Kenapa BN terus hukum rakyat Sabah?
SANDAKAN,
Mei 17, 2011: KENAIKAN harga petrol RON97 sebanyak 20 sen untuk setiap
kenaikan pada 1 April 2011 dan 5 Mei 2011 dan menjadikan harga petrol
RON97 sekarang RM2.90, merupakan satu tindakan yang kurang tepat dan
langsung tidak mengambil kira implikasi negatif terhadap kenaikan harga
barangan secara tidak langsung terutamanya untuk penduduk di Sandakan
serta Sabah pada umumnya.
Sekarang kita pula sedang menanti debaran yang bakal diumumkan oleh
pihak kerajaan berhubung dengan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel
pada bila-bila masa dari sekarang.
PETRONAS selaku sebuah syarikat GLC yang telah berjaya mengaut
keuntungan dan terlepas daripada masalah kewangan seperti yang dihadapi
oleh syarikat-syarikat GLC yang lain seperti MAS, TNB, PLUS, MISC dan
TELEKOM MALAYSIA, merupakan antara firma yang terbesar di dunia dalam
senarai 500 Global Fortune dan telah meneroka di peringkat global di
lebih 33 negara seluruh dunia terutamanya di Indonesia, Thailand, Iran
dan Sudan.
Namun yang demikian, isu yang berkaitan dengan kenaikan harga minyak
telah menyedarkan betapa pentingnya hak minyak negeri Sabah
dikembalikan kepada rakyat Sabah memandangkan proses pemulihan dari
sebuah negeri yang termiskin di Malaysia kepada sebuah negeri yang
selari dari segi pembangunan dan jurang perbezaan dari segi kemudahan
infrastruktur dan lain-lain lagi, dapat dinikmati oleh setiap pembayar
cukai.
Perlu diingatkan bahawa setiap perbelanjaan yang kita belanjakan
seperti membeli mi segera, barang permainan untuk kanak-kanak, ikan
sardin, tisu tandas, gunting, pen, buku-buku latihan, kasut, baju dan
barang-barang keperluan harian yang lain lagi, telahpun dikenakan cukai
jualan, cukai perkhidmatan dan cukai pengangkutan tanpa kita sedari.
Ramai yang beranggapan bahawa mereka yang menghantar borang penyata
cukai pendapatan dan yang membayar cukai melalui penyata cukai tersebut
adalah pembayar cukai.
Anggapan mereka adalah salah memandangkan setiap rakyat yang hidup di
dunia ini merupakan pembayar cukai tanpa mengira latar belakang agama,
bangsa, kaum, warna kulit, seorang kakitangan kerajaan mahupun swasta,
orang kelainan upaya (OKU), orang kaya mahupun miskin, Yang Berhormat
mahupun Yang Berkhidmat atau Yang Bertaubat, kesemuanya merupakan
pembayar cukai yang begitu taat setia menunaikan tanggungjawab kita
sebagai pembayar cukai!
Mulai 1 September 2009, minyak petrol RON92 dihentikan jualan dan
digantikan dengan RON95. Ini bermakna dalam perkataan lain, minyak
petrol yang kita isi sekarang ini merupakan minyak daripada RON92 yang
mana kualitinya begitu diragukan ke atas kereta import dan kereta baru
buatan tempatan sehinggakan kerajaan terpaksa memberi penjelasan
tentang prestasi minyak yang terdapat pada RON95.
Tentu sekali kita tidak akan lupa dengan kenaikan harga minyak yang
langsung tidak munasabah pada 5 Jun 2008 di mana harga petrol RON97
(yang juga dikenali sebagai petrol RON95 pada masa sekarang) adalah
RM2.70 daripada harga RM1.92 iaitu kenaikan sebanyak 41% walaupun harga
dunia minyak adalah pada paras USD121.00 setong pada ketika itu!
Pembelian dan pengisian minyak yang luar biasa yang berlaku pada masa
tersebut, sentiasa berada di dalam ingatan semua rakyat Malaysia
terutamanya di Sandakan ini yang mana begitu ramai yang berbaris
panjang untuk mengisi minyak gara-gara kenaikan yang tidak munasabah
sedangkan gaji dan mata pencarian yang begitu rendah yang dihadapi oleh
penduduk di Sandakan ini.
Kenapalah penduduk di Sabah khususnya di Sandakan ini perlu berhadapan
dengan situasi yang langsung tidak adil daripada kerajaan pusat mahupun
negeri terutamanya dari segi pengagihan royalti minyak dan baru-baru
ini, kita dikejutkan pula dengan pengagihan kontrak oleh pihak PETRONAS
yang langsung tidak memberikan peluang kepada penduduk Sabah sebagai
Kontraktor Utama (main contractor) dan hanya layak sebagai sub-kontraktor
untuk projek-projek sejak PETRONAS bertapak di Sabah berpuluh tahun
yang lalu.
Apakah rasionalnya keuntungan daripada hasil minyak di Sabah cuma
dikembalikan sebanyak 5% dalam bentuk royalti minyak sedangkan 95%
dikebas oleh PETRONAS dan kerajaan pusat untuk membangunkan negeri di
Semenanjung?
Untuk pengetahuan pihak umum, Malaysia bukanlah anggota Pertubuhan
Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan adalah wajar pihak
PETRONAS mengkaji untuk menyalurkan keuntungan yang diperolehi kepada
negara sendiri secara langsung dengan cara menjual petrol dan diesel
yang jauh lebih rendah harganya daripada syarikat minyak dari luar
negara seperti SHELL, EXXON, ESSO dan lain-lain lagi kepada rakyat
Malaysia.
Kerajaan sering memberikan alasan pemberian subsidi yang sangat tinggi
dari segi subsidi minyak, dan adalah begitu menghairankan kenapalah
PETRONAS dahlah untung banyak, namun apabila ada kenaikan harga minyak,
kerajaan pula yang harus menanggung dan bertanggungjawab untuk
pembayaran subsidi kepada PETRONAS?
Sepatutnya syarikat-syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (GLC) yang
harus membantu meringankan beban kerajaan dan bukannya kerajaan
mengalihkan tanggungan kepada rakyat!
Oleh yang demikian, minyak yang diperolehi di tanah milik Sabah,
haruslah dikembalikan kepada rakyat Sabah! Perjanjian yang dimeterai
berpuluh tahun yang lalu, tidak lagi relevan dan ‘Harus Disemak Semula’
memandangkan perjanjian inilah antara penyebab Sabah tercatat sebagai
Negeri Yang Termiskin Di Malaysia!
SAPP Sandakan CLC Tanjung Papat Secretary Bryan Chang
|