Kerakusan punca kehancuran
April
5, 2011: KALAU
hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih! Demikianlah pepatah
yang relevan sekali dengan kelibat kepimpinan barisan pembangkang yang
sentiasa keruh ketika timbul keinginan membentuk kesepakatan dalam
perjuangan menentang UMNO-BN pada PRU13 akan datang ini.
Setelah sesat di belantara politik Sarawak, Pemuda Pakatan Rakyat kini
bersatu mencari jalan pulang ke Sabah agar dapat mengumpulkan sisa-sisa
semangat yang hilang untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Kalau pemimpin 'senior pembangkang' tidak dapat membentuk kesepakatan
kerana mahu menjadi jaguh, konon untuk mempertahankan idealogi parti
masing-masing; satu perkara yang merugikan kepada Gagasan Pembangkang
yang mungkin tidak mendapat sebarang kerusi selepas pilihanraya.
Lebih malang lagi selepas pertemuan yang tidak menjadi itu, diintikan
pula dengan kenyataan akhbar yang menyakitkan rakan sebelah, sekaligus
menghancurkan niat masing-masing untuk bekerjasama yang masih terpendam
untuk dibawa ke meja rundingan.
Namun para pemimpin Pergerakan Pemuda Gagasan Pembangkang yang diketuai
Edward Dagul dari SAPP, PKR. PAS dan DAP perlu dipuji kerana telah
menyedari hakikatnya pergeseran sesama sendiri itu dan kini sudah
memulakan riak-riak kesepakatan dan kemesraan itu di Gaya Street, Kota
Kinabalu ketika kempen memungut tandatangan untuk mendesak penubuhan
Susuhanjaya Siasatan Di Raja (SSD).
Edward Dagul dan rakan-rakan sejawatnya dari PKR, PAS dan DAP adalah
dianggap sebagai wira dan perintis kerana membuka ruang kepada jalan
penyelesaian untuk mencipta dimensi baru bagi mempertemukan pemimpin
kanan masing-masing bagi merumus bentuk kerjasama yang dikehendaki
dalam menumpaskan UMNO-BN pada PRU13.
Pembangkang Sabah yang terdiri daripada SAPP, PKR, PAS dan DAP perlu
menjadikan PRU Sarawak sebagai ikhtibar kerana kegagalan kesepakatan
Gagasan Pembangkang Sarawak tidak akan lari ke mana; tetapi akan gagal
dan seterusnya gagasan itu jatuh ke lurah yang dalam untuk
selama-lamanya selepas sahaja BN Sarawak dinobatkan rakyat mengungguli
pilihanraya itu.
Titik tolak daripada senario yang berlaku kepada pembangkang di
Sarawak, harus dijadikan formula di Sabah bagaimana mengatur langkah
dan strategi yang berkesan dalam membentuk kesepakatan yang jitu di
kalangan Gagasan Pembangkang yang sedikit sebanyak sudah dirintis dan
dimulakan Dagul bersama PKR, PAS dan DAP di Gaya Street itu untuk
mendepani UMNO-BN pada PRU13.
PERCAYA atau TIDAK! kelibat politik pembangkang di Sarawak sebenarnya
sudah hancur lebih awal selepas sahaja kesepakatan Gagasan Pembangkang
gagal mencapai permuafakatan yang dihajati; namun ketamakkan kuasa
menguasai diri pemimpin; bertindak rakus dan membolot kerusi yang
banyak tanpa mengira kesesuaian parti terbabit di sesuatu kawasan,
menjadikan ia sebagai punca kehancuran pembangkang Sarawak.
Bagaimana pun pembangkang di Sabah masih belum terlambat lagi untuk
melakukan sesuatu yang lebih baik daripada Sarawak jika pembangkang
Sabah ingin benar mahu UMNO-BN di Sabah tumpas pada PRU13 kelak.
Namun Dagul dan rakan rakan sejawatnya dalam pembangkang yang menjadi
perintis kepada formula kesepakatan pembangkang Sabah perlu diteruskan
dan perlu kekerapan pertemuan diadakan demu mengukuhkan lagi
persefahaman itu.
Diharap kesedaran yang mula bercambah ini tidak menjadi seperti kata
bidalan orang tua-tua, perpaduan tahi kambing; bersatu di dalam tetapi
terburai dan bercerai di luar!
Oleh: KALAWON SAPP
|