Permit Polis: Tempat perhimpunan SAPP dipindah
KOTA
KINABALU, April 20, 2011: Permohonan permit polis oleh Pemuda SAPP
untuk Perhimpunan memperingati Hari ke-900 KK tanpa Hospital Besar
Queen Elizabeth tidak diluluskan oleh polis.
Surat tersebut disampaikan sendiri oleh OCPD Daerah Kota Kinabalu,
Ahmad Sofi Zakaria, ketika mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa
penganjur perhimpunan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu,
Karamunsing.
Jeffrey George dalam kenyataan selepas pertemuan tersebut berkata, Kami
(Pemuda SAPP) menerima dengan hati yang terbuka terhadap nasihat dan
saranan yang disampaikan oleh tuan OCPD atas faktor keselamatan dan
ketenteraman awam yang mungkin terjejas disebabkan oleh perhimpunan
tersebut.
Walau bagaimanapun, Pemuda diberi kelonggaran untuk mengadakan
perhimpunan sebagai tanda memperingati Hari ke-900 tersebut di
perkarangan Ibu Pejabat SAPP di Bornion Center, Luyang. Pada tarikh dan
masa yang sama iaitu 24 April 2011 (Ahad), bermula dari 9.30 pagi.
Pertemuan selama 40 minit tersebut juga turut membincangkan beberapa
permasalahan yang dihadapi oleh warga bandaraya terutamanya darisegi
keselamatan.
Sebelum ini, Pemuda SAPP Zon Kota Kinabalu telah memohon permit polis
pada 12hb April yang lalu dengan tujuan mengadakan perhimpunan bagi
mendesak Kerajaan supaya memastikan kerja pembinaan bangunan baru
Hospital Besar Ratu Elizabeth disiapkan mengikut jadual kerana Pemuda
SAPP tidak ingin melihat berlakunya kelewatan seperti projek Laluan
Bertingkat dan KKIA.
Menara bangunan lama Hospital QE yang telah dibina dalam tahun 1981
dengan kos bernilai RM20 juta telah diiktirafkan tidak selamat dalam
bulan Okt 2008 oleh Menteri Kesihatan. Kerja pengrobohan menara lama
telah dimulakan pada tahun lalu dalam bulan Jun dan kerja pembinaan
bangunan baru dijangkakan akan siap sepenuhnya dalam masa 30 bulan
menurut penerangan dari Jabatan Kesihatan negeri.
Sebelum ini Pemuda SAPP telah mengadakan perhimpunan yang serupa sejak
tahun lalu bermula dari hari Hari ke- 500, ke-600, ke-700 dan yang akan
datang merupakan hari ke-900.
Turut hadir pada pertemuan tersebut ialah Ketua Pemuda Api-Api Pang
Thien Fook, Ketua Pemuda Tamparuli Stephen Gaimin dan Ketua Pemuda
Luyang Yong Yit Yoong.
|