Philicica: Sunrise
after Tonight
Teks
ucapan oleh Philicica Tong, Ahli Exco Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) di
Hotel Promenade
Saya amat berbangga melihat yang hadir pada hari ini terdiri daripada
pelbagai suku kaum di Sabah dalam dianggap sebagai kaum minoriti atau
kaum untuk mencukupkan "korum" Bumiputra agar lebih ramai daripada suku
kaum yang lain seperti Cina dan India, kita di Sabah hidup jauh lebih
harmoni berbanding penduduk di semenanjung.
Sayang seribu kali sayang, pemimpin negara masih lagi
terkontang-kanting memperkenalkan pelbagai slogan dan kaedah kononnya
bagi memupuk perpaduan dikalangan rakyatnya yang berbilang bangsa dan
agama. Terbaru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memperkenalkan
konsep 'Satu Malaysia' yang bermotokan 'Rakyat didahulukan, Pencapaian
diutamakan'. Umum sedia maklum, slogan ini tinggal slogan,
tindak-tanduk mereka pula menceritakan segmen yang berbeza. Pemimpin
atas kata lain, pemimpin Perkasa pula mengatakan perkara yang berbeza.
Antara kegagalan utama kerajaan 'Malaysia' dan mungkin kerajaan hampir
diseluruh dunia adalah memecahkan blok-blok pemikiran berlandaskan
perkauman dikalangan rakyat dan pemimpin politik. Buktinya masih
berlaku sikap prejudis apabila Suatu bangsa mendakwa dirinya sebagai
paling bertamadun dan mendewa-dewakan ketuanannya.
Konsep ini ternyata gagal memecahkan blok-blok pemikiran yang
berlandasan perkauman di Semenanjung. Malah 1Malaysia ini menjadi
konsep murahan dan terus dilelong, sedangkan pada masa yang sama 'mereka'
mencantas keperluan dan kehendak kaum yang lain, serta terus
bercerminkan imej lapok mereka sebagai pejuang satu 'bangsa' mereka
sahaja.
Paling melucukan adalah media milik BN dan UMNO serta kumpulan
masyarakat yang digelar PERKASA adalah terlalu membicarakan segala isu
dalam rukun bangsa yang diwakilinya seperti survival bangsa, betapa
bangsanya seolah terancam, bangsanya yang seolah ditindas, bangsanya
seolah dilayan seperti kelas ke-2, bangsanya yang dipinggirkan, dan
sebagainya.
Imej lapok dan konservatif ini gagal dicorakkan kembali dengan imej
baru yang mana media BN turut bersikap berat sebelah dan sentiasa
bercakap tentang survival masyarakat Malaysia tapi terus memfokus pada
bangsa atau kaum tertentu sahaja.
Sedangkan wacana ilmu yang membicarakan isu kemiskinan, ekonomi, budaya
dan sosial merentasi sempadan bangsa tidak mereka bicarakan secara
telus. Jika adapun hanyalah retorik untuk agenda politik secara
bermusim.
Melayu, Cina dan India di semenanjung sangat berbeza, mana mungkin
mereka boleh duduk pada kerusi yang sama? Sehingga seorang yang
berlainan agama masuk rumah ibadat mereka juga menjadi isu yang
tersangat besar. Jika benar adanya toleransi serta semaian rasa
kebertanggungjawaban bersama, isu sedemikian boleh selesai dengan mudah.
Tetapi mereka sebaliknya mengambil sikap agresif dan menghangatkannya
sehingga kepada tindakan membuat laporan polis.
Yang lebih melucukan adalah mereka sebenarnya tanpa sedar menyindir
Menteri Pembangunan Wanita Dan keluarga yang dikatakan pakai tudung tak
cukup kain.
Kempen 1Malaysia hanya menjadi lubuk duit bagi kontraktor dan
sesetengah pihak yang meraih keuntungan untuk membuat baner, tshirt dan
baju kemeja. Pengiklanan di telivesyen dan media massa juga sangat
merugikan serta menjahanamkan wang rakyat. Sepatutnya wang tersebut
boleh digunakan untuk tujuan yang lebih berfaedah. Di Sabah contohnya,
masih banyak desa belum menerima bekalan air dan letrik, masih ada
jalan yang belum disiapkan, masih ramai kanak-kanak sekolah yang datang
kesekolah tanpa memakai kasut, rawatan kepada ibu dan kanak-kanak serta
orang tua, wang untuk kempen ini sebenarnya boleh menampung keperluan
rakyat.
Jika Malaysia itu ingin dimetaforakan sebagai bangunan, maka pemimpin
adalah arkitek dan rakyat adalah pembinanya. Apa guna jika kita miliki
pelan terbaik jika kita gagal membinanya.
Saudara dan Saudari,
Saban hari kita mendengar keluhan kadar sara hidup yang semakin
meningkat. Kenaikkan harga barang, dan perbelanjaan turut meningkat.
Individu yang menerima bahang atas situasi ini adalah ibubapa. Apatah
lagi dengan beban anak yang belum berjaya mendapatkan pekerjaan.
Bukannya malas, tetapi peluang pekerjaan yang terhad dan pendapatan
yang terlalu rendah sehinggakan tidak berbaloi untuk bekerja kerana
tiada lebihan hasil pendapatan pada akhir bulan, bah kan pula terlebih
perbelanjaan. Maka ramai yang memilih untuk duduk di rumah.
Kadar Pengangguran bukanlah satu isu yang baru, namun apakah tindakan
kerajaan dalam menangani isu ini khususnya kita di Sabah? Kita
mempunyai banyak graduan institusi tinggi dan juga tenaga professional,
namun hak kita diperlekehkan. Hak rakyat Sabah yang termaktub dalam
perjanjian 20 perkara dalam mengisi jawatan dalam kerajaan hanya
dilihat sebagai satu angan-angan atau mimpi di siang hari.
Dalam memohon jawatan dalam perkhidmatan Awam kerajaan, nasib kita
belum dapat dipastikan. Ini adalah kerana Kerajaan yang ada sekarang
mengamalkan sikap, ada saudara ada kerja. Ada sokongan YB ada peluang.
Sehinggakan nak dapatkan kerja dikaunter kerajaan pun sukar. Apatah
lagi dengan berita mengatakan setiap kekosongan jawatan di dalam
perkhidmatan awam di Sabah dibolot oleh anak-anak dari semenanjung.
Inikah yang dibuktikan oleh slogan 1 Malaysia. Dimanakah anak-anak
Sabah harus bekerja jika pekerjaan dibumi sendiripun kita terpaksa
meluakkan mata melihatnya terlepas begitu sahaja ke tangan belia dari
sememanjung.
Dalam pembentangan bajet 2011, saya memetik satu kenyataan yang
dibentangkan oleh YB Melanie, dimana Bajet Negeri tidak dinyatakan
mengenai sasaran peningkatan pendapatan per kapita Sabah bagi tahun
2011. Sebanyak RM1,023,080.00 diperuntukkan bagi pembiayaan
projek-projek utama seperti: pembesaran rangkaian jalan raya dan
penyelenggaraanya; sistem kereta api, sistem kumbahan serta pembinaan
dan penyelenggaraan bangunan Kerajaan dan lain-lain. Pembiayaan bagi
projek-projek ini jelas menampakkan dalam meningkatkan infrastruktur
namun, perbelanjaan tersebut tidak kelihatan memberi impak untuk
membantu dalam mengubah ekonomi negeri dari segi peningkatan pendapatan
ekonomi mahupun membanteras kemiskinan di mana diantara yang tertinggi
di Malaysia. Usaha untuk mengubah ekonomi Negeri seharusnya lebih
menfokuskan kepada nilai tambah, menghasilkan kekayaan baru,
meningkatkan pendapatan rakyat, dan mencipta pekerjaan baru.
Bercakap tentang meningkatkan pendapatan rakyat dan mencipta pekerjaan
yang baru, dengan limpahan graduan di pasaran kini, tidak keterlaluan
sekiranya saya mengatakan Sabah mempunyai ramai anak muda yang
pendidikan tinggi, tetapi menjadi graduan yang berhutang. Belum pun
mula bekerja, hutang sudah mendahului. Bagaimana mungkin seorang
graduan dapat memulakan kehidupan baru? Ramai graduan yang tidak mampu
untuk berdikari, dan takut mengambil risiko kerana hutang sudah
menghantui sebelum menghabiskan segulung ijazah.
Saban hari kita mendengar PTPTN mengesan peminjam untuk memungut hutang,
siap pula dengan tindakan mahkamah, sekiranya gagal, nama peminjam akan
disenarai hitam dan tidak dibenarkan untuk keluar Negara. Adakah ini
satu fenomena yang membina? Ini sangat jelas menunjukkan kerajaan gagal
untuk melonjakkan ekonomi Negara untuk meningkatkan pendapatan dan
membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setaraf
dengan keperluan hidup. Para graduan terpaksa bersaing untuk
mendapatkan pekerjaan dan yang lebih mendukacitakan adalah gaji
permulaan adalah lebih rendah sekiranya dibandingkan di Negara yang
lain apatah lagi di dalam sektor swasta, kerana tidak ada garis panduan
menyatakan majikan dalam sector swasta harus meletakkan sukatan
pendapatan mengikut pencapaian pendidikan.
Dan yang lebih mendukacitakan adalah kenaikkan gaji yang sangat rendah.
Mengikut statistic, purata kenaikkan gaji rakyat Malaysia antara tahun
2000-2010 mencatatkan 2.6% berbanding purata kenaikkan gaji dunia 3.2%.
Dengan beban hutang PTPTN dan keperluan hidup seharian mempengaruhi
keyakinan dan psikologi generasi muda masa kini walaupun digelar
graduan, bukankah kita harus melahirkan generasi muda yang berdaya
saing di peringkat Negara dan globalisasi? Kerajaan seperti mengiyakan
situasi ini dan seperti menginginkan generasi yang hanya akan
mengangukkan kepala dan tunduk kepada apa jua yang kerajaan lakukan.
Saudara dan Saudari,
Saya amat tertarik dengan system yuran pendidikan percuma yang
dilaksanakan di beberapa Negara. Kita mempunyai pendapatan dari sumber
asli seperti minyak dan gas, apatah lagi dengan pemotongan subsidi
petrol dan gula. Namun mengapakah kerajaan tidak berupaya untuk
melaksanakan yuran percuma di Malaysia? Agihan peruntukan lebih
mengutamakan projek-projek MEGA dan mengetepikan kan asset yang penting
iaitu, generasi baru. sektor pendidikan menjadi korban dan kos lepas
terhadap keutamaan di dalam sektor lain di dalam negara.
Saya memetik kenyataan YB Datuk Eric pada sidang Parlimen yang
berlangsung baru-baru ini berhubung isu Loji Sinakut, atas kebonkakkan
Kerajaan, kita kerugian sebanyak RM70 Juta. Kerajaan telah
menandatangani perjanjian awal tanpa menjalankan laporan EIA terlebih
dahulu. Persoalannya, kerajaan mempunyai wang untuk membayar pampasan
tetapi tidak mempunyai kewangan untuk menampung yuran pendidikan
percuma untuk masa depan generasi baru.
Sebenarnya pelaksanaan pendidikan percuma ini bukanlah satu perkara
baru. Sejak zaman dahulu lagi pendidikan percuma diberikan oleh
kerajaan sesebuah Negara Kebajikan kerana ia dilihat sebagai keperluan
asasi bagi setiap rakyat. Namun Perkembangan dasar Liberalisme yang
menjadi pegangan negara-negara moden mengkehendaki kerajaan bersifat
lepas tangan (Laissez Faire) bermula dalam Ekonomi kemudiannya
menghakis kepada beberapa keperluan asasi rakyat seperti pendidikan. Di
kebanyakan negara yang mengamalkan dasar itu, menganggap pendidikan
tinggi bukanlah keperluan asasi rakyat, justeru kerajaan tidak
bertanggungjawab menyediakannya secara percuma. Lewat kurun ke-20,
pendidikan tinggi ini dilihat sebagai peluang yang baik untuk sumber
pendapatan negara, malah sebagai sebagai komoditi dagangan khususnya
bagi golongan Neo-Liberalisme.
Di Malaysia, penggubalan akta-akta berkaitan pendidikan pada
pertengahan dekad 1990-an salah satunya mempunyai tujuan ini. Malaysia
dilihat menuruti beberapa negara seperti Australia menjadikan
pendidikan tinggi ini peluang untuk menambahkan pendapatan negara
melalui kutipan yuran dan seumpamanya. Bagaimanapun masih terdapat
banyak negara yang mengekalkan pelaksanaan pendidikan percuma sehingga
peringkat pendidikan tinggi seperti negara-negara Sweden, Norway,
Finland, Scotland, Rusia, Rwanda, Argentina dan lain-lain di Eropah,
Arab Saudi, Kuwait dan lain-lain dari kalangan negara pengeluar Minyak,
Cuba sebuah negara Sosialis serta Sri Lanka sebuah negara membangun.
Hakikat ini menunjukkan bahawa pendidikan percuma ini tidak semestinya
dilaksanakan hanya oleh negara-negara kaya sahaja.
Jika dibandingkan dengan Cuba, Venezuela dan Argentina, Negara Malaysia
yang tergolong dalam Negara dunia ketiga juga mampu memberi pendidikan
percumakepada rakyat sehingga peringkat universiti kerana pendapatan
Negara kita lebih tinggi jika dibandingkan dengan ketiga-tiga Negara
tersebut yang sedang memberi pendidikan percuma. Malah kadar literasi
Malaysia lebih rendah iaitu hanya 91.9% jika dibandingkan kepada
Negara-negara jiran kita yang pendapatan Negara berlipat kali ganda
lebih rendah daripada Malaysia seperti Thailand (94.1%), Philippine
(93.4%) dan Indonesia (92.0%).
Pendidikan adalah satu hak asasi manusia, tetapi Pendidikan dijadikan
perniagaan sebagai landasan untuk mengaut keuntungan.
Di Negara Barat, Demonstrasi sering dilakukan untuk menuntut pendidikan
percuma. Di German, mereka selalu berbangga yang kebanyakan universiti
mereka terutamanya universiti awam tidak mengenakan walau satu sen pun
yuran pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah. Di Norway dan
Finland, walau pun tidak layak memohon bantuan sara hidup bulanan, akan
tetapi mana-mana rakyat luar negara mereka boleh untuk mendapatkan
pengajian percuma di universiti awam mereka. Di Scotland, penduduk asal
Scotland atau pun mereka yang telah tinggal sekurang-kurangnya 3 tahun
di sana akan dikecualikan daripada membayar yuran pengajian universiti.
Mereka menggunakan hampir £2 bilion wang rakyat daripada cukai yang
pelbagai untuk dibelanjakan bagi membangunkan modal insan kalangan
rakyat tempatan.
Apa yang pasti, keutamaan yang diberikan oleh kerajaan Scotland adalah
merupakan komitmen mereka untuk melahirkan generasi terbilang daripada
rakyat tempatan mereka sendiri. Bahkan pelajar yang dikecualikan yuran
tersebut tidak langsung diikat dengan kontrak yang membebankan.
Di Malaysia, yuran percuma sering dikaitkan kepada biasiswa, akan
tetapi graduan yang menerima biasiswa biasanya akan terikat dengan
kontrak. Biasanya graduan tersebut akan terus dipanggil untuk bekerja
di syarikat yang menaja atau sector awam, namun haruslah menunggu
panggilan. Jelas menunjukkan Graduan ini tidak dapat membuat keputusan
untuk diri sendiri dan terpaksa mengikut hala tuju yang di arah. Adakah
ini yang diingini oleh kerajaan? Sepatutnya melahirkan generasi yang
terbilang dan berdaya saing harus lah diutamakan maka Malaysia akan
dapat terus membangun di persada dunia.
Saudara dan Saudari,
Kalau dulu, Sabah hanya dikatakan pengenap dalam kemenangan BN dalam
pilihanraya umum, kewujudan Sabah langsung tidak dihargai tetapi
dilihat sebagai Fixed Deposit, bah kan sehingga hari ini
pemimpin-pemimpin Kuala Lumpur masih lagi dengan megahnya
melaung-laungkan Sabah sebagai Fixed Deposit walaupun kita sedar
realitinya bahawa kalau bukan Sabah & Sarawak, Pembangkang sudah
menjadi kerajaan dalam pilihanraya umum yang lepas.
Pengaruh undi penentu membuktikan dalam pilihanraya sebelum ini,
pengundi muda menjadi golongan pengundi yang sukar diramal. Banyak
pihak menggambarkan pengundi muda hari ini lebih memihak kepada
pembangkang. Di Semenanjung Malaysia pilihanraya ke 12 sudah cukup
dapat merungkaikan bagaimana pengundi muda mengalihkan undi mereka
kepada pembangkang. Faktor ini juga dijangka akan berlaku pada
pilihanraya ke-13 kelak. Status kita sebagai orang muda yang di Sabah
juga menggambarkan reputasi sebagai asset penting kepada pembangkang.
Ini adalah kerana pada pilihanraya baru-baru ini, kebanyakkan peti undi
dimana majoritinya pengundi muda berusia 40 tahun dan ke bawah memihak
kepada parti pembangkang. Bukan soal calon yang diutamakan oleh
golongan ini, tetapi kehendaknya adalah mereka mahu kerajaan mendengar
suara hati mereka. Mereka menyimpan rasa ketidak puashatian melihat
scenario yang terus menghimpit golongan muda hari ini. Bagaimana di
Sabah, begitu juga barangkali sentimennya di Semenanjung.
Saya mengambil peluang ini, untuk menyatakan bahawa belia-beliawanis
perlu cekal, berani dan perlu mempunyai patriotisme yang tinggi kepada
negeri sendiri Sabah. Kita perlu mengorak langkah lebih kuat, lebih
padu untuk membuktikan bahawa kita mampu mengubah. Parti Maju Sabah
adalah sebuah parti yang akan terus berada di Sabah untuk
memperjuangkan nasib kita. Senario politik hari ini, berdasarkan
materialistic harus kita tolak kerana ianya adalah bersifat sementara.
Sukar untuk kita meningkat lebih jauh kerana pemimpin-pemimpin Sabah di
dalam kerajaan Barisan nasional terus memekakkan telinga dan pemimpin
Putrajaya menidakkan hak kita orang-orang Sabah seperti yang termaktub
di dalam perjanjian Malaysia. Bukan sahaja pekerjaan kita semakin susut
peluangnya, tetapi peluang kita untuk mendapatkan pendidikan di
institusi pengajian tinggi juga semakin merudum. Kita dieksploit dengan
gelaran Fixed deposit. Gula-gula politik yang akan terus diberikan oleh
Putrajaya.. pemimpin BN Sabah pula pantang dipuji.. bila dipuji dengan
gelaran itu, mereka mula kembang dan lupa akan tanggungjawab mereka.
Tanah-tanah yang luas terlepas ke tangan syarikat besar. Projek-projek
tidak masuk akal, jumlah kosnya tinggi menggunung, lebih tinggi dari
gunung kinabalu. Kata orang, dulu kita biasa makan menggunakan tangan,
TAPI sekarang orang Sabah terpaksa 'makan menggunakan kaki'. Inilah
gambaran betapa buruknya apabila bank Dunia mengiktiraf kita sebagai
Negeri paling miskin di Malaysia.
Entah apakah lagi gelaran yang bakal kita terima dikemudian hari
sekiranya orang-orang muda tidak bangkit mengundi PARTI TEMPATAN SAPP
dalam PRU13 kelak. Kita tidak boleh lagi menoleh kebelakang. Kita harus
memberikan peluang dan peluang ini datang hanya sekali. Inilah waktu
yang tepat untuk kita tukar kerajaan.
|