Satu contoh jelas layanan buruk ke atas Sabah
KOTA KINABALU, Mei 18, 2011: Karenah bahagian Umno di Sabah menuntut
kerusi yang dipegang parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain
adalah contoh jelas bagaimana Sabah dilayan selama ini sejak penubuhan
Malaysia, kata Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Eric
Majimbun.
"Sejak penubuhan Malaysia, Sabah telah dilayan sebagai adik kecil yang
boleh dibuli oleh abang besar dari semenanjung. Mereka ini adalah
pemimpin dari kedua-dua kem sama ada dalam kerajaan atau pembangkang,"
katanya.
Majimbun, yang juga MP Sepanggar berkata, malah British merasakan
penduduk Sabah atau ketika itu Borneo Utara tidak akan mempunyai
autonomi tanpa "abang-abang besar" mereka.
"Apabila Kerajaan Usno cuba untuk tidak mempedulikan cengkaman
abang-abang besar itu, mereka memasang pemimpin Sabah untuk
menggulingkan Kerajaan Negeri. Sementara perkara yang sama berlaku
sebelum ini apabila abang besar itu didakwa telah melantik seorang
penduduk Sabah menjadi Pesuruhjaya Tinggi ke Australia.
Pada 1985 apabila Sabah mengundi untuk satu perubahan, pada mulanya
Kerajaan Persekutuan enggan mengiktiraf mandat rakyat itu. Ini juga
dibakar dengan kejadian rusuhan yang disokong pendatang tanpa izin.
"Kerajaan negeri berhadapan dengan pelbagai kesulitan daripada segi
pentadbiran dan kewangan serta komunikasi satu hala," katanya.
Majimbun berkata, hanya minoriti terpilih sahaja diberi keistimewaan
tetapi majoriti jauh daripada layanan seperti mana yang diberikan
kepada rakan Malaysia lain dari semenanjung.
"Selepas 47 tahun, perbezaan dan jurang antara Malaysia Timur dan barat
menjadi amat ketara....bolehkah penduduk Sabah dan rakyat Malaysia
menafikan serta tidak mengambil tahu perkara ini?" soal beliau.
Majimbun berkata, bukan Sabah yang menyerahkan kuasa Imigresen kerana
perkara itu telah dikaji dan baik buruknya dipertimbangkan secara
menyeluruh oleh Para Pemimpin negeri sebelum penubuhan Malaysia.
"Tetapi ia disebabkan oleh cakap dan janji manis abang-abang besar itu
yang sama dengan mereka yang tidak yakin terhadap para pemimpin Sabah,"
katanya.
Oleh Chris Maskilone (Harian Ekspres)
|