Skim Rumah Pertamaku tidak praktikal di Sabah
KOTA
KINABALU, Jun 10, 2011: "Skim Rumah Pertamaku" tidak boleh dilaksanakan
di Sabah kerana ia tidak praktikal, dakwa Setiausaha Penganjur CLC
Api-Api Parti Maju Sabah (SAPP), Clement Lee.
Perdana Menteri mengumumkan bahawa melalui skim itu orang dewasa muda (bawah
35 tahun) yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan layak
untuk mendapat pinjaman daripada 25 institusi kewangan untuk rumah
berharga antara RM100,000 hingga RM220,000 di seluruh negara.
Skim itu hanya boleh dipohon kakitangan dalam sektor swasta tetapi
bukan tuan punya tunggal seperti pemilik gerai, penjual sayur dan
sebagainya.
Dalam satu kenyataan di sini Rabu lepas, Lee berkata, skim itu mungkin
boleh membantu di negeri-negeri tertentu di Malaysia Barat dengan kos
hidup yang lebih rendah.
"Tetapi kita perlu realistik di sini di Sabah. Berapa banyak hartanah
seperti rumah deret satu tingkat dan rumah deret dua tingkat di sekitar
kawasan Kota Kinabalu yang masih mempunyai harga kurang daripada atau
sama dengan RM220,000 sekarang ini?
"Adakah Kerajaan memberitahu orang-orang dewasa muda itu supaya tinggal
di luar kawasan Kota Kinabalu dan memandu ke tempat kerja di KK dengan
perbelanjaan petrol yang lebih?," tanya beliau.
Merujuk kepada kenyataan dalam Daily Express pada 2 Mac, kebanyakan
gaji yang dibawa pulang dewasa muda di Sabah adalah kurang daripada
RM2,000 sebulan, katanya.
Selepas ditolak perbelanjaan (tidak termasuk langganan bulanan Astro
dan Streamyx), hanya tinggal RM150 untuk mereka belanjakan.
"Bagaimana mereka hendak membayar ansuran bulanan rumah dengan BLR,
semasa setinggi 6.6 peratus?" soal beliau.
Lee berkata, isu paling kritikal sekarang ini adalah bagaimana Kerajaan
boleh menambah pendap atan golongan dewasa muda, yang dibawa pulang di
Sabah lebih-lebih lagi mereka yang bekerja dalam sektor swasta, yang
terendah di Malaysia.
"Bagaimana Kerajaan BN boleh membantu sektor swasta di Sabah
mengurangkan perbelanjaan mereka dengan kos inflasi tinggi yang
menjejaskan mereka setiap hari dan untuk meningkatkan produktiviti
mereka bagi menambah pendapatan pekerja?
"Sebagai contoh, antaranya pengurangan cukai syarikat, subsidi jentera
dan subsidi latihan kakitangan," katanya.
"Ke mana perginya keuntungan yang dihasilkan daripada minyak dan gas
kita serta potongan subsidi daripada wang petrol untuk membantu
memperbaiki sistem pengangkutan kita seperti rangkaian bas yang baik,
keretapi atau MRT di semua bandar utama di Sabah?" katanya.
"Kita tidak dapat melihat kewajarannya kenapa Kerajaan BN gagal
meningkatkan taraf hidup penduduk Sabah terutamanya dewasa muda
sedangkan keuntungan besar diperoleh daripada lonjakan harga minyak dan
gas,” katanya, sambil menambah, kos hidup di Sabah juga antara yang
tertinggi di Malaysia
"Kami daripada SAPP mendapati ibu bapa orang-orang dewasa muda di Sabah
telah membelanjakan lebih RM100,000 untuk menghantar anak-anak mereka
belajar ke luar negara, terutamanya mereka yang gagal masuk ke
universiti tempatan disebabkan sistem kuota.
"Malangnya, apabila balik ke tanah air dan bekerja mereka hanya dapat
membawa pulang gaji sebanyak RM2,000 sebulan," katanya.
Ini memaksa golongan profesional muda di Sabah berhijrah ke tempat lain
untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik, katanya.
|