Pedalaman kutip lebih
2,000 tandatangan sokong penubuhan RCI
KENINGAU,
Mac 12, 2011: Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Zon Pedalaman
berjaya memungut lebih 2,000 tanda tangan daripada orang ramai yang
diadakan di Tamu Ground disini pada Rabu bagi kempen mendesak kerajaan
pusat khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan Suruhanjaya
Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat pemberian Kad Pengenalan dan
kerakyatan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) diSabah.
Kempen tersebut diketuai Pengerusinya Rudy Sulaiman Mairi dan dibantu
beberapa pemimpin SAPP yang lain seperti Richard Lee Ahli Majlis
Tertinggi SAPP, Irene Chan Ketua Wanita Zon Pedalaman dan Larry Rafael
Exco Pemuda SAPP pusat.
Rudy yang juga Naib Ketua Pemuda SAPP pusat seterusnya menegaskan
bahawa kempen RCI akan terus berjalan disemua daerah zone Pedalaman
tanpa mengira anutan politik asalkan seseorang individu itu merupakan
rakyat tempatan.
Tegasnya lagi, sudah sampai masanya rakyat negeri ini memberikan
sokongan padu kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah tertunggak
seperti isu pemberian Kad Pengenalan dan kerakyatan PATI yang kini
dianggarkan kira kira lebih 600,000 pemiliknya supaya satu RCI
ditubuhkan bagi menyiasat dan menyelesaikan masalah tersebut.
"Kita
mahu mendesak kerajaan pusat khususnya Menteri Dalam Negeri supaya
menyelesaikan segera isu tersebut demi keselamatan dan keharmonian
hidup rakyat Sabah," tegas Rudy.
"Selama ini rakyat semakin tertekan dan penuh kebimbangan dari segi
keselamatan. Bila lagi uruskan masalah ini kalau bukan sekarang…justeru,
siapa lagi kalau bukan kerajaan yang bertanggung jawab mengusahakan
penyelesaian," tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, Rudy mengajak rakyat dipelusuk kawasan khususnya
dipedalaman supaya tampil kepusat pusat kempen pengumpulan tanda tangan
RCI yang telah ditetapkan tanpa berfikir panjang kerana kesemua yang
dilakukan itu adalah semata mata untuk mempastikan keselamatan generasi
muda terus terjamin.
Oleh: Mail Mathew
|