jenayah" di Sabah.
"Masalah tersebut sudah mejangkau lebih 20 tahun berterusan begitu
sahaja, namun pihak terbabit khususnya Kementerian Dalam Negeri ( KDN)
sekadar mampu 'menyibuk' terutama sekali bila Pilihanraya umum semakin
hampir tetapi hasilnya kosong," kata beliau dalam satu kenyataan di
sini pada Sabtu.
Jimmy yang juga Ketua CLC Tenom seterusnya berkata, kedudukan isu Kad
Pengenalan palsu dan kerakyatan kepada PATI bukan perkara baru malahan
ia telah wujud sejak kerajaan USNO, Berjaya, PBS dan kini BN, tetapi
usaha menangani masalah tersebut memang sukar diatasi jika masalah itu
mempunyai agenda lain.
"Demi keselamatan, kedaulatan dan keharmonian negeri dan rakyat Sabah,
kita menyokong cadangan MP Tuaran Datuk Seri Panglima Bumburing supaya
kerajaan pusat menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menangani
masalah itu, tetapi sebaliknya kita kecewa bila KDN menolaknya,"
tegasnya lagi.
"Kita minta kerajaan pusat agar mengenepikan segala perbezaan politik,
tetapi sebaliknya mereka harus lebih fokus kepada usaha melayani
permintaan rakyat Sabah yang mempunyai rasionalnya," tambahnya lagi.
Jimmy turut menegaskan bahawa kini SAPP sedang bergerak menjalankan
kempen mendapatkan tanda tangan daripada semua lapisan masyarakat
diseluruh Sabah tanpa mengira status mereka untuk diserahkan kepada
Yang DiPertuan Agong dalam usaha mendapatkan perkenan Baginda bagi
penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja.
Ketika ditanya apakah kempen tandatangan itu akan turut bergerak ke
kawasan pedalaman dan bagaimana sambutannya setakat ini Jimmy berkata,
"Kempen itu melibatkan semua kawasan di Sabah…manakala di pedalaman
juga akan mula bergerak dalam beberapa hari lagi. Mengenai sambutan…amat
menggalakkan kerana semua rakyat beriya ia sangat penubuhan Suruhanjaya
tersebut," tegas beliau.
Dalam pada itu ketika ditanya berhubung laporan media baru baru ini ada
beberapa penduduk di Mukim Rundum meluahkan kekuatiran yang mereka (penduduk)
akan menjadi pelarian dibumi sendiri selepas Jabatan Perhutanan
mengharamkan tanah dan perkampungan di situ kerana didakwa telah
memasuki kawasan hutan simpan beliau berkata,
"Saya sedih mendengar masalah tersebut berlaku dikawasan tanah tumpah
darah mereka sendiri, sedangkan di situlah kelahiran mereka turun
temurun sejak nenek moyang mereka lagi. Anehnya…kawasan hutan simpan di
situ baru digezetkan sekitar tahun 1984…saya harap wakil rakyat disitu
akan dapat mengatasi masalah tersebut dengan seberapa segera,"tegas
Jimmy.
Tegas Jimmy lagi, beliau tidak mahu membuat kesimpulan secara melulu
berhubung perkara tersebut selain akan berkunjung ke tempat itu untuk
mendapatkan 'feedback' senario yang berlaku sebenarnya daripada para
penduduk kampong yang terlibat.
"Kita tidak mahu komen apa apa dulu kerana kita mahu lihat dulu keadaan
sebenarnya. Kalau boleh kita juga elakkan spekulasi politik terlalu
banyak dari mana mana pihak kerana kuatir penduduk akan lebih
tertekan,"tambah beliau lagi. (Oleh: Mail Mathew)
|