Wajarkah Pairin
menidakkan kenyataan Sipaun membela hak rakyat Sabah
TENOM,
Mac 12, 2011: Intipati kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan
Sri Joseph Pairin Kitingan ketika mengulas kenyataan Tan Sri Simon
Sipaun bukan sahaja mengejutkan malah mengecewakan banyak pihak
khususnya masyarakat KDM kerana kehadiran Pairin kali ini bukan sebagai
'jaguh' politik Sabah sepertimana keunggulan beliau sekitar tahun 1985
ketika PBS mula terjun ke gelanggang politik namun kali ini rentak
politik Pairin sudah berubah menjadi 'pak turut'.
Malahan Pairin ketika ini ibarat burung tiong dalam sangkar yang
dilatih tuannya berkata kata terpaksa menuruti apa sahaja bentuk
perkatan yang disuruh oleh tuannya setiap kali mengeluarkan perkataan..
Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Jimmy Jawatah berkata demikian
dalam satu kenyataan disini pada Sabtu ketika mengulas kenyataan Tan
Sri Pairin yang menyifatkan kenyataan Tan Sri Simon Sipaun dalam
seminar UBF baru baru ini sebagai "There's plus and minus" tetapi lebih
banyak menidakkan kenyataan Sipaun.
Ekoran ulasan Pairin terhadap kenyataan Sipaun itu menimbulkan banyak
kekeliruan malah tidak menyenangkan hati dikalangan kepelbagaian kaum
di Sabah yang rata rata menyifatkan kenyataan Pairin itu seolah olah
lepas tangan terhadap masalah yang menghantui rakyat Sabah sejak 47
tahun lalu.
Sedangkan rakyat Sabah tegas Jimmy, mereka dahagakan keadilan dan
keseimbangan hak asasi dan kuasa otonomi agar direalisasikan
sepertimana kewujudan "perkongsian kuasa" antara tiga negeri dalam
wilayah Borneo Sabah dan Sarawak ketika pembetukkan Malaysia bersama
Malaya sekitar tahun 1963.
Kenyataan
Pairin tegas Jimmy, membuatkan rakyat Sabah khususnya masyarakat KDM
mula hilang keyakinan terhadap kewibawaan beliau sebagai seorang
pemimpin agung yang disegani dengan harapan beliau mampu mempertahankan
hak hak rakyat Sabah sepertimana yang diasaskan didalam 20 Perkara
daripada terus dicabuli.
Sebaliknya, Tan Sri Pairin tergamak menempalak kenyataan Tan Sri Sipaun
yang mendapat sokongan banyak pihak dan menyifatkannya sebagai suatu
kenyataan yang berterus terang dalam sesuatu isu yang mendepani rakyat
Sabah yang memerlukan tindakan serius daripada kerajaan Persekutuan.
"Sama ada Pairin tak sedar atau sengaja buat tak tahu keadaan Sabah
sebelum merdeka kita semua tidak pasti…tetapi Pairin tentu tahu dan
sedar keadaan diSabah ketika ini termasuk masalah pemegang kad
pengenalan dan kerakyatan PATI sejumlah kira kira 600,000 pemiliknya…apakah
Pairin masih lagi terpinga pinga mengatakan kenyataan Sipaun itu tak
betul," tegas Jimmy.
"Sudah tentulah rakyat Sabah sejumlah 3.1 juta tidak boleh ke Parlimen
untuk melaporkan masalah PATI diSabah tetapi ia melalui pemimpin
pemimpin Sabah tak kira pembangkang atau kerajaan terutama Pairin yang
semestinya satu satunya sandaran utama untuk menyuarakan isu tersebut,"
tambahnya lagi.
Dalam keadaan situasi diSabah yang semakin meruncingkan tegas Jimmy,
Pairin harus akur malah sepatutnya bersyukur jika ada lagi suara suara
lantang daripada tokoh tokoh lain seperti Tan Sri Sipaun yang sudi
bangkit dengan berani membantu beliau dan pemimpin pemimpin lain
diSabah untuk meminta Persekutuan menseriuskan pembetulan kepincangan
pentadbiran diSabah yang sudah jauh menyimpang dari landasan yang betul.
"Kalau diamati kenyataan Pairin itu yang antara lain kononnya sebarang
kepincangan yang berlaku sekarang masih ada ruang untuk dibincang,
tetapi Pairin sendiri tahu pelbagai masalah yang sudah dikemukakan
kepada Persekutuan untuk dibincang terutamanya masalah kebanjiran PATI
diSabah…dan juga pemberian kad pengenalan dan kerakyatan kepada PATI
tetapi dipandang sepi oleh Kuala Lumpur. Sampai bila masalah ini akan
selesai?," tanya Jimmy.
Apa yang menyedihkan lagi tambah Jimmy, Pairin sanggup bersekongkol
dengan pihak pihak tertentu untuk menidakkan kenyataan Sipaun walaupun
beliau (Pairin) sedar bahawa kenyataan Sipaun itu mempunyai asas dan
kebenaran tetapi disebabkan Pairin mungkin terlalu banyak terhutang
budi kepada persekutuan menyebabkan beliau menolak ke tepi kenyataan
Sipaun dan seterusnya membiarkan masalah yang menghantui rakyat Sabah
berterusan.
"Kalau kita tidak mahu menyuarakannya sekarang siapa lagi yang kita
harapkan…kalau bukan kita dan apakah kita membiarkan isu Sabah yang
sudah menjangkau 47 tahun terus dimomok dengan pelbagai janji manis
untuk rakyat Sabah…jawapannya tentunya tidak," tambah beliau. Oleh:
Mail Mathew
|