Kenaikan tarif
elektrik
By
Chang Shak Hung (Jun 2, 2011)
Kenaikan tarif elektrik yang berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia
bermula pada 1 Jun 2011, merupakan satu pengumuman yang langsung tidak
memberi kebaikan dan kesenangan kepada penduduk di Sabah amnya dan di
Sandakan khususnya. Penduduk di Sabah sedang menanti penuh debaran
dengan pengumuman yang akan dibuat oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)
dalam masa terdekat berhubung dengan kenaikan tersebut. Persoalan utama
yang perlu diajukan kepada pihak kerajaan yang dipimpin oleh kerajaan
Barisan Nasional adalah, adakah wajar kenaikan tarif berkenaan
sedangkan pengumuman tersebut menyatakan bahawa 75% pengguna domestik
tidak mendapat tempiasnya. Kerajaan pandai bermain kata dan memutar
cara pengumuman sedangkan kesemua pengguna komersial dan industri telah
terkena tempias untuk menaikkan tarif elektrik.
Di Sabah terutamanya di Sandakan, kita berhadapan dengan 3 permasalahan
utama iaitu masalah bekalan air, masalah gangguan bekalan elektrik dan
kemudahan infrastruktur seperti jalan raya yang rosak dan teruk.
Melalui permasalahan tersebut, gangguan elektrik yang sentiasa
menghantui masalah di Sandakan ini begitu teruk dan boleh dikatakan
hampir kawasan terlibat dan bezanya cuma menunggu masa gangguan bekalan
elektrik ini berlaku. Kita tidak perlu menunggu gangguan ini
berlanjutan selama 3 jam, sekiranya gangguan berlaku setakat 30 minit
sahaja, ia akan memberi ketidakselesaan dan gangguan kepada pemilik
rumah terutamanya apabila mereka hendak menyediakan makan malam mahupun
membuat persiapan untuk anak-anak untuk ke sekolah.
Sudahlah terdapat gangguan yang kerap berlaku, namun perlu dinaikkan
lagi tarif elektrik di Sabah? Bukan itu sahaja, umum mengetahui sebaik
saja ada kenaikan untuk harga minyak dan gula, kita tidak dapat lari
daripada kenaikan harga barangan. Inikan pula dengan kenaikan tarif
elektrik yang melibatkan komersial dan industri, barangan serta produk
keluaran mereka sudah pasti akan dinaikkan harga dan yang menjadi
mangsa untuk kenaikan tarif ini adalah kepada pengguna itu sendiri.
Kerajaan sering menyatakan pengurangan subsidi secara
berpeingkat-peringkat namun kenyataan tersebut tiada bezanya
memandangkan pengurangan dan penghapusan subsidi ini akan menyebabkan
para pengguna yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, perlu
menanggung peningkatan kos produk dan perkhidmatan. Kadar inflasi juga
turut meningkat. Kadar faedah pinjaman rumah dan kereta juga meningkat.
Kos sara hidup pengguna akan meningkat. Dan yang paling penting adalah
beban hidup penduduk miskin, miskin tegar dan golongan muda serta
mereka yang berpendapatan sederhana akan menjadi mangsa daripada
ketidakmunasabahan kenaikan tarif elektrik berkenaan.
Sungguhpun kenaikan tersebut tidak melibatkan penduduk domestik secara
menyeluruh serta diskaun 10% ke atas bil eketrik bulanan yang sedang
dinikmati sekolah dan institusi pengajian tinggi kerajaan, rumah ibadat
dan badan kebajikan berdaftar degan kerajaan masih dikekalkan, namun ia
langsung tidak mendahulukan rakyat terutamanya penduduk di Sandakan ini.
Kerajaan memberikan alasan bahawa kenaikan harga gas asli kepada sektor
tenaga telah meningkat daripada RM10.70/mmBTU kepada RM13.70/mmBTU,
namun menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk menjaga rakyat dengan
mengamalkan perbelanjaan berhemah dan bukannya menyuruh penduduk
Malaysia yang perlu berbelanja dan menggunakan elektrik secara berhemah!!!
|