Tolak politik ekstremis Semenanjung
RAKYAT
Sabah perlu menolak politik ekstrimis dari Semenanjung dan kekalkan
budaya politik bersifat perpaduan yang sedia ada.
KUNDASANG, Mei 30, 2011:
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee berkata,
parti politik dari Sabah terutamanya SAPP lebih mementingkan perpaduan
kerana melaluinya kemajuan dan kesejahteraan dapat diberikan kepada
rakyat.
"Tidak seperti parti-parti politik dari Semenanjung Malaysia, mereka
bukan hanya memperkenalkan budaya politik ekstrimis tetapi sangat
bongkak serta langsung tidak menghormati rakyat Sabah.
"Parti-parti politik dari Semenanjung ini apabila datang ke negeri ini
dengan angkuh ingin merampas hak parti dari Sabah walaupun mereka
sebenarnya berada dalam satu gabungan.
"Contohnya ialah apabila Naib Presiden UMNO Datuk Zahid Hamidi ketika
merasmikan mesyuarat UMNO Pensiangan baru-baru ini secara terang-terang
berkata UMNO akan merampas kerusi Parlimen Pensiangan daripada parti
PBRS.
"Ini menunjukkan, pemimpin UMNO dari Semenanjung apabila datang ke
Pensiangan langsung tidak menghormati Ahli Parlimen Pensiangan Tan Sri
Joseph Kurup yang menjadi tuan rumah.
"Adakah sopan apabila tetamu secara terang-terang berkata mahu merampas
hak milik tuan rumah?" katanya ketika berucap merasmikan Pesta Menuai
SAPP peringkat negeri Sabah di sini.
Beliau berkata, rakyat serta para ahli politik Sabah sentiasa
mengekalkan perpaduan dan tidak akan sama sekali merosakkannya walaupun
ketika berpolitik.
Katanya, rakyat dan para ahli politik Sabah selepas berpolitik pasti
akan kembali menjalinkan perpaduan dan ini dapat dilihat ketika
meraikan sesuatu perayaan seperti Pesta Menuai atau Hari Raya Puasa
atau Tahun Baru Cina.
Teck Lee berkata, rakyat Sabah walaupun berbeza fahaman politik tetapi
akan tetap duduk bersama merayakan setiap perayaan yang diraikan di
negeri ini.
"Begitu juga para ahli politik di Sabah, saya dijemput dan hadir pada
majlis perkahwinan anak Tan Sri Joseph Pairin Kitingan walaupun kami
berbeza fahaman politik," katanya.
Beliau berkata, budaya politik ekstrimis dari Semenanjung perlu ditolak
dan rakyat Sabah mesti kekalkan perpaduan yang dinikmati selama ini.
Katanya, rakyat Sabah tidak memerlukan konsep seperti 1Malaysia kerana
perpaduan di kalangan rakyat di negeri ini sudah lama terjalin.
Terdahulu, bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor Mansur, berkata
perubahan pucuk pimpinan Kerajaan Sabah dapat dilakukan melalui
perpaduan rakyat.
"Rakyat Sabah hanya memerlukan pensil untuk menukar kerajaan negeri
Sabah daripada Barisan Nasional kepada SAPP pada pilihan raya akan
datang," katanya.
Katanya, rakyat Sabah hanya perlu tingkatkan semangat inginkan
perubahan sama seperti yang dilakukan oleh rakyat di negara-negara
Timur Tengah.
Beliau berkata, rakyat Sabah tidak perlu senjata seperti yang digunakan
rakyat Timur Tengah untuk menukar kerajaan kerana pensil sudah
mencukupi untuk melakukannya di negeri ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden SAPP Datuk Eric Majimbun berkata,
perjuangan SAPP sejak dulu lagi ingin memastikan hasil bumi dari negeri
ini dinikmati rakyat Sabah dan bukannya dirampas Kuala Lumpur seperti
yang berlaku pada masa ini.
Katanya, keadaan itu boleh dibetulkan semula apabila rakyat Sabah
berganding bahu dan melakukan perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri.
Eric selaku Ahli Parlimen Sepanggar berkata, ikatan persefahaman di
kalangan rakyat Sabah yang sudah sedia terjalin juga perlu dikekalkan
agar keharmonian dapat dikekalkan.
Pengerusi Penganjur Pesta Menuai SAPP peringkat negeri Sabah di sini,
Japiril Suhaimin berkata, barisan kepimpinan SAPP yang terdiri daripada
pelbagai kaum menunjukkan SAPP bukan sebuah parti perkauman.
Beliau berkata, majlis seperti perayaan Pesta Menuai ini telah diraikan
sejak SAPP ditubuhkan pada 1994 samada ketika berada dalam atau di luar
kerajaan.
Katanya, perpaduan dikalangan para pemimpin dan penyokong SAPP
sekaligus menunjukkan parti SAPP sentiasa mengamalkan sikap toleransi
sekaligus diterima rakyat.
|