SAPP Tenom gesa kaji kedudukan NCR
Tenom,
Mac 23, 2011: NAIB Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah
mengalu-alukan kesediaan kerajaan Sabah sepertimana yang ditegaskan
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman baru-baru ini.
Dalam kenyataannya, Musa berkata bahawa beliau akan mengkaji dan
meneliti kawasan tanah adat (NCR) yang termasuk dalam kawasan Hutan
Simpan kerana Jimmy mengharapkan agar kajian itu menjurus kepada
kelulusan untuk menempatkan perkampungan penduduk asal.
Katanya, keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini berhubung kes
pencerobohan Hutan Simpan Imahit yang membebaskan 6 penduduk Kuala
Tomani dari tuduhan itu membuktikan bahawa hak asasi rakyat terhadap
tanah NCR tetap utuh.
"Sungguhpun begitu, kita minta kerajaan agar terus mengazetkan
mana-mana kawasan tanah NCR itu yang dikeluarkan dari kawasan Hutan
Simpan supaya penduduk di kawasan terbabit tidak lagi merasa tergugat
kedudukan mereka," kata beliau lagi.
Jimmy yang juga Pengerusi CLC, SAPP Tenom berkata demikian ketika
melancarkan jentera pilihanraya bagi Dun Melalap, Kemabong dan Parlimen
Tenom di Pejabat Perhubungan parti itu di Tenom sebagai persiapan
menghadapi pilihanraya umum kali ke-13 (PRU13) yang akan diadakan dalam
masa terdekat ini.
Beliau menegaskan bahawa masalah tanah NCR yang berada di kawasan Hutan
Simpan sepatutnya pihak kerajaan negeri sudah menyelesaikan masalah
tersebut lebih awal lagi jika pihak terbabit termasuk wakil rakyat
berkenaan melakukan kajian yang serius berhubung perkara itu
berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.
Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung cadangan Presiden Parti
Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai pemberian
status kerakyatan ‘Penduduk Tetap’ (PR) tetapi tiada hak mengundi dalam
pilihanraya kepada PATI sepertimana tercatat dalam ‘Buku Jingga’ parti
itu Jimmy berkata;
"Kepimpinan SAPP menentang dasar itu dan ia suatu cadangan yang tidak
relevan dalam keadaan sekarang. Sedangkan kita (SAPP) bertungkus lumus
mendesak kerajaan mengusir PATI selain mengadakan kempen memungut
tandatangan mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI)
bagi menyiasat pemberian kad pengenalan dan kerakyatan kepada PATI,"
tegas Jimmy.
Tegasnya, kepimpinan SAPP memandang serius masalah kebanjiran PATI di
Sabah yang dianggarkan kira-kira 600,000 dikesan memiliki dokumen sah
seperti kad pengenalan dan kerakyatan negara ini. Oleh: MAIL MATHEW
|