Chua persoalkan 'dua
sistem untuk satu sektor'
TAWAU, Jun 9, 2011: Ahli Parlimen Tawau Datuk Chua Soon Bui
mempersoalkan rasional kerajaan mengamalkan 'dua sistem'untuk satu
sektor sama berhubung pembaharuan pas pekerja asing.
Jelasnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan bahawa pas pekerja
asing boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun (5+5) bermula tahun ini,
tetapi polisi itu hanya digunapakai untuk sektor perladangan 100 ekar
luas keatas sahaja.
"Polisi ini tidak adil kepada pekebun kecil kerana mereka tidak
termasuk (dalam polisi) sedangkan mereka juga memerlukan pekerja asing,
malahan kebanyakkan pemilik ladang di sini hanyalah pekebun kecil
dengan keluasan ladang tidak seberapa," katanya.
Menurutnya, pas Pekerja asing sebelum ini sah untuk tempoh lima tahun
sahaja tetapi bermula tahun ini, dokumen itu boleh dilanjutkan sehingga
10 tahun untuk kemudahan majikan yang menggaji pekerja asing untuk
ladang berkeluasan 100 ekar ke atas.
Beliau mahu KDN melayan semua pemain sektor perladangan secara sama
rata agar tiada pihak merasa tertindas.
Tambahnya, para pekebun kecil, khususnya di daerah ini tidak sepatutnya
dibebankan lagi kerana golongan itu sudah terbeban dengan keadaan jalan
rosak yang memaksa mereka mengeluarkan kos lebih tinggi.
Chua berkata demikian kepada wakil media selepas melakukan kunjungan
hormat kepada Ketua Imigresen Tawau, Ibrahim Tamsil di pejabatnya.
Beliau juga berkata bahawa Jabatan Imigresen akan meneliti kes secara
individu berhubung pembaharuan pas pekerja, terutamanya bagi kes-kes
belum selesai.
Ini berikutan berlakunya masalah sistem di Pejabat Imigresen yang
menyebabkan ada kes tertunggak dan pembaharuan Pas pekerja asing tidak
dapat disiapkan dalam tempoh sebulan seperti yang diberitahu.
Katanya, beliau masih menerima aduan daripada majikan yang menghadapi
masalah tersebut.
Lagatah Toyos (Harian Ekspres)
|