Kerajaan harus menjaga kepentingan NCR di dalam kawasan FMU
Kota Kinabalu, Mac 18, 2011 (Oleh Japiril Sulaiman)
"Keputusan
mahkamah tinggi keatas perbicaraan tuntutan hak NCR di Kawasan hutan
simpan Tomani baru-baru ini menjadi satu iktibar dan harapan kepada
Orang Asal /anak Negeri. Proses mahkamah telah memberi keadilan dan hak
NCR kepada Orang Asal di Sabah. Pihak Jabatan Hutan tidak boleh
sewenang-wenangnya mengambil tindakan diluar batasan, hak NCR Orang
Asal harus dihormati.
Pengusiran dan pembakaran rumah atau sulap hak Orang Asal dan
tanaman-tanaman mereka diradu oleh jentera pihak berkuasa sering
berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan ia tidak berlaku
sebelum tahun 2000. Orang Asal bercucuk tanam berpindah renda beratus
tahun sehingga zaman koloni, mereka berkampong secara kecil-kecilan dan
sementara. Sehingga hari ini Orang Asal sudah bertambah penduduk
berlipat ganda dan masih berada dalam lingkungan hutan samada
berkampong atau budaya berpinda renda. Pihak kerajaan negeri
mengazetkan ia sebagai hutan simpan pada tahun enam puluhan. Berikutan
dengan penggazetan tersebut mereka terperangkap dalam kawasan hutan
simpan dan kerajaan hanya mengiktiraf NCR sebagai hak orang Asal dalam
hutan simpan dibawah enakmen hutan 1968.
Dalam pada itu, isu Orang Asal di kawasan FMU juga akan menjadi lebih
terjamin dengan keputusan mahkamah tersebut oleh kerana kawasan FMU
juga kawasan hutan simpan yang dilesenkan kepada syarikat-syarikat yang
layak untuk mengurus pengurusan hutan secara mampan. Malah dalam
kawasan FMU hak NCR lebih terjamin dan diperkukuhkan melalui perjanjian
diantara syarikat FMU dan Jabatan Hutan. Saya difahamkan bahawa
Perjanjian tersebut ‘Sustainable Forest management Licence Agreement’
yang di antara lain mensyaratkan bahawa mana-mana hak NCR yang
terkandung dalam kawasan FMU perlu dipatuhi dan dilaksanakan mengikut
Enakmen Hutan 1968. Selain daripada itu program perhutanan masyarakat,
kemudahan asas, bekalan air, bekalan letrik dan jalanraya termasuk
sekolah dan klinik juga menjadi tanggung jawab syarikat FMU untuk
membantu kerajaan untuk melaksanakannya. Termasuklah juga memberi
peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada penduduk kampong dan
sekitarnya dalam kawasan FMU.
Ini bermakna bahawa kerajaan telah mengambil kira kedudukan hak Orang
Asal semasa mewujudkan program FMU di kawasan hutan simpan pada ketika
itu. Maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan bahawa
semua pengusaha FMU harus memenuhi syarat perjanjian dan pada masa yang
sama Jabatan Hutan harus memantau dan memeriksa pelaksanaannya.
Kerajaan harus mempertahankan hak Orang Asal mengikut perjanjian
tersebut dan bukan sebaliknya".
|