SAPP ialah parti berbilang kaum
KOTA
KINABALU, Jun 4, 2011: Kami ingin menyangkal kenyataan salah yang
diluahkan oleh Ketua Publisiti DAP, Chan Foong Hin, yang menganggap
SAPP sebagai sebuah parti yang di dominasi kaum cina. Kenyataan beliau
telah menghina rakyat Sabah yang berbilang kaum yang mendukung
perjuangan SAPP selama ini. Faktanya, SAPP sentiasa memperjuangkan
rakyat Sabah yang berbilang kaum tanpa mengira bangsa dan agama,
walaupun pada hakikatnya SAPP telah dipelopori oleh pucuk kepimpinan
dari kaum Cina sejak ianya ditubuhkan pada tahun 1994. Sejak mengasingkan
diri dari Barisan Nasional (BN) dalam tahun 2008, SAPP telah membuat
transformasi dalam memperkembangkan sayapnya keceruk rantau luar bandar
bersama kepimpinan kaum bumiputra di semua peringkat.
Ramai kaum bumiputra dan saya sendiri telah bersama-sama berjuang
dengan Datuk Yong Teck Lee sejak hari pertama beliau bertanding dalam
tahun 1985 dibawah lambang PBS. 26 tahun berlalu kami masih kukuh dan
komited dalam perjuangan kami yang berbilang kaum untuk mempertahankan
maruah rakyat dan negeri Sabah.
Dalam tahun 1994, saya adalah salah seorang ahli pengasas Parti SAPP.
Sejak itu SAPP mempunyai cawangan-cawangan yang aktif diluar bandar
seperti Banggi, Tungku , Sindumin, Kemabong dan kebanyakan
daerah-daerah luar bandar. Kalau Chan tidak mengetahuinya, tanyalah
kepada Ketua DAP Negeri, Jimmy Wong Sze Phin dan MP Kota Kinabalu Dr
Hiew King Chiew yang pada masa itu amat aktif selaku Ahli Majlis
Tertinggi SAPP bersama Datuk Yong Teck Lee semasa menyandang jawatan
Ketua Menteri pada masa itu. Selepas itu JimmyWong menyertai Bersekutu
dan bertanding di Kudat pada tahun 1999. Dr Hiew pula menyertai PBS.
Walaupun mereka sekarang pemimpin DAP, kita berharap kita masih dapat
berkerjasama dengan mereka lagi demi kepentingan negeri Sabah.
Adalah satu kesilapan untuk Chan menuduh SAPP sebagai parti cina dan
UBF (United Borneo Front) sebagai parti kadazandusun. Perjuangan
kedua-dua parti SAPP dan UBF adalah dibawah naungan Agenda Borneo. Kami
menasihatkan pemimpin-pemimpin muda DAP supaya jangan terperangkap atas
dasar yang sama bahagi dan perintah yang diamalkan di Sabah oleh
politikus-politikus Kuala Lumpur dengan memainkan politik perkauman
sejak tahun 1963.
Sebagai warga Malaysia yang jati, kita mahu melihat rakyat kita bersatu
padu. Kita berasa kecewa melihat situasi di Sarawak dimana dua sistem
berparti yang menjadikan "pembangkang dari kaum cina dan Kerajaan dari
kaum Bumiputra". Sudah tentu perkara serupa ini tidak sihat untuk
perpaduan nasional. Inikah yang dimahukan DAP terjadi di Sabah?
Dengan itu, kami sebagai pemimpin bumiputra akan meneruskan perjuangan
kami demi merealisasikan sebuah kerajaan yang benar-benar berbilang
kaum di Sabah oleh rakyat Sabah dan bukan sebuah kerajaan yang
diselimuti ala politik perkauman. Perkara ini juga akan berlaku dibawah
parti SAPP sebagai sebuah parti tempatan (sabah) yang tulin demi
menyatukan semua warga Malaysia di Sabah.
Awang Talip Awang Bagul ialah penasihat SAPP dan mantan Ketua Daerah
Kota Kinabalu
|