Kedudukan NCR lebih
terjamin kukuhkan FMU
KENINGAU, Mac 17, 2011: Semua pihak harus menghormati keputusan
mahkamah tinggi keatas perbicaraan tuntutan hak NCR oleh penduduk Kg.
Imahit di Kawasan hutan simpan Tomani baru-baru ini, dimana proses
mahkamah jelas telah memberi keadilan dan hak NCR kepada anak negeri di
Sabah.
Titik tolak keputusan itu, maka ia adalah satu bukti bahawa pihak
Jabatan Hutan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan diluar
batasan hak anak negeri yang terkandung dalam NCR.
Demikian dinyatakan Presiden SAKAG (Persatuan keturunan Dusun Liwan
Anak Negeri Sabah) Haji Masmin Kadad (gambar), ketika memberitahu
Harian Ekspress dalam satu kenyataan disini pada Khamis berhubung hak
anak negeri dalam NCR ( Native Customary Right) sepertimana dalam
keputusan kes Kg Imahit baru baru ini.
Dalam pada itu, anak negeri yang berkampong dan menetap di kawasan FMU
juga akan menjadi lebih terjamin dengan keputusan Mahkamah tersebut
oleh kerana kawasan FMU juga kawasan hutan simpan yang dilesenkan
kepada syarikat-syarikat yang layak untuk mengurus pengurusan hutan
mampan.
Tegasnya, malah dalam kawasan FMU hak NCR lebih terjamin dan
diperkukuhkan melalui perjanjian diantara syarikat FMU dan Jabatan
Hutan.
"Saya difahamkan bahawa Perjanjian tersebut ia itu ‘Sustainable Forest
management Licence Agreement’ yang di antara lain mensyaratkan bahawa
mana-mana hak NCR yang terkandung dalam kawasan FMU perlu dipatuhi dan
dilaksanakan mengikut Enakmen Hutan 1968," kata Masmin.
Selain daripada itu kata Haji Masmin, program perhutanan masyarakat,
kemudahan asas, bekalan air, bekalan letrik dan jalanraya termasuk
sekolah dan klinik juga menjadi tanggung jawab syarikat FMU untuk
membantu kerajaan untuk melaksanakannya. Termasuklah juga memberi
peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada penduduk kampong dan
sekitarnya dalam kawasan FMU.
"Ini bermakna bahawa kerajaan telah mengambil kira hak anak negeri
semasa mengwujudkan FMU pada ketika itu,….jadi, saya merayu kepada
pihak kerajaan supaya memantau dan dan memeriksa samada syarat-syarat
perjanjian ini dipatuhi oleh pihak syarikat FMU atau tidak," tegasnya.
"Jika pelaksanan FMU tidak menepati perjanjian maka hak NCR anak negeri
akan juga tergugat dan malah di usir dari kawasan FMU seperti yang
berlaku di Kg. Kawakahan," tambah beliau lagi.
Sehubungan itu, baru-baru ini beberapa wakil daripada Kg. Kawakahan
bersama beliau sendiri telah buat laporan Polis di Ibu Pejabat Polis
Daerah Keningau terhadap sebuah syarikat FMU sebab telah mengabaikan
hak NCR mereka.
“Kerajaan harus bertanggungjawab memastikan syarat-syarat yang
terkadung dalam perjanjian FMU dilaksanakan," tegas Haji Masmin dengan
serius. Oleh: Mail Mathew
|