Bantuan orang tua
hanya "lip service"
Kota Kinabalu, March
3, 2011: Bantuan Orang Tua berjumlah RM300.00 yang dilancarkan oleh Kerajaan
Barisan Nasional (BN) selama ini merupakan "lip service" untuk
menyenangkan hati rakyat terutama warga emas yang berumur 60 tahun
keatas. Menurut peraturannya, skim ini akan diagihkan kepada semua
warga emas tanpa memilih kasih, dan khas untuk semua kaum di Sabah.
Sedihnya sejak skim bantuan ini dilancarkan, macam-macam kisah yang
tidak menyenangkan berlaku. Ramai warga tua di seluruh Sabah mendaftar
untuk mendapatkan bantuan tersebut. Dari hari pendaftaran orang-orang
tua, ada yang sudah agak susah berjalan, diminta datang ke pejabat
Kebajikan untuk di temuduga beberapa kali. Setelah selesai pemohon-
pemohon ini terpaksa menunggu, menunggu dan menunggu. Ada yang hampir
mati menunggu, kelulusan tidak juga sampai-sampai.
Apabila mereka datang untuk menyusuli permohonan, mereka akan di tanya
"Pak cik sudah buka akaun bank?" Terpaksa pergi balik ke bank buka
akaun. Selesai buka akaun kena tunggu lagi berbulan-bulan. Bila tanya
Pegawai Kebajikan, dia suruh 'beliau-beliau' pergi cek di bank. Sampai
di bank tidak ada juga duit yang masuk. Warga-warga emas ini pulang
dengan perasaan hampa. Mereka dibuat seperti bola ditendang ke sana,
ditendang ke mari tanpa jaringan.
Dalam lawatannya ke Kampung Sembulan Tengah baru-baru ini, Setiausaha
Agung Parti Maju Sabah(SAPP), Datuk Richard Yong We Kong juga ketua CLC SAPP Tanjung Aru,
menemui beberapa orang warga emas yang mengadu rasa tidak puas hati
dengan cara Jabatan Kebajikan mengendalikan skim Bantuan Orang Tua.
Encik Chai Kui Siew mengadu sejak nama beliau didaftarkan awal tahun
2010, hanya sekali beliau menerima bantuan. Beberapa kali dipanggil ke
Pejabat untuk ditemu duga, tetapi keputusannya hampa juga. Encik
Mohd.Samsul @ Chong Enn Song mengadu kepada Datuk Richard Yong bahawa
beliau hanya menerima tiga pembayaran sejak diluluskan dalam tahun
2010. Itu pun bayaran berselang-selang bulan. Sampai ke hari ini tiada
lagi bayaran diterima. Balik-balik disuruh cek ke bank, masa dan tenaga
tua kami disia-siakan. Puan Pipah bte Duha melahirkan rasa kepuasan dan
kepenatan dengan karenah-karenah pegawai-pegawai Kebajikan yang 'bikin
bodoh sama kami'…..
Keseluruhannya Skim Bantuan Orang Tua yang diagungkan-agungkan ini
hanyalah merupakan satu usaha kerajaan BN menipu rakyat supaya mengundi
mereka. Usaha ini adalah 'indah khabar dari rupa' dilaksanakan tanpa
keikhlasan dan tanpa kecekapan sepertimana yang diharapkan. Skim ini
bukan memberi manfaat dan keselesaan kepada warga tua malah ianya
mengakibatkan kesusahan fizikal dan mental kepada mereka dan hanya
memberikan harapan kehampaan.
Apa yang diketahui skim bantuan ini digunakan sebagai propaganda
politik BN kerana tiap-tiap permohonan skim Bantuan Orang Tua ini
mestilah dengan sokongan atau rekomendasi dari Wakil-Wakil Rakyat (YB)
Barisan Nasional (BN) sahaja dan tidak akan dilayan kalau dibuat oleh
YB dari parti-parti pembangkang.
Kalau dapat di implimentasikan, seruan Menteri Pembangunan Masyarakat
dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd. Dun, meminta Pegawai-Pegawai
Kebajikan turun padang untuk memeriksa status penerima adalah satu
arahan yang baik. Tetapi dapatkah permintaan serupa ini dilaksanakan di
seluruh Sabah? Adakah ini hanya jadi 'cakap tidak serupa bikin'? Selama
Skim ini dilancarkan ternyata perlaksanaannya amat kucar kacir.
Terdapat unsur-unsur pilih kasih, situasi-situasi menyusahkan dan
unsur-unsur penghinaan dan sebagainya terhadap orang-orang tua yang
datang membuat permohonan.
Pada keseluruhannya, ramai warga-warga tua yang sudah melibatkan diri
dalam skim ini dan mengalami kejadian-kejadian yang tidak menyenangkan
berpendapat bahawa ini adalah satu skim menyusahkan (bukan menyenangkan)
dimana terdapat unsur-unsur penipuan dari pihak-pihak tertentu.
|