Bancian penduduk
Sabah tidak tepat
Oleh: Bryan Chang Shak Hung
Sandakan,
Mac 2, 2011: JUMLAH bancian penduduk di Sabah yang dikeluarkan oleh
Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2010 adalah begitu
memeranjatkan, terutamanya dari segi bilangan penduduk melalui banci
yang dijalankan pada tahun lalu.
Menjadi persoalannya, adakah anggaran bilangan penduduk tersebut boleh
diterima sedangkan melalui banci yang dijalankan, tidak semua penduduk
yang telah ditemubual atau disoal.
Perkataan 'penduduk' merujuk kepada orang yang menduduki kawasan
tersebut, iaitu penduduk di Sabah, bermaksud bilangan orang yang
menetap di Sabah tidak kira warganegara ataupun bukan warganegara.
Melalui perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia,
Sabah mempunyai penduduk seramai 3,120,040 (1,606,890 adalah lelaki dan
1,513,150 perempuan).
Adakah angka ini termasuk keseluruhan kawasan yang ditemubual semasa
banci dijalankan? Jawapannya adalah TIDAK. Melalui sebuah keluarga yang
ditemui, mereka mempunyai seorang adik lelaki bersama ibunya menetap di
Kota Kinabalu dan seorang lagi di Kuala Lumpur dan dirinya tinggal di
Batu 6, tidak seorangpun daripada mereka yang pernah disoal oleh pihak
pembanci untuk mendapatkan maklumat semasa kempen banci dijalankan.
Persoalan kedua adalah adakah angka berkenaan termasuk dengan angka
penduduk di rumah setinggan? Jawapannya adalah TIDAK. Ini adalah kerana
di Sandakan, terdapat sebuah perkampungan setinggan di Batu 3, begitu
banyak rumah setinggan yang menempatkan penduduk setinggan; tidak kira
warganegara atau pendatang tanpa izin, tidak pernah dikunjungi oleh
pihak pembanci memandangkan perkampungan tersebut berada di atas bukit.
Menurut perangkaan tersebut, terdapat sebanyak 92.7% daripada 27.566
juta penduduk di Malaysia merupakan penduduk warganegara Malaysia dan
hanya 7.3% bukan warganegara.
Di Sabah, jumlah penduduk yang dicatatkan adalah seramai 929,299 (tahun
1980), 2,468,246 (tahun 2000) dan 3,120,040 pada tahun 2010. Melalui
perangkaan 2010, Sabah merupakan negeri yang ketiga teramai di Malaysia
selepas Selangor dan Johor.
Persoalan ketiga adalah adakah ini bermakna jumlah berkenaan
mencerminkan bilangan penduduk yang tepat dari segi bilangan penduduk
di Sabah setelah beberapa bukti dan contoh yang diberikan tidak
memenuhi kriteria semasa banci dijalankan?
Di samping itu juga, pertambahan penduduk sebanyak 300% sejak tahun
1980 hingga 2010 juga tidak tepat memandangkan ia tidak melibatkan
penduduk dari kalangan pendatang tanpa izin yang menghuni di negeri
Sabah ini dan ia sepatutnya melebihi daripada jangkauan dan boleh
mendatangkan kebimbangan kepada penduduk asal yang sah di bumi Sabah
dan khususnya di Sandakan ini.
Bryan Chang - Ketua Pemuda SAPP Tanjung Papat
|