Pembinaan empangan
Tambatuon mimpi ngeri
Kota
Belud, Jun 4, 2011: Pembinaan Empangan Tambatuon masih lagi menjadi
mimpi ngeri kepada para penduduknya jelas Mantan Ketua Kampung Encik
Singkui Tinggi dalam satu temuramah baru-baru ini. Mana tidaknya "mahu
membuka ladang baru untuk ditanam getah, dan mahu membina rumah baru,
orang kampung serba salah, tidur pun tak lena kerana asyik teringatkan
kampung halaman akan ditenggelamkan air" tambah beliau lagi.
Dari segi sejarah Kampung Tambatuon telah lama dikenali sejak zaman
pemerintahan British, kampung ini juga terlibat dalam perang semasa
penjajahan Jepun sehinggakan ada nyawa yang penduduk kampung yang
terkorban. Maka dengan itu, walau apa cara sekalipun kg. Tambatuon akan
dipertahankan hingga ketitisan darah yang terakhir, tegas beliau.
Mengulas tentang kenyataan Yang Berhormat Datuk Masidi Manjun didalam
akhbar baru-baru ini, jelas menyatakan Kg. Tambatuon adalah sebuah
kampung yang tercantik, namun kerakusan pemimpin, terutamanya Adun
Kadamaian YB Herbert Timbun yang sepatutnya membela rakyat dikawasan
Kadamaian tidak pula menjalankan tugas, sebaliknyanya menganiaya
rakyatnya sendiri, ibarat kata pepatah "harapkan pagar, pagar makan
padi".
Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan ucapan terima kasih
yang tidak terhingga kepada Parti Maju Sabah, khususnya kepada Yang
Berhormat Melanie Chia, Adun N.16 Luyang, kerana telah membawa isu ini
untuk dibincangkan di Dewan Rakyat. Inilah pemimpin yang sebenar ujar
beliau, walaupun beliau (Yb Melanie Chia) wakil rakyat Luyang dan
berbangsa Tiong Hwa namun jelas terserlah keikhlasan dalam membantu
rakyat sabah tanpa mengira kaum.
Diakhir perbualan beliau mencabar kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri
Panglima Musa Aman untuk turun tangan menyelesaikan masalah ini secara
mutlak dengan mengumumkan pembatalan pembinaan Empangan Tambatuon.
|