Permohonan majlis
penangguhan ditolak
Mac
9, 2011: USUL Ahli Parlimen Malaysia (Sepanggar), Datuk Eric Enchin
Majimbun yang membuat Permohonan Majlis Penangguhan Mengikut Peraturan
18(1); Cadangan untuk membincangkan tindakan bagi 'Rakyat Malaysia'
yang ditabalkan sebagai Sultan Sulu Ke 33 pada 2 Februari 2011 di
Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia, telah ditolak Dewan
Rakyat.
Permohonan majlis penangguhan mengikut peraturan 18(1) ...
Cadangan membincangkan tindakan bagi "Rakyat Malaysia" yang ditabalkan
sebagai Sultan Sulu ke-33 pada 02 Februari 2011 di Kampung Likas Kota
Kinabalu, Sabah Malaysia
Rakyat Malaysia khasnya di Sabah telah dikejutkan dengan tersiarnya
berita melalui media eletronik dan surat khabar bahawa seorang "rakyat
Malaysia" yang memiliki Mykad 570707-12-6083 / H0695275 mengikut daftar
pengundi yang diperolehi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
sebagai pengundi di Kawasan N.14 Likas, Sabah. Mengikut berita yang
tersiar, Datu Mohd. Akjan bin Datu Ali Muhammad setelah mengangkat
sumpah kesetiaannya telah ditabalkan sebagai Sultan Sulu yang ke-33
dengan gelaran Paduka Mahasari Maulana Al-Sultan Sharif Ul-Hashim II,
Dr. Sharif Mohammad Akjan Mu'izzuddin Waddaaulah Ibni Al-Marhum Sultan
Ali Muhammad Pelalun, pada 02 Februari 2011 di Likas Sabah dengan
disaksikan oleh sekumpulan 60 orang termasuk Pegawai Kanan Kesultanan
Sulu dari provinsi Sulu di Selatan Filipina. Kerajaan sementara
Kesultanan Sulu yang diketuai oleh Perdana Menterinya Datu Albi Ahmad
Julkernain telah menjelaskan bahawa pentabalan tersebut diadakan jauh
dari ibu kota negeri provinsi Sulu di Jolo atas sebab keselamatan.
Mengikut profilnya, Datu Mohd Akjan dilahirkan pada 23 November 1957 di
Jambangan Nipah-Nipah di kesultanan Sulu, adalah anak tunggal Sultan
Sharif Ali Mohd Pulatan dengan isterinya Sharifah Sarimah ibni Sharif
Imam Yusop ibni Datu Sharif Salahudin ibni Sharif Safarudin telah
dibawa oleh bapa saudaranya Hasirin Sumabud ke Kem Sibaud di Sandakan
atas alasan keselamatan pada 11 November 1962, kemudian menjadi
warganegara Malaysia. Beliau adalah bekas tahanan ISA dipercayai
terlibat dalam sindiket pemalsuan kerakyatan dan pengeluaran Kad
Pengenalan, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia
bahagian Sabah (Pekida), beliau juga sebagai ketua Hal Ehwal
Antarabangsa Pekida.
Penimbulan hal ini telah dengan sendirinya memperjelaskan kecurigaan
dan wasangka rakyat tulin Malaysia khasnya di Sabah bahawa selama ini
warga-warga asing telah dan sedang dianugerah dengan keistimewaan
sebagai rakyat Malayasia ada kebenarannya, dan 'mereka' ini sedang
bercampur gaul, bersaing dengan rakyat Malaysia tempatan didalam semua
bidang perniagaan , perusahan, pertumbuhan penduduk dan sebagainya.
Ketua Menteri Sabah juga dengan tegas telah membidas agar Datu Mohd.
Akjan dilucut keahliannya dari Parti memerintah UMNO.
Keistimewaan yang diberi oleh Kerajaan untuk rakyat asing sebagai
warganegara Malaysia telah dibalas dengan satu tamparan yang dahsyat
dan amat sukar kita bayangkan sebagai rakyat Malaysia yang taat setia
mempertahankan Kedaulatan Negara kita dengan menjunjung tinggi 5
Prinsip Rukun Negara serta Perlembagaan Negara. Adakah rakyat yang
diragui ini mempunyai Ketaatan dan Semangat Kekitaan serta Patriotisma
terhadap Negara kita, inilah sebenarnya kebimbangan rakyat di Sabah
selama ini.
Penimbulan hal ini sendiri juga telah memperjelaskan dakwaan kita di
Dewan yang mulia ini berkaitan dengan penumbuhan bancian penduduk
secara mendadak dengan melambung tinggi sejak tahun 1970 hingga
sekarang iaitu peningkatan lebih daripada 400% dalam masa 40 tahun.
Tentunya dakwaan rakyat Sabah selama ini ada kebenaran dengan bukti
jelas bahawa ramai orang asing yang telah diisytiharkan sebagai rakyat
Malaysia tanpa mengikut lunas undang-undang seperti yang termaktub
dalam akta Perlembagaan Malaysia, Enakmen Pendaftaran Rakyat serta
Ordinan Pendaftaran Sabah yang masih diguna pakai khasnya di Negeri
Sabah.
Dengan ini majlis Dewan yang mulia ini perlu ditangguhkan untuk
membincangkan tindakan terhadap perkara yang tertentu ini. Bahawa "Rakyat
Malaysia" yang diragui ini dan mendakwa sebagai "Sultan Sulu yang
ke-33" walhal kepulauan Sulu adalah dalam negara jiran Filipina
manakala pentabalan diadakan di dalam Negara Malaysia yang berdaulat.
Perkara ini adalah merupakan kepentingan bagi orang ramai dan nampaknya
telah menjejaskan hubungan dua Negara diantara Malaysia dengan
Filipina. Peristiwa ini juga telah mengukuhkan kecurigaan dan dakwaan
majoriti rakyat Malaysia khasnya di Sabah terhadap pendatang asing yang
mudah untuk mendapatkan dokumen peribadi sebagai rakyat Malaysia.
Memandangkan perkara ini sangat serius maka dengan ini saya
mencadangkan hal ini amat dikehendaki dan perlu disegerakan atas sebab
keselamatan Negara kita. Dengan dakwaan Datu Mohd. Akjan bahawa
kerajaannya mempunyai ramai orang terutamanya mereka yang berketurunan
Tausug bukan sahaja di provinsi Sulu tetapi di sebahagian Pulau Borneo
termasuk di Sabah maka ini dengan sendirinya telah menimbulkan tuntutan
haknya terhadap Negeri Sabah.
|